Pages

Tuesday 29 May 2012

Mempertikaikan Perkara 20 Sama Seperti Membatalkan Perjanjian Malaysia 1963

Membaca kenyataan pemimpin veteran BN seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, membuatkan saya hampir putus nafas dan berasa amat kecewa. Jika pemimpin lama seperti mereka ini tidak memahami hasrat sebenar di sebalik kewujudan Perkara 20 ini, apakah lagi yang mampu diharapkan bukan sahaja oleh pemimpin baru tetapi juga kepada seluruh generasi muda Sabah terutamanya berkaitan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Harus kita ingat, Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia adalah dua 'dokumen' berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi yang tersendiri. Perkara 20 merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14. Perkara 20 ini diwujudkan oleh pemimpin politik Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Secara mudahnya, Perkara 20 adalah syarat utama bagi Sabah sebelum memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak membentuk Malaysia seterusnya menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Malaysia 1963. Sejak bila pula Perkara 20 dibuat untuk diasimilasikan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia? Ini adalah kenyataan songsang yang sengaja dibuat untuk mengelirukan bukan sahaja rakyat Sabah bahkan seluruh rakyat Malaysia.


Justeru, jika dikatakan Perkara 20 sebagai batal bermakna Perjanjian Malaysia 1963 turut terbatal kerana tanpa Perkara 20, Perjanjian Malaysia 1963 pasti tidak akan ditandatangani oleh pemimpin Sabah. Jika Perjanjian Malaysia 1963 batal, bermakna Gabungan Malaysia turut batal. Ini bermakna Perlembagaan Malaysia juga bukan lagi satu dokumen sah yang boleh disandarkan. Adakah ini maksud Datuk Salleh Said Keruak apabila 'membatalkan' Perkara 20 ini? Jangan lupa, Perlembagaan Malaysia hanya wujud selepas Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai, juga selepas Perkara 20 dipersetujui. Ini adalah FAKTA.

Begitu juga kenyataan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, bahawa Perkara 20 tidak semuanya relevan. Ini saya bersetuju tetapi bukan bermakna kita 'surrender' khususnya soal kewangan,kesihatan dan pelajaran seperti yang beliau sebutkan. STAR sangat komited untuk memperjuangkan konsep 1 Negara 2 Sistem kerana ia sangat padan dan sesuai dengan konsep asal penggabungan Malaysia iaitu penggabungan beberapa NEGARA MERDEKA dan seharusnya ia kekal begitu dan tidak seperti hari ini iaitu MALAYSIA TERDIRI DARIPADA 14 BUAH NEGERI.

Dalam konsep 1 Negara 2 Sistem, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan menjadi lambang wujudnya sebuah gabungan yang dipanggil Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 3 wilayah berasingan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Jika dipersoalkan tentang perkara yang tidak relevan dalam Perkara 20, hanya NO 1 yang boleh kita terima kerana apabila Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Persekutuan Malaysia sekaligus Baginda akan turut menjaga Agama Islam di ketiga-tiga wilayah ini sebagai Agama Rasmi.

Namun begitu, 19 perkara lain akan tetap SAH dan RELEVAN khususnya berkaitan kewangan, pelajaran, kesihatan, borneonisasi, ketua negara Sabah dan kedudukan kaum pribumi. Semua perkara ini seharusnya dikembalikan sebagai hak mutlak dan autonomi Sabah agar jaminan Tunku Abdul Rahman yang turut tersiar di akhbar Straits Times pada 2 Oktober 1962 yang jelas menyatakan bahawa "Saya melihat perkara penting mengenai dengan Malaysia sebenarnya adalah untuk membolehkan wilayah Borneo berubah kedudukan daripada dijajah kepada memerintah sendiri...".Persoalannya mudah, ketika di Sabah hanya layak diberikan jawatan Pengarah iaitu sebagai 'PESURUH' kepada Ketua Pengarah dan Menteri di Putrajaya, 'celah' mana yang boleh kita katakan sebagai memerintah sendiri?

Mari kita belek kembali Perkara 20 No 3, Perlembagaan : Perlembagaan Malaya diterima sebagai asas Perlembagaan Malaysia dan hendaklah menjadi dokumen antara negeri dan BUKANNYA BERBENTUK BEBERAPA SIRI PINDAAN YANG DIPERSETUJUI DALAM KEADAAN YANG BERLAINAN SAMA SEKALI. Persoalannya, Perlembagaan Malaysia sudah lebih 50 kali dipinda dan ternyata kesemua pindaan itu tidak menampakkan satu gambaran jelas bahawa Sabah diberikan kuasa memerintah sendiri tetapi hanya untuk mengukuhkan kuasanya ke atas Sabah.Sama juga yang berlaku ke atas intistusi-institusi penting Malaysia yang dilihat sentiasa "dipancung" untuk mengekalkan kuasa. Rujuk Buku Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny, The Constitution of the Federation of Malaysia, Mukasurat 16-18.

Sehubungan itu, saya mewakili seluruh generasi Sabah yang celik ilmu pengetahuan, memohon agar para pemimpin lama tidak lagi bermain politik songsang dengan menafikan sejarah. Bahkan wajar sekali Datuk Seri Salleh Tun Said dihadapkan ke muka pengadilan kerana 'menyentuh' Perkara 20 dalam satu keadaan yang boleh menggugat keselamatan negara bahkan boleh membawa persepsi terbatalnya Perjanjian Malaysia 1963. 

Masih ingatkah Krisis Perlembagaan 1988 yang menyaksikan campurtangan kehakiman dalam pertikaian politik? Mengapa UMNO di bawah Dr Mahathir Mohamed 'berjaya menggegarkan' Perlembagaan Malaysia hanya untuk menyelamatkan UMNO? Mengapa Datuk Dr Jeffrey G Kitingan pada tahun 1992, ketika mengemukakan isu Perkara 20, disumbat ke dalam ISA selama hampir 3 tahun tanpa bicara sedangkan Perkara 20 adalah satu dokumen yang dibuat khusus untuk menjaga dan memastikan kuasa kemerdekaan Sabah tetap terpelihara termasuk HAK-HAK Sabah? Hari ini sesiapa sahaja boleh bercakap soal Perkara 20 mengikut pesepsi sendiri tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

Oleh itu, sekali lagi saya menyeru bagi mewakili seluruh generasi baru, bahawa kami akan menyokong sekiranya Datuk Dr. Jeffrey G Kitingan mahu membawa kes ISA-nya 20 tahun yang lalu ke mahkamah. Ini bukan sahaja bagi membersihkan namanya tetapi juga demi kemenangan seluruh rakyat Sabah. Mungkin, nilai kemenangan itu nanti boleh diberikan sebagai hadiah kepada seluruh rakyat Sabah.

Ini kalilah!

13 comments:

  1. Pemimpin dan mereka yg mempunyai kedudukan sepatutnya menggunakan peluang tersebut utk sesuatu yg terbaik bagi rakyatnya, tapi mereka ini nampaknya seperti mengulang benda yg sama, kalau dulu fakta dan sejarah Sabah disembunyikan daripada buku2 dan pendidikan sekarang pemimpin menambah lagi pembohongan. adakah pemimpin sekrg masih tidak percaya yang HAQ tetap menundukkan yg BATIL?rakyat SABah ini kalilah!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar sekali tuan. Kita mesti pertahankan Hak kita...

      Delete
  2. Point 16: Constitutional safeguards
    No amendment modification or withdrawal of any special safeguard granted to North Borneo should be made by the Central Government without the positive concurrence of the Government of the State of North Borneo
    THE POWER of AMENDING the CONSTITUTION of the State of North Borneo should BELONG EXCLUSIVELY to the PEOPLE IN THE STATE.

    Masih ditepati lg ka janji ini??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Even now our CM also appointed by Malaya...

      Delete
    2. menggangap Malaya sebagai satu entiti adalah kesilapan.

      Delete
  3. Saya sokong 20 perkara

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sokong dan harus tahu justifikasinya agar pengetahuan itu menjadi sgt berguna kpd kita...

      Delete
  4. Pemimpin yang mengatakan P20 tidak lagi relevan, sebenarnya, mereka tahu P20 itu adalah relevan sebenarnya. Kerana P20 adalah satu dokumen yang telah diterima masa pemimpin terdahulu sebagai satu syarat kita menyertai gabungan yang membentuk Negara Malaysia.Jadi P20 akan tetap jadi dokumen yang sah dan tidak boleh dipertikaikan, kerana wujudnya Malaysia, kerana adanya P20.Sebenarnya Pemimpin/orang yang mengatakan P20 itu tidak relevan, adalah kerana mereka takut dan menjaga kepentingan mereka. jadi ampu sikit lah bos diatas,sebab kalau lawan bos diatas, nanti tidak kena calon PRU akan datang, atau hilang kepentingan lain.

    ReplyDelete
  5. sebenarnya pemimpin Sabah sendiri boleh memilih untuk tidak bersekutu dalam persekutuan Malaysia. Jika mereka benar-benar membaca Perjanjian Malaysia. seperti apa yang dilakukan oleh Brunei.

    ReplyDelete
  6. pemimpin sabah sekerang ini sebenarya hanya mementingkan diri sendiri asalkan mereka itu mewah dan berjawatan tinggi,mereka relah gadaikan tanah sabah ini dengan pemimpin malaya. dan mereka sanggup bekerjasama dengan kerajaan persekutuan apa sehaja termasuklah memberi kewarga negeraan PTI dari filipin atau indon, dan merelahkan tanah adat orang kampung dirampas oleh sayrikat-sayrikat dari semenanjung untuk projek penanaman kelepa sawi.

    ReplyDelete
  7. Sabah ni .... siapa punya asalnya?
    SULU?
    BRUNEI?
    BRITISH?

    ReplyDelete
  8. Tidak ada 1 pun yang tidak relevan. Semua harus di tepati. Jika salah satu tidak relevan berarti Malaysia pada hari ini juga tidak relevan dan sabah serawak bebas menubuhkan negara sendiri. Sabah itu sabahan punyalah.badigol punya orang. Apa kau ingat manusia mati kalau tidak ada raja atau sultan????

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...