Pages

Friday 29 April 2011

Sumpah Itu Penantian Laknat atau Kebenaran?

 
Hari ini heboh satu Malaysia. Kumpulan yang menjadi dalang pendedahan Video Seks yang melibatkan Ketua Pembangkang Malaysia berada di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul untuk melakukan sumpah laknat. Namun hanya Datuk Eskay Abdullah yang melafazkan sumpah tersebut dan diapit Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim.
Beberapa perkara bermain di fikiran saya :-
1. Ramai penyokong puak pakatan kata ini sumpah UMNO. Ini bukan sumpah Islam.Habis tu sumpah Islam macam mana? Sebut perkataan apa, sebut kalimah apa? Mari kita renungkan, semasa saya kecil-kecil dulu,kalau bercerita dengan rakan-rakan, apabila ada sesuatu yang mencurigakan, mudah saja antara kami berkata,"Sumpah Demi Allah..." Jika terbukti antara kami bercakap bohong pasti tidak berani sumpah,tetapi jika betul, maka mudahnya sumpah itu dilafazkan. Itu cerita zaman kanak-kanak yang pada pandangan kebanyakan orang bahawa kanak-kanak selalunya jujur.
Tetapi sekarang ini, jika melihat senario semasa, ada orang nak bersumpah pun takut tetapi berani kata orang lain jahat,kejam malah pembunuh.Walhal sumpah itu mudah sahaja. Lebih menyedihkan,ada pula yang kata sumpah mesti depan Hakim Mahkamah Syariah dan macam-macam syarat lagi supaya sumpah itu sah.Persoalannya, sumpah itu untuk apa dan atas niat apa? Pada saya sumpah itu kerana Allah dan dengan niat agar Allah menghindarkan daripada fitnah atas kebenaran yang cuba disampaikan.Sumpah itu bukan kerana manusia ingin mendengar sumpah itu tetapi kerana menjadikan Allah sebagai saksi terakhir sekiranya tiada manuisa yang ingin mempercayai.Jadi wajarlah ia dilakukan di mana-mana asalkan tempat itu suci dan masjid adalah sebaik-baik tempat.
Soal syarat-syarat itu, ia hanya sekadar formaliti. Jika perlu dilakukan sekali lagi di mahkamah Syariah,lakukanlah. Jika diminta lagi di mana-mana lafazkanlah. Sumpah ini kerana Allah bukan kerana manusia.Jadi mengapa hanya tunggu atau perlu bersumpah di mahkamah sahaja? Setiap orang Islam berhak melafazkan sumpah di mana-mana kerana kalimah itu milik semua hambanya...

2.Kebenaran selepas bersumpah. Apakah indikator kebenaran bagi kita ialah laknat yang akan diterima oleh pihak yang bersumpah atau apakah jenis kebenaran yang kita inginkan di sebalik sumpah tersebut?Jika kita melihat senario lalu, sumpah yang pernah dilafazkan oleh seseorang individu, sebenarnya kebenaran semakin terserlah. Buktinya, satu persatu norma nilai individu yang dikaitkan dengan mesej dalam sumpah tersebut terbongkar dan menjadi bahan bualan. Namun bagi puak pembangkang ini juga bukan kebenaran. Namun sebagai umat Islam, percayalah,kebenaran sebenar hanya pada kuasa Allah semata-mata.Lagipun selalunya kebenaran itu pahit dan jarang menyebelahi kita. Tetapi bagi orang beriman, kebenaran itu ada di mana-mana bukan hanya kerana adanya sumpah.Allah lebih mengetahuinya.

3. Sumpah itu bukan cara terakhir untuk menyatakan kebenaran. Sumpah itu juga bukan bermaksud, apa yang disumpahkan itu benar. Manusia itu walau bagaimanapun sentiasa bersifat tidak sempurna. Manusia itu tidak akan pernah sunyi dari melakukan khilaf. Jika sumpah itu adalah bukti kepada kebenaran maka hari ini kita tidak perlukan mahkamah yang begitu canggih disertakan dengan macam-macam perundangan yang rumit dan kompleks. Namun demikian, sumpah ini juga punya nilai dan martabat tersendiri apatah lagi kepada umat Islam. Seseorang yang bersumpah,sebenarnya hanya ingin menekankan bahawa dia tidak berbohong. Ketika seseorang tertekan untuk menyatakan sesuatu yang tidak dipercayai sebahagian manusia, maka kita bersumpah untuk menyatakan kepada manusia bahawa sesungguhnya Tuhan mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Jadi jelas Datuk Trio hanya sekadar cuba untuk menyatakan bahawa mereka tidak berbohong. Jadi tidak perlu marahkan atau cemuhkan mereka. Sumpah mereka tidak membuktikan apa-apa. Biarkan pihak berwajib yang membuktikan apa sahaja dakwaan mereka. Tidak perlu kita gaduh dan bertelagah...

Wednesday 27 April 2011

Pemikiran Komunis Masih Wujud Dalam Kalangan Kaum Cina?

Semalam saya berbual sambil pekena Air Tiga Rasa di sebuah restoran bersama beberapa orang teman yang berlainan latar belakang kecenderungan politik mereka. Salah satunya adalah seorang lelaki Cina yang baru saya kenali berasal dari Perak dan sedang menuntut di salah satu IPT di Sabah. 

