Pages

Saturday 16 April 2011

Harga Sebuah Kesetiaan

Minggu ini saya melewati satu permukiman di kawasan Keningau yang dinamakan Senagang. Terdapat satu laluan berbatu/gravel hampir 10 kilometer menuju ke satu perkampungan bernama Ulu Senagang. Sayu saya melihat laluan ini yang pada saya sangat daif. Apatah lagi ditambah dengan keadaan yang semakin teruk apabila berlakunya tanah runtuh yang memutuskan jalan perhubungan selama dua hari. Ramai guru tidak dapat datang bertugas. Maka anak bangsa di tempat ini rugi tanpa dapat ditahan lagi.

Inilah jurang di sebelah kiri jalan sempit yang hanya boleh dilalui oleh satu kenderaan sahaja. Jurang yang sangat curam berakhir dengan sebatang sungai saujana mata memandang. Malah terdapat rekahan di mana-mana yang menampakkan jalan ini sangat rapuh. Membahayakan pengguna jalan ini.Saya sempat bertanya kepada beberapa orang pemandu yang melalui jalan ini. Jawapan mereka juga menyedihkan saya. "Apa boleh buat, ini sahaja jalan yang ada". Tiada seorang pun yang merintih atau menyalahkan pihak berkuasa. Mereka rakyat yang setia.

Sekali lagi, saya sangat bersimpati dengan nasib guru-guru yang melalui kawasan ini. Kadangkala tersekat di laluan berlumpur lebih dua jam. Saya berkata dalam hati, mulia sungguh para guru ini. Demi anak bangsa sanggup menggadai nyawa. Tetapi apakah pihak di sebelah sana, peduli dan memahami kesukaran ini? Sampai bilakah keadaan ini harus mereka tempuhi. Walau pun ini adalah tugas, namun inikah harga kesetiaan mereka menggalas amanah yang diberikan oleh kerajaan? Di Sabah ini sebenarnya, terlalu ramai guru yang mengalami nasib sebegini. 

Di hujung laluan ini terdapat sebuah kawasan yang diwartakan sebagai Taman-taman Sabah. Tempatnya sungguh nyaman. Saya sering melihat orang putih atau orang Jepun datang ke sini.Sedikit kebimbangan, mungkin jalan ini akan menjadi satu persepsi negatif terhadap negara dan negeri ini. Saya juga sering datang untuk melihat ikan-ikan besar lagi jinak di sungai ini.Tempay ini juga sangat sesuai dijadikan tempat perkelahan dan kawasan rekreasi keluarga di hujung minggu. Namun, siapakah yang masih sudi bertandang...?

Inilah wajah-wajah bakal pemimpin masa hadapan di kawasan ini. Barangkali sejak datuk dan nenek mereka mendiami kawasan ini, cerita yang sama, rasa yang sama dan penderitaan yang sama mereka rasai. Sampai generasi ke berapakah lagi harus mereka menjaja landskap bualan yang serupa? Bagaimana kita hendak membina modal insan yang benar-benar mantap sedangkan perkara asas mereka ini pun sering terabai. Apakah ini juga adalah harga yang harus mereka bayar atas nama Malaysia yang sebentar sahaja lagi menuju negara maju dalam Wawasan 2020...
Apa yang sangat mengecewakan saya bahkan mungkin seluruh rakyat Malaysia di Sabah ialah, pada ketika di Tanah Melayu telah lama menikmati kemajuan dan kecanggihan teknologi moden, anak bangsa di sini masih lagi bertanya soal bagaimana melalui titi yang usang. Pada ketika anak Malaysia di Tanah Melayu mula seronok dalam Monorel, LRT, ERL dan sebagainya, anak Sabah masih lagi berusaha menguatkan otot untuk berjalan kaki di tengah rimba nan berlumpur untuk menimba ilmu...


Maka soalan saya ialah... INIKAH HARGA SEBUAH KESETIAAN rakyat Sabah kepada kepimpinan negara yang ada sekarang? Kami tidak meminta yang aneh-aneh...Cukuplah sekadar memberikan pada kami apa yang sepatutnya kami berhak...

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...