Pages

Sunday 24 April 2011

Interlok (India Cetus Polemik Lagi)

Selepas berjaya mendesak Putrajaya 'menyusun semula' Novel Interlok yang dijadikan bahan Sastera di sekolah menengah, kini kaum India mendesak pula Kamus Dewan dikaji semula untuk diubah. Ini semua hanya kerana ada perkataan pariah iaitu salah satu jenis kasta dalam masyarakat India. Inilah yang dikatakan sudah diberi betis hendakkan paha.

Novel Interlok telah ditulis oleh SN Abdullah Husain sejak 40 tahun lalu. Jika ada manusia lahir pada ketika beliau menulis novel itu pastinya kini telah berusia lebih 40 tahun. Dan selama 40 tahun itu juga ada perkataan-perkataan itu di sana. Jadi selama itu, apakah keburukan yang telah berlaku kepada masyarakat India? Jawapannya TIADA kesan buruk pun.Apabila novel ini diangkat untuk dijadikan naskah sastera di sekolah menengah maka ramai aktivis dan ahli politik India timbul untuk menjadi hero. Persoalannya,apakah yang mereka perjuangkan itu adalah dari hati yang ikhlas atau sekadar ingin menonjolkan diri?Atau hanya bermotifkan politik murahan?Atau sekadar provokasi menentang Melayu kerana yang menulisnya adalah Melayu?

Apakah dengan menghilangkan pariah di Novel Interlok dan di Kamus Dewan maka seluruh Malaysia dan seluruh dunia akan lupa tentang perkataan ini? Saya tidak tahu di mana rasionalnya mereka mempertikaikan perkara ini. Sedangkan fakta sejarah di India dan Burma, kasta pariah ini sememangnya wujud. Sejarah tidak mungkin dapat kita ubah.Sepatutnya masyarakat India di Malaysia berusaha menjadi bangsa yang maju dan hebat, apatah lagi hanya di negara ini mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya.Gunakanlah keterbukaan Malaysia ini untuk maju ke hadapan bukan dengan mereka-reka kontroversi yang pada hakikatnya sekadar menampakkan wajah penentangan dan suara sumbang yang tidak relevan. Malah perkataan ini bukan pun soal-soal agama dalam Hindu. Jika ia soal agama, mungkin ada rasionalnya.Tetapi ini sekadar sejarah hidup dan kehidupan.

Saya anak seorang penoreh getah yang sangat miskin. Saya ada beberapa kawan yang ayahnya hanya seorang pencari makanan untuk babi peliharaan majikannya. Saya ada kawan yang bapanya menyapu seluruh pekan dan mencuci tandas awam.Saya juga ada kawan yang ibunya bekas pelacur. Saya juga ada kawan yang ayahnya bekas banduan (pembunuh).Tetapi saya tetap bangga menjadi saya dan bersama kawan-kawan ini. Bukan kerana sejarah lampau yang perit dan hitam tetapi kerana semangat juang untuk hidup dengan bermaruah. Kami tidak pernah menyesal menjadi anak termiskin, kuli babi, pencuci tandas awam,anak pelacur atau anak pembunuh kerana kami memahami itulah takdir kelahiran kami yang tidak mungkin dapat dipadamkan selamanya. Jika ada yang bercerita tentang ini, kami tetap tersenyum dan mengakuinya, YA itu memang ibu bapa kami.Itu memang sejarah keturunan kami.

Tapi kawan, kini kami lebih memahami bahawa untuk memadamkan sejarah hitam itu bukan dengan memarahi orang yang memperkatakannya tetapi lebih baik membuktikannya dengan usaha dan kekentalan cita-cita.Berjuang untk menjadi insan yang lebih bermaruah.Inilah perjuangan sebenar.Apa yang pasti sejarah hitam telah mengajar kami untuk tidak mengulanginya semula.Inilah pengajaran tulin dari pengalaman.

Wahai sahabat-sahabat warga India, bangunlah dari mimpi yang dihasilkan oleh golongan tertentu dalam masyarakat kalian. Apa yang mereka perjuangkan itu bukan satu perjuangan tulin. Ia hanya untuk kepentingan peribadi mereka.Sekadar untuk menjadikan diri mereka sebagai hero segera.Sedarlah bahawa masyarakat lain di Malaysia tidak pernah ambil tahu tentang kasta. Kasta hanya ada di negara India dan Burma. Kami melihat India sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat. Kaum India tetap sama di mata kami. Kami tetap menghormati doktor-doktor keturunan India, cikgu-cikgu malah pensyarah-pensyarah keturunan India sekalipun dia daripada kasta pariah.Kami tidak ambil pusing pun hal pariah itu.Tetapi segelintir kaun India lah yang menjadikan seluruh Malaysia ambil tahu dan memandang semula soal pariah ini. Maka hentikanlah membuka pekung di dada.

Marilah kita sama-sama renungkan kata-kata ini :
"Sekalipun nyawa di hujung pedang, sejarah kelahiran tidak mungkin dapat ditulis semula namun kendatipun, hidup selamanya, masa depan juga tidak dapat diubah jika kita hanya meratapi sejarah dan menyalahkan takdir"

Saya ingin bertanya kepada Uthaya Sankar SB,Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, jika kalian berjaya memadamkan perkataan pariah yang tertulis di mana-mana buku di seluruh dunia ini, apakah masyarakat India di dunia ini akan tiba-tiba menjadi agung dan terhormat???

