Pages

Tuesday 29 May 2012

Mempertikaikan Perkara 20 Sama Seperti Membatalkan Perjanjian Malaysia 1963

Membaca kenyataan pemimpin veteran BN seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, membuatkan saya hampir putus nafas dan berasa amat kecewa. Jika pemimpin lama seperti mereka ini tidak memahami hasrat sebenar di sebalik kewujudan Perkara 20 ini, apakah lagi yang mampu diharapkan bukan sahaja oleh pemimpin baru tetapi juga kepada seluruh generasi muda Sabah terutamanya berkaitan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Harus kita ingat, Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia adalah dua 'dokumen' berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi yang tersendiri. Perkara 20 merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14. Perkara 20 ini diwujudkan oleh pemimpin politik Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Secara mudahnya, Perkara 20 adalah syarat utama bagi Sabah sebelum memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak membentuk Malaysia seterusnya menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Malaysia 1963. Sejak bila pula Perkara 20 dibuat untuk diasimilasikan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia? Ini adalah kenyataan songsang yang sengaja dibuat untuk mengelirukan bukan sahaja rakyat Sabah bahkan seluruh rakyat Malaysia.