Pages

Friday 9 September 2011

Cukai Naik Lagi, BN Sudah Bosan di Putrajaya?

(RM0. Pelanggan yang dihargai, mulai 15/9/11, pembelian tambah nilai prabayar & pek p'mulaan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebyk 6%. Sila layari hotlink.com.my)

 Begitulah bunyi sms yang saya terima pukul 10.39, 9 Sept 2011 dari penyedia perkhidmatan jaringan telefon yang saya gunakan. Selepas lama dibincangkan akhirnya suara 'orang bawah' semakin kecil dan tidak lagi didengari. Alasan kerajaan dengan istilah "LEBIH KOMPETETIF" hanya merupakan satu istilah basi dan sekadar helah bela diri yang kurang bijak.Janganlah terlalu menjadikan semua yang bersifat kompetetif itu hasil daripada nilai material yang cukup mahal harganya.Lihat sahaja fasiliti sukan di negara kita, antara yang termahal, terbaik dan terhebat. Tetapi cukup hebatkah SUKAN di negara kita?


Beberapa waktu dulu, beberapa kerat pemimpin agak lantang membahaskan soal ASTRO yang menaikkan caj sesuka hati. Tetapi selepas ASTRO benar-benar melaksanakannya, isu itu jadi senyap sunyi. Apakah kerajaan sebegini hendak mendahulukan rakyat atau mendahulukan syarikat-syarikat gergasi yang mungkin mereka ada syer di dalamnya? Lupakah kita Pengerusi Maxis Communications Berhad merupakan orang ke 64 terkaya dunia dengan aset harta bernilai 9.6 billion USD. Dengan kekayaan sebegini, apakah lagi yang kita canangkan sebagai 'tidak kompetetif' untuk sebuah syarikat telekomunikasi sehebat ini? Cukuplah. Rakyat tidak boleh lagi diperbodohkan semudah itu...


Hakikatnya, kenaikan cukai sebanyak 6% untuk caj perkhidmatan prabayar hanyalah semata-mata bersifat skeptikal dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Malah sikap kerajaan yang semakin selesa dengan cara "buat dulu, penjelasan kemudian" sudah menjadi kudis yang penuh nanah dan busuk berulat. Ini kerana orang-orang di sekeliling kerajaan sekarang ini semuanya mata duitan.Sayang sekali, DS Najib masih lagi mampu tersenyum. Mungkinkah beliau tidak sedar bahaya beliau sedang dibogelkan dari 'rumahnya' sendiri?


Zaman sekarang bukan lagi zaman untuk mengajar rakyat bagaimana untuk berfikir. Malah pemikiran rakyat kebanyakannya mendahului kebanyakan pemimpin. Mungkin rakyat biasa dan marhaen tidak ambil kisah soal Altantuya, Scorpene,Sodomi atau pun Mat Sabu. Namun begitu, soal-soal sebegini yang dianggap remeh oleh ahli politik mata duitan yang sudah lama kaya-raya, tidak dinafikan juga mempunyai saham-saham dan 'persen' tertentu dalam syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan prabayar ini, pastinya mengundang seribu satu kesalan dan kebencian serius kepada kerajaan.


Jika kerajaan pimpinan DS Najib atau DS Najib sendiri tidak memahami dan buat-buat tidak peduli soal-soal sebegini, hanya satu soalan saya : Kerajaan UMNO-BN sudah bosankah berada di Putrajaya? Buanglah segera 'penasihat-penasihat' yang menambah nanah dalam kudis dalam kerajaan sekarang ini. Sesuatu perlu dilakukan. Jika tindakan tidak dilakukan secara menyeluruh, jangan kecewa jika rakyat yang bakal bertindak pada PRU13 akan datang.


Ini baru cerita soal cukai caj perkhidmatan prabayar. Cukai lain belum cerita lagi... Sedarlah wahai kerajaan... Bagi kami rakyat biasa, SMS tu naik 0.01 sen pun sudah cukup membebankan...Kami tidak minta emas sekati cukuplah sehati emas untuk mendengar rintihan kami.

Tuesday 6 September 2011

Noramfaizul Mohd Nor : Mati Yang Kekal Hidup

Kematian Noramfaizul Mohd Nor yang diberitakan di media perdana sebagai akibat terkena peluru sesat sangat menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia. Walaupun beberapa penulis blog seperti Papagomo yang sempat bersama-sama dalam Misi Kemanusiaan Somalian anjuran Kelab Putera 1Malaysia tersebut mengatakan sebaliknya, iaitu kematian beliau disebabkan oleh angkara jahat African Union yang bertugas di bawah panji UN.

Jika benar kematian ini disebabkan oleh angkara AU, maka kerajaan harus melakukan tindakan sewajarnya. Pihak yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan. Mengapakah laluan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab di bawah jagaan keselamatan oleh AU, boleh menjadi laluan berdarah bagi rombongan Misi Kemanusiaan dari Malaysia? Apakah ada cerita di sebalik cerita? 

Atau benarkah kerana nama Malaysia yang terkenal dengan keamanan dan dasar berkecuali soal-soal peperangan, malah lantang pula menolak sebarang bentuk keganasan merupakan tarikan bagi negara atau organisasi tertentu menjadikan peristiwa yang berkaitan dengan Malaysia sebagai satu cerita berimpak tinggi untuk memenuhi tujuan-tujuan tersembunyi? Malaysia menjadi kambing hitam? Dan korbannya adalah Noramfaizul? UN dan Kerajaan Somalia harus mengambilkira semua faktor ini.

Jangan juga nafikan sama sekali faktor agama. Jangan kita lupa, rombongan kita yang majoritinya beragama Islam datang ke Somalia juga membantu mereka yang majoritinya Islam. Bukankah peristiwa ini boleh dikatakan sebagai satu usaha menakut-nakutkan dunia Islam agar tidak saling bantu-membantu? Mungkinkah tangan halus di belakangnya adalah Israel laknatullah...?

 Atau sebagai satu usaha balas dendam ekoran kecekapan tentera laut Malaysia dalam isu lanun di Teluk Eden tidak lama dahulu? Persoalan utama sekali lagi ialah, jika semua pertanyaan di atas merujuk kepada satu kesimpulan yang sama, maka siapakah dalangnya dan apakah tujuannya???

Apa pun persoalan di sebalik kematian Noramfaizul Mohd Nor, harus kita akui bahawa semangat,dedikasi dan keberaniannya bukan sesuatu yang ada pada semua manusia biasa. Sangat sedih dan malang sekali ada juga segelintir manusia di bumi bertuah Malaysia ini yang memperlekehkan niat murni dan perjuangan arwah ini yang semata-mata ingin membantu sesama insan atas nama kemanusiaan. Adakah mereka yang cuba menafikan niat suci murni dan ikhlas seorang manusia yang jelas terkorban kerana kesanggupannya meninggalkan keluarga dan sanak saudara hanya demi manusia lain yang tiada kaitan darah langsung dengannya ini patut kita anggap sebagai manusia lagi? Mereka ini adalah binatang sebenar yang menyalak cuma demi nafsu politik yang menggila.

Percayalah bahawa setiap yang berlaku itu adalah ketentuan-Nya dan pasti ada hikmahnya. Janganlah hanya kerana ketaksuban berpolitik hingga hilang nilai-nilai kemanusiaan dan keinsanan. Arwah telah selesai tugasnya sebagai khalifah di bumi Allah ini. Hari-hari terakhirnya juga adalah sesuatu yang belum tentu kita juga sanggup melakukan dan melaluinya. Kita bagaimana? 

Hari ini seorang Noramfaizul mati, tetapi esok pasti akan hidup seribu Noramfaizul lagi kerana kematiannya menghidupkan banyak jiwa, banyak hati dan yang paling utama, menghidupkan erti kemanusiaan....
 Al-fatihah...Doaku semoga kau termasuk para mujahidin...Syahid di jalan yang diredhai Allah...

Sunday 4 September 2011

Noramfaizul Mohd. Nor : Matinya Seorang Pahlawan Hati

Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Aidilfitri, malah di Malaysia diserikan lagi dengan sambutan Hari Merdeka, seorang rakyat Malaysia biasa, dengan hati suci bersih, tanpa kata-kata ghairah dengan ucapan Aidilfitri, tanpa keterujaan melampau untuk sekadar melaungkan kata merdeka dan tidak sekali sekadar sudi untuk bercerita apakah erti kemenangan Aidilfitri atau apakah makna kemerdekaan, akhirnya mati dengan meninggalkan semua makna tertinggi nilai Hari Raya dan Kemerdekaan.

Noramfaizul Mohd Nor, 'kepulanganmu' menemui Allah Yang Maha Esa sememangnya telah tertulis sejak azali sebagai takdir, qada dan qadar untukmu. Namun kepergianmu ini bukan sekadar pemergian seorang hamba Allah yang biasa. Pemergianmu ini adalah satu kehilangan yang besar demi memaknakan sebuah nilai kemenangan Aidilfitri sekaligus mencerminkan nilai kemerdekaan yang paling dalam.