Makna PARIAH

9 comments:

  1. mmg betul segelintir mereka sahaja yg nk ambil kesempatan agar mereka boleh dianggap 'hero' dikalangan bangsa mereka. harap sekelian kaum itu sedar atas permainan segelintir org2 itu.
    kita semua sedar akan kasta yg sedia ada dlm kaum itu tp apa kita peduli sbb ia tak bermakna menghalang kita semua berkawan. hingga ke hari ini kaum itu masih mengamalkan 'kasta' apabila mencari jodoh.apa yg menjadi masalah ialah masalah dalam kaum itu sendiri. mereka patut perjuangkan agar dihapuskan amalan'kasta' didlm kaum itu sendiri.buktikan yg perjuangan mereka tu tulin dan ikhlas.....

    ReplyDelete
  2. @Tanpa Nama
    Inilah yang dinamakan perjuangan sempit dan dangkal...Orang tidak tahu pun kaki kita busuk tetapi sendiri yang menjaja cerita di mana-mana...

    ReplyDelete
  3. wah tidak seberapa paham dengan sejarah bangsa India dan Malaysia, tetapi sepakat bahwa merubah masa depan perlu kerja keras dan kesungguhan hati, bukan dengan menghapus sejarah hitam masa lalu. Biar saja itu menjadi cerita pengiring kesuksesan hidup.

    ReplyDelete
  4. @Angelia Kusumadewi
    Semestinya yang perlu kita ubah ialah masa hadapan. Sejarah tidak mungkin dapat kita ubah. Ia hanya boleh dijadikan pedoman untuk pengajaran dan kekuatan masa hadapan...Orang India di Malaysia baik. Cuma ada segelintir orang-orangnya yang merosakkan keadaan dan pandangan masyarakat lain terhadap mereka.

    ReplyDelete
  5. En Nim, saya ini berketurunan India. Saya amat bersetuju dengan pandangan yg diketengahkan oleh En Nim. Org India terperangkap dlm mentaliti yg sempit akibat kepercayaan tahyul dan amalan regresif yg diwarisi sejak turun-temurun. Mereka mudah percaya kepada hasutan sesetengah pihak yg ingin menggugat keamanan di Malaysia. Padahal, daripada merungut dan meminta lebih dari batasan adalah elok mentaliti dan sikap diubah, barulah nanti boleh mendapat kepercayaan dan penghormatan dari kaum lain. Kita tidak perlu polemik perkauman sebab cabaran kita pada alaf ke-21 adalah lebih besar daripada pertelingkahan yg tidak memberi faedah kepada sesiapapun. Banyak lagi perkara yg perlu difikirkan seperti kekurangan sumber makanan dan saluran air bersih dalam beberapa dekad yg akan datang. 'Masa depan tidak dapat ditentukan dengan mengubah sejarah dan fakta semata-mata.'

    ReplyDelete
  6. @Nesh
    Terima kasih kerana saudara memahami dan menilai pandangan saya dari perspektif yang sama.Seharusnya yang kita hebatkan ialah tujuan masa depan bangsa kita. Dengan perminan remeh ini,bukan sahaja kaum India bahkan kita semua dalam Malaysia ini bakal menjadi seperti kasta tersebut suatu hari nanti...Terbuang dan dihina kerana tidak lagi berupaya membangunkan apa-apa lantaran tiada persefahaman dan penyatuan.

    ReplyDelete
  7. @Nim Yorza

    Sama-sama saudara Nim. Kalau kita tidak berubah, kita akan jauh ketinggalan berbanding jiran serantau. Bagi pendapat saya (pendapat peribadi), terdapat 2 kasta sahaja dlm hirarki sosial moden iaitu golongan kaya dan miskin.

    Sekiranya anda kaya semua org akan memandang tinggi. Ketika itu latarbelakang dan keturunan tidak lagi penting....si datuk org kaya ini adalah penjenayah..tp siapa peduli..sekarang si cucu kaya raya!!! Bagi golongan miskin pula, org memandang rendah..dah tak kisahlah kalau datuk-moyang si miskin ni dulu keturunan raja atau tokoh terkenal.

    Apa yg saya nyatakan ini hanya pandangan peribadi. Mungkin sesetengah org tidak bersetuju kerana pandangan saya dari sudut materialistik dan bukan bersifat rohani/spritual.

    ReplyDelete
  8. @Nesh
    Saya setuju sdra. Tetapi ada juga sesetengah hirarki berdasarkan kepada pandangan keilmuan dan rohani.Tetapi amat tidak dapat dinafikan bahawa faktor material adalah elemen utama terhadap kecenderungan masyarakat menilai tinggi atau merendahkan seseorang.Jadi untuk dipandang tinggi kita harus memikirkan dua jalan. Pendidikan (ilmu/agama) dan ekonomi.Kuasa juga selalunya didapati daripada dua faktor ini.

    ReplyDelete
  9. @Nim Yorza

    Ya, itulah pendekatan yg betul. Kekuatan ekonomi perlu dicari dan diseimbangkan dgn pencarian ilmu/rohani.

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...