Pages

Tuesday 1 November 2011

Apabila Orang Politik Lebih Hebat Dari Yang Pakar

Alahai, apa sudah jadi dengan negaraku tercinta. Segalanya bagaikan serba tidak kena. Inilah padahnya apabila semua perkara dipolitikkan. Orang politik sudah tidak faham atau buat-buat tidak faham peranannya sebagai orang politik. Semua perkara mereka hendak campurtangan walaupun campurtangan itu nantinya hanya akan menimbulkan polemik. Akhirnya yang akan terjejas ialah keupayaan sebenar negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 disifatkan oleh Dr. Puad Zarkashi sebagai tidak komprehensif dan tidak terperinci terutamanya yang melibatkan soal perbelanjaan. Sebenarnya perincian yang bagaimana? Perincian untuk menjustifikasikan salah urus tadbir kewangan?

Alangkah baiknya jika kita belajar menerima kenyataan dan bukan berselindung di sebalik pelbagai macam istilah ekonomi seperti peruntukan tambahan dan sebagainya. Dr Puad menyentuh tentang tambahan perbelanjaan yang konon salah satunya melibatkan perbelanjaan elaun perjalanan guru-guru. Saya hendak bertanya kepada guru-guru, atau pun para pentadbir di Jabatan Pelajaran, selepas ditambah perbelanjaan, adakah elaun perjalanan anda benar-benar mencukupi?

Apa yang membuat saya rasa Dr Puad ini seperti mengajar itik berenang ialah apabila mempersoalkan laporan berkaitan makmal komputer sekolah rendah yang sepatutnya dibina berjumlah 300 buah tetapi hanya 2 buah makmal yang berjaya disiapkan di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Namanya pun AUDIT, jadi mereka hanya memberikan laporan telus berkaitan angka dan statistik. Alasan terhadap segala kepincangan yang terpaksa dijelaskan oleh laporan itu, bukan menjadi satu keperluan kepada Ketua Audit Negara untuk membuat pembelaan dan justifikasi. 

Lagi pula, jika melihat perbezaan angka 300 dan 2, budak sekolah rendah pun tahu menilai betapa besarnya masalah yang berlaku berbanding hanya melepaskan kesalahan kepada masalah kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya, jika benar masalah kontraktor, siapa yang melantik kontraktor tersebut? Takkan orang utan di Sepilok yang melantik kontraktor-kontraktor bermasalah ini? Tempoh setiap RMK ini 5 tahun bukannya 5 hari. Baru hari ini sedar masalah ka? Atau pun duit sudah lesap oleh tangan ghaib?

Pada hemat saya, setiap individu yang berani mengatakan dirinya pemimpin harus berani juga menerima kenyataan walaupun pahit. Ikhlaslah menjadi seorang pemimpin dengan mendidik anak bangsa terutama generasi baru tentang bagaimana harus berfikir dan menajamkan puncak pemikiran yang lebih telus, adil dan jujur. Maka dengan itu, kita akan lebih dihormati generasi baru dan impaknya, negara akan lebih maju kehadapan secara total dan bukan sekadar permainan angka untuk mendabik dada bahawa negara benar-benar maju.


No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...