Semasa membaca berita mengenai kematian Noramfaizul Mohd Nor, seorang jurukamera BernamaTV yang terkena tembakan curi semasa pulang ke hotel penginapan selepas membuat liputan dalam Misi Sukarela di Somalia, membuat airmata saya membasahi pipi. Apa tidaknya, saya membaca berita ini selepas pulang bergembira berhari raya di rumah sahabat dan juga menghadiri majlis perkahwinan saudara. Sungguh meriah dan gembira. Tetapi membaca berita ini, hati saya sayu. Linangan airmata sahaja tidak cukup untuk menggambarkan betapa tingginya kesedihan saya buat anak muda ini. 

Kesediaannya menyertai misi sukarela ini pada ketika kita di Malaysia bakal bergembira di Hari Raya sudah cukup menggambarkan satu pengorbanan yang bukan calang-calang. Seketika saya terfikir, adakah tahun-tahun mendatang, nama ini akan tetap diingati sebagai ikon wira negara? Sedangkan pada ketika ini, wira yang berjuang untuk melawan pengganas komunis juga 'diludah' dengan mengatakan bahawa mereka bukan pejuang sebenar. Atas nama politik, sejarah diterajang sesuka hati untuk menjustifikasikan ideologi parti politik tertentu. Sedangkan ketika saat-saat terakhir mereka di Balai Polis Bukit Kepong sebelum mati di tangan komunis dulu, adakah terlekat di hati mereka bahawa aku menentang komunis ini kerana diminta oleh UMNO? Begitu juga di saat-saat terakhir arwah Noramfaizul Mohd Nor ini, adakah beliau mengatakan bahawa kehadirannya ke Somalia ini semata-mata kerana diminta oleh Kelab Putera UMNO? Saya bukan ahli UMNO tetapi tidak salah untuk membenarkan sesuatu yang betul.

Hanya kerana ideologi politik yang berbeza, kita sanggup menghina perjuangan seseorang. Matinya 25 wira di Bukit Kepong dan matinya Noramfaizul Mohd Nor bukan kerana diminta oleh siapa-siapa. Tetapi kerana ketulusan hati seorang manusia yang percaya bahawa dengan cara inilah mereka dapat berbakti sesama manusia. Mereka cukup yakin bahawa ini juga adalah amanah ALLAH untuk membantu sesama insan. Demi kemanusiaan, mereka hadir di tengah gelanggang tanpa suara riak dan sombong untuk mengatakan siapa pejuang atau bagaimana perjuangan sebenar. Mereka cuma membawa hati yang polos dan tulus demi nilai keinsanan. Jika mereka berjaya, tidak sedikit pun pernah mereka minta ganjaran dan pujian daripada setiap yang dilakukan.

Mengimbas penyertaan Noramfaizul Mohd Nor, dalam beberapa misi seperti di Gaza,  Pakistan , Christchurch dan sebagainya, sehingga saat kematiannya, tiada siapa tahu atau ambil peduli penglibatan insan kecil ini. Hakikat kematinnya kini, barulah kita membuka mata bahawa di luar sana ramai pejuang yang berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan ikhlas dan suci hati tanpa mengharapkan apa-apa.

Mereka mungkin tidak punya nama besar untuk diagungkan bahkan mereka tidak punya suara hebat untuk dilaungkan.Tetapi dengan sekecil hati, tanpa kata tanpa suara, mereka sanggup bergadai nyawa pada ketika kita sekadar mampu berteriak dan melalak di pentas-pentas ciptaan untuk sekadar bercerita tentang apakah itu perjuangan dan siapakah pejuang sebenar. Serendah itu sahaja martabat perjuangan yang kita ada sedangkan mereka di sana adalah pejuang sebenar yang tidak pernah pun dikenali. Malang sekali akhirnya mereka dikenali setelah mereka telah pergi menghadap Ilahi kerana iltizam perjuangan mereka. Siapakah kita untuk meremahkan perjuangan orang lain yang terbukti sebenarnya jauh lebih mulia dan agung daripada kita?

Noramfaizul Mohd Nor : Anda memang bukan seorang soldadu yang mengangkat senjata berjuang di medan perang. Tetapi anda adalah pejuang yang berjuang di medan hati-hati insan yang tulus mengangkat makna kemanusiaan. Jasad anda mungkin akan hilang di mata tetapi iktikad, semangat dan perjuangan anda akan tetap subur dan berkembang di hati setiap manusia yang punya hati dan perasaan. Anda adalah Pahlawan Hati yang sejati...