Awal pembicaraan kami hanyalah isu-isu politik yang ringan dan yang telah pun hampir basi walau pun ia sentiasa disegarkan semula. Kadang-kadang bosan juga cerita seks saja. Saya banyak bercerita tentang perjuangan rakyat Sabah seperti isu PATI, isu Royalti Minyak dan pembikinan Saluran Paip dan Gas oleh Petronas.Malah sempat juga memberikan persoalan, kenapa Sabah yang merupakan antara pengeluar terbesar Minyak di Malaysia tetapi ekonominya langsung tidak ada yang berkaitan dengan minyak seperti petroleum refinery, LNG plants dan sebagainya. Malah lebih menyedihkan tiada seorang pun Pegawai Petronas adalah orang Sabah.Begitu juga isu yang tekal dan selalu saya bangkitkan di mana-mana iaitu isu Memorandum 20 Perkara.

Akhirnya saya katakan bahawa, kami di Sabah ini memperjuangkan perkara asas dan hak sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang diiktiraf melalui IGC. Perjuangan kami bukan soal isu tetapi soal fakta. Tetapi kami berjuang mengikut landasan yang betul dan secara evolusinya. Kami bukan membenci Tanah Melayu malah berterima kasih juga kerana bersama-sama berinisiatif membentuk Malaysia. Kami menghormati kedaulatan, persefahaman dan kemerdekaan Malaysia. Kami tidak seperti DAP yang suka bermain isu perkauman, sehingga melabelkan kerajaan yang majoritinya Melayu Islam sebagai berfahaman Hitler. Malah kami juga tidak memainkan isu, Malaysia ini siapa punya. Malah kami yakin bahawa Tanah Melayu itu asalnya memang Melayu yang menjadi penguasanya walaupun penduduk asal adalah orang Asli.Hanya India dan Cina yang imigran melalui penjajahan British untuk memenuhi keperluan ladang dan perlombongan. Sedangkan Melayu datang sendiri ke Tanah Melayu tanpa dibawa oleh sesiapa dan seterusnya membentuk kerajaan awal. Ini juga fakta dan kami tidak pernah persoalkan ini seperti DAP yang sengaja menimbulkan provokasi songsang.

Tetapi itulah kata pepatah, cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Lelaki Cina tadi rupanya peyokong tegar pembangkang. Katanya, jika saya mengundi, jika ada calon MCA dan PAS maka saya akan undi PAS walaupun Calon MCA itu orang Cina. Tetapi sekarang ada DAP maka saya lebih selesa bersama DAP,katanya. Saya tersenyum pahit mengingatkan betapa bersemangatnya saya bercerita soal Sabah tadi.Saya buat begitu kerana inginkan keseimbangan supaya tempat saya lebih cepat membangun.  Kalau nanti kerajaan kalah pun,kita cuba pembangkang.Kalau tidak bagus juga, kita tukar lagi katanya.Saya terus mendengar tanpa memberikan komen.

Apabila berkesempatan, saya katakan padanya bahawa negara ini bukan tempat untuk kita memperjudikan masa depan generasi kita dengan cara 'TRY and ERROR'. Itu bukan cara yang betul. Kalau pun perlu kita tukarkan kepimpinan bukan dengan cara merosakkan apa yang sudah sedia ada dan baik dalam negara kita. Saya berikan contoh, pembangkang pada ketika ini cuba merosakkan imej kepolisian, SPRM, SPR malah mahkamah untuk menjustifikasikan ideologi politik mereka.Suatu hari nanti jika mereka berjaya menjadi pemerintah, ini bukan satu perkara mudah untuk membetulkan semula kepercayaan masyarakat.Maka jika ingin berpolitik, maka tonjolkanlah kebaikan sebenar bukan denga isu-isu yang hanya akan merugikan perpaduan dan kelangsungan Malaysia pada masa depan. Lihat contoh Iraq, katanya Saddam Hussien diktator dan mereka mahukan demokrasi. Namun hari ini seluruh dunia tahu bahawa Iraq semakin hancur bahkan idea demokrasi yang dicanangkan juga berantakan.Apakah sebabnya? Kerana pembangkang di sana meracuni pemikiran rakyat dengan merosakkan semua sistem pemerintahan yang ada sehingga sukar pula untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat. Dan yang paling untung ialah penjajah asing dan kafir di bumi Iraq.

Kemuncak perbualan kami apabila lelaki Cina ini mempersoalkan kepada saya tentang Komunis. Katanya adakah Chin Peng benar-benar jahat. Sedangkan Parti Komunis Malaya (PKM) ialah faktor utama yang mendorong orang Melayu bangkit untuk menuntut kemerdekaan. Kalau ikut hati, panas membara. Saya tahu benar tentang kebanggaan seorang askar. Patriotisme saya sangat tercabar. Namun saya biarkan dia meneruskan bicara. Katanya Komunis satu ideologi yang baik hasil cetusan Karl Marx. Malah bukan Cina sahaja yang menyetujuinya. Buktinya Rashid Maidin, Abdullah CD juga bersama dalam kepimpinan PKM.Malah katanya, Komunis tidak pernah mengatakan bahawa mereka anti agama. Ini hanya tohmahan dan tuduhan kerajaan pada ketika itu sebab itu Rashid Maidin dan rakan Melayu yang lain masih tetap dengan PKM.

Saya teruskan hujah saya dengan mengatakan bahawa ideologi Komunis yang dicetuskan oleh Karl Marx adalah ideologi ekonomi semata-mata untuk mengekang pengaruh kapitalisme. Karl Marx seorang Yahudi malah beliau tidak berperanan menyebarkan ideologinya ke merata dunia. Tetapi sejak Russia menerima ideologi ini maka tersebarlah ideologi ini. Apabila Perang Russia Afghanistan, