Pages

Wednesday 27 January 2016

Semua Parti Luar Sabah Tidak Boleh Membentuk Kerajaan Sabah.

(27 Januari 2016)
1. Presiden Parti Cinta Sabah iaitu Dr Nicholas James Guntobon, menegaskan bahawa menurut Perlembagaan Sabah, Artikel 6(3)(7) semua parti-parti yang tidak berdaftar di Sabah tidak layak membentuk kerajaan Sabah ekoran daripada sistem pelantikan Ketua Menteri oleh TYT yang agak terperinci dan ketat.
2. Kenyataan ini memberikan banyak reaksi daripada parti-parti politik yang ingin bertanding di Sabah khususnya parti dari luar Sabah. Ada yang memberikan justifikasi demokrasi, boleh pilih siapa saja Ketua Menteri yang boleh mendapat sokongan majoriti. Tetapi ramai lupa bahawa demokrasi itu juga adalah terikat dalam undang-undang (bound by the law).
3. Jika hanya perlu memilih Ketua Menteri berdasarkan suara majoriti ahli DUN, maka DS Lajim, Dtk Rubin, YB Zainal tidak perlu masuk UMNO dan jadi wakil rakyat BN untuk memungkinkan Dtk Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri ketika krisis politik Sabah suatu waktu dulu. Mereka boleh terus jadi ADUN Bebas dan sokong Sakaran jadi Ketua Menteri, tetapi kerana undang-undang Sabah jelas mahukan PARTI MENANG MAJORITI dan bukan sekadar SOKONGAN MAJORITI.
4. Tujuan PCS bercakap soal ini bukan hanya berniat politik tetapi lebih daripada itu ialah untuk memberikan pemahaman kepada rakyat bahawa undang-undang Sabah unik dan mampu menjaga kepentingan Sabah tanpa banyak bermain wayang politik. Jika kita faham dan guna undang-undang ini maka HAK Sabah khususnya dalam soal KUASA KERAJAAN SABAH tidak akan mudah dimanipulasi.
5. PCS juga tidak mahu jika ada parti pembangkang yang menang tetapi akhirnya tidak berjaya membentuk kerajaan kerana kekangan undang-undang. Kesian kepada rakyat yang menyokong. Mereka tentu kecewa. Akhirnya yang rugi ialah Sabah secara keseluruhannya.
6. Walau bagaimanapun, ini hanya terpakai kepada KERUSI DUN SABAH. Kerusi Parlimen masih terbuka kepada semua parti di Persekutuan Malaysia. Jika PR/PH benar-benar jujur untuk menumbangkan UMNO/BN Putrajaya, maka fokuslah kepada kerusi parlimen dengan bekerjasama dengan parti nasional Sabah kerana hanya kerusi parlimen boleh ubah Putrajaya bukannya kerusi DUN.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS.