Pages

Saturday 27 August 2011

Sekilas Pandang : PBS Tenom.

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diasaskan oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 5 Mac 1985 mula bertapak di Tenom dengan kekalahan mengejut Datuk Harris Salleh iaitu Presiden Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) merangkap Ketua Menteri pada ketika itu dengan seorang pendatang baru dalam arena politik yang langsung tidak dikenali iaitu Kadoh Agundong.Maka sejak itu PBS bertapak di Tenom walaupun pada ketika ini hanya DUN N.35 Melalap yang masih diwakili oleh PBS. Datuk Radin Maleh sebagai wakil rakyat di kawasan ini yang telah memenanginya sejak beberapa penggal yang lalu.

Pada 21 Ogos yang lalu Mesyuarat Agung PBS Bahagian Melalap ke-26 telah berlangsung dan dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Mesyuarat agung kali ini melibatkan pemilihan AJK baru. Ketua Bahagian dimenangi oleh Datuk Radin Maleh tanpa ditandingi. Manakala Timbalan Ketua Bahagian dimenangi oleh En. Blasius Masuning mengalahkan En. Angal Usit iaitu penyandang lama. Walau bagaimanapun, tulisan saya kali ini tidak mengulas mengenai pemilihan ini. Sudah adat pertandingan ada menang dan ada yang kalah.

 Apa yang menjadi perhatian saya ialah, sejauh mana PBS, khususnya Melalap/Tenom bersedia untuk terus bersaing dalam arus perdana politik yang semakin mencabar kini. PBS merupakan sebuah parti LAGENDA yang masih ada dan berjuang untuk rakyat Sabah sehingga kini. Di awal kemunculannya, PBS berjaya membentuk kerajaan negeri walaupun baru berusia 47 hari. Ini satu pencapaian yang sangat hebat dalam sejarah politik Sabah dan pastinya tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana parti di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya. Namun begitu dengan sejarah gemilang ini kita hampir tersungkur akhirnya. Sejarah pahit 'pemimpin katak' pada 1994 dan 2000 mencalar kegemilangan ini. Di manakah silapnya dan adakah hari ini kita masih mampu mendabik dada dan berbangga dengan mengatakan kita masih relevan? Adakah kita telah cukup muhasabah cara perjuangan kita agar bukan sahaja kelihatan relevan malah segala tindakan kita terasa relevan oleh masyarakat?

Sejujurnya saya melihat, PBS masih selesa dengan cara lama. Saya membaca laporan aktiviti, jelas kelihatan bahawa PBS Tenom hanya mampu menghadiri majlis-majlis kahwin tempatan dan beberapa acara pengebumian. Pada dasarnya ini kelihatan baik dan mampu merapatkan barisan kepimpinan yang lebih erat secara langsung dengan masyarakat. Namun hakikatnya, impak daripada aktiviti ini agak kurang. Masyarakat sekarang ini memandang lebih jauh ke hadapan. Persoalannya, berapa ramai sangatlah perkahwinan yang mampu di hadiri oleh barisan kepimpinan. Seharusnya kita perlu berubah dengan melaksanakan aktiviti yang berimpak tinggi dengan penglibatan masyarakat umum dan juga jabatan-jabatan kerajaan setempat. Memang ada tetapi kurang ditonjolkan seolah-olah kita takut dan malu dengan saingan daripada pemimpin parti lain.

Selain itu, kemasukan UMNO ke Sabah dan hampir menidakkan kepimpinan PBS di Sabah harus kita selidiki. Antara faktornya ialah, kejayaan UMNO mempengaruhi kebanyakan rakyat Sabah beragama Islam melalui konsep kepimpinan Islam. Apabila bercerita soal agama, ia satu isu yang amat sensitif mudah sekali umat Islam cair kerananya. Malah suku Kadazan Dusun dan Murut beragama Islam pasti tidak ragu-ragu meninggalkan cerita 'bangsa' jika diumpan soal agama. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan. Ketika mesyuarat baru-baru ini, saya agak terkesan bahawa kebanyakan pemimpin kita tidak begitu sensitif untuk sedikit menghormati ahli yang beragama Islam terutamanya ketika bulan puasa ini. Jika ada pun ucapan selamat menyabut Ramadhan, ia hanya satu ucapan pendek dan terpencil di hujung kata-kata. Malah ada juga pemimpin yang agak berbangga dengan mengatakan soal tapai dan mabuk. Saya tidak menafikan ini minuman tradisi dan kebiasaan kita. Saya tidak akan mengatakan ia kebudayaan kita. Ia cumalah kebiasaan. Namun pada majlis besar dan berprestij seperti itu, pada hemat saya tidak manis dan kurang moleknya seorang pemimpin mengulas soal ini. Apatah lagi di bulan mulia bagi umat Islam.Inilah yang agak menjauhkan Islam daripada PBS. Saya yakin dan percaya tidak semua bukan Islam juga bangga dengan isu mabuk dan minum tapai. Maka pada masa depan, sebagai pemimpin kita harus menjadi lebih sensitif dan menjaga hati banyak pihak.

Dari segi publisiti, saya melihat PBS tidak berjaya mempromosikan setiap aktivitinya dengan baik. Di dada akhbar perdana Sabah, yang diulas ialah isu pengumuman persaraan Ketua Bahagian,Datuk Radin Maleh.Sepatutnya yang kita 'highlight' ialah sejauh mana usaha kita untuk memajukan kawasan. Kita harus war-warkan perancangan strategik masa hadapan. Kita harus berjaya membangkitkan kepercayaan umum bahawa kita mampu memajukan kawasan ini melalui satu dasar pentadbiran yang mantap, berterusan dan mampu direalisasikan. Saya melihat kita terlalu terbuai dengan utopia basi bahawa oleh kerana ini kawasan yang digajetkan untuk PBS maka kita akan kekal di sini. Apakah kita mungkin tidak percaya jika sekarang ini sudah ada gerakan untuk memastikan PBS kalah dikawasan ini untuk diberikan kepada pembangkang. Ironinya pada PRU14, kawasan ini pasti akan diminta oleh parti yang lebih dominan di Sabah ini. Menyedihkan sekali, dalam satu akhbar yang saya baca, tiada sekeping gambar pun  berkenaan mesyuarat ini diselitkan dalam tulisan mereka.

Baru-baru ini juga Datuk Radin Maleh ada menyampaikan sumbangan kepada Masjid Ar-Rahim Kg. Jawa Melalap. Sayang sekali tiada siapa yang tahu dan tiada sebarang publisiti. Hakikatnya dalam dunia tiada sempadan kini teknologi maklumat dan komunikasi begitu mendominasi. Cara berfikrir juga berubah seiring dengan perkembangan ini. Tidak dapat dinafikan faktor material juga mempengaruhi konsep pemikiran. Jadi kita tidak boleh lagi selesa dengan mengatakan bahawa, kita memberi sumbangan ikhlas. Tidak perlu orang tahu pun tidak apa. Ini semua cabaran perubahan yang harus kita ambilkira.

Malah setiap ucapan pemimpin saya ikuti dan telusuri dengan baik tanpa terlepas satu ayat pun. Agak menghairankan saya bahawa kepimpinan kita begitu berani menempelak rakyat untuk tidak mengkritik pemimpin. Katanya isu yang dibangkitkan oleh seorang individu tidak boleh dijadikan ukuran suara masyarakat umum. Adakah kita tidak belajar sejarah PRU12 baru-baru ini. Di Kelantan misalnya, BN kalah hanya dua (2) undi di satu kawasan DUN. Sebenarnya satu suara yang berjaya kita atasi dilihat oleh ribuan mata yang membisu dan menilai. Malah dikatakan juga bahawa rakyat perlu memahami setiap perancangan yang dibuat oleh kerajaan perlu melalui tahap-tahap tertentu. Saya setuju tetapi cara untuk menjelaskannya haruslah berhemah. Jangan kelihatan seoalah-olah kita marah jika rakyat bersungut. Zaman sekarang bukan lagi masa untuk kita ajar rakyat bagaimana untuk berfikir.Zaman sekarang kebanyakan rakyat mempunyai pemikiran yang mendahului pemimpinnya.

Di sebalik semua komen di atas, sebenarnya saya juga amat berbangga dengan kesederhanaan pemimpin PBS. Saya sangat bersetuju dengan idea mesyuarat seperti ini diadakan di kawasan kampung agar rakyat kebanyakannya tidak segan untuk hadir. Malah 'semangat mitatabang' dapat terus hidup subur dalam kalangan masyarakat ketika sama-sama berusaha menjayakan majlis. Ini harus kita kekalkan untuk mengelakkan PBS dihinggapi penyakit 'Parti Elit' yang setiap kali aktivitinya di hotel-hotel dan tempat mewah yang akhirnya juga hanya dihadiri oleh golongan atasan. Tetapi, sekalipun diadakan aktiviti di ceruk kampung, publisitinya harus meluas agar impak daripadanya sampai ke segenap lapisan masyarakat bandar dan luar bandar.

Pemilihan dalam PBS juga harus dibanggakan lantaran berjaya dilangsungkan dalam suasana kekeluargaan. Inilah yang seharusnya kita jaga. Budaya 'cah keting' jangan menular dalam kalangan kita. Malah kita harus menghormati setiap keputusan yang ada. Kita mesti berani berubah. Kita akan tertinggal jika kita masih mendendangkan cerita lama. Kita perlu merapatkan barisan kepimpinan lama dan baru dengan lebih hebat dan berkesan. PBS bukan semata-mata parti biasa. Inilah sumber suara, kekuatan dan kedaulatan bangsa dan negeri Sabah. Tanpa PBS, kita akan kehilangan kekuatan di negeri sendiri. PBS harus bersatu demi generasi Sabah seterusnya. Jangan takut untuk melaungkan suara yang menjadi tonggak utama kita seperti Perkara 20, isu PATI, pemilikan tanah dan keseimbangan jawatan utama dalam kerajaan. Jauh di sudut hati perkara-perkara inilah yang saya rindukan untuk didengar daripada Huguon Siou dan seluruh pemimpin yang berani mengaku anak Sabah tulin. Ini negeri kita,seharusnya kitalah yang menentukan apa yang kita perlukan. Malah satu kenyataan pasti tanpa Sabah, hari ini nama Malaysia mungkin sekadar satu catatan sejarah di kertas kosong yang tidak bermakna apa-apa.

Akhir kata, ini hanyalah pandangan peribadi saya sebagai orang baru dalam PBS. Mungkin banyak yang harus saya pelajari dan berharap agar ada juga yang boleh saya sumbangkan. Mungkin idea dan tenaga. Semua komen ini ikhlas tanpa prejudis. Yakinlah kita bahawa kebenaran itu adakalanya pahit.

Salam hormat. Salam Perjuangan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Bersatu! Bersatu! Bersatu!

Web rasmi, sila klik http://www.pbs-sabah.org

Monday 22 August 2011

AKU TIDAK MEMILIH UNTUK MENJADI SEORANG INSAN BIASA

Membelek-belek fail lama, terjumpa sebuah sajak yang saya dapat semasa menghadiri satu kursus motivasi, mungkin sepuluh tahun yang lalu... 

Aku tidak memilih untuk menjadi
Seorang insan biasa

Memang hakku untuk memilih
Menjadi luar biasa

Kini aku mencari-cari peluang
Bukan perlindungan

Aku tidak rela menjadi warga yang
Terkongkong, rendah diri dan
Diperlihara ileh keadaan

Aku hendak mengambil risiko
Yang terkira, untuk berimpian
Dan membina, untuk gagal dan berjaya

Aku enggan menukar
Perangsangan untuk
Sebarang sumbangan

Aku menyahut cabaran
Hidup daripada
Sumbangan

Aku menyahut
cabaran hidup
daripada
kewujudan
yang terjamin

Kenikmatan untuk
Mencapai sesuatu,
Bukan utopia yang basi

Aku tidak akan menjualkan
Kebebasan untuk menerima
Kebajikan

Tidak juga maruahku hanya
Untuk hidup menerima

Aku tidak akan tunduk kepada
Sebarang “Tuan” dan ancaman

Adalah memang warisanku untuk
Berdiri teguh, bangga dan
Tidak kenal erti takut

Untuk berfikir dan bertindak
Untuk diri sendiri

Untuk menggunakan hasil-hasil usaha
Yang telah kujayakan

Menghadapi dunia ini dengan megah
Lalu berkata “inilah yang telah kulakukan!”

Segalanya ini adalah erti seorang insan

-Dean Alfange-

Wednesday 3 August 2011

Mimpi Malam Untuk Esok

Malam ini...
Kuingin menganyam mimpi
Dalam tingkah dan siulan
Unggas yang riuh dalam sepi

Malam ini...
Kuingin mengorak senyum
Dalam api dan nyala
Cinta yang indah dalam mimpi

Malam ini...
Kuingin merakam memori
Dalam kalbu dan rasa
Rindu yang syahdu dalam lena

Nanti esok...
Kuingin mewarnai hari
Dalam nafas dan nadi
Memori yang terindah dalam hidup
Seperti yang kuimpi dalam mimpi
Malam ini...

Nim Yorza,
Gumisi,
03 Ogos 2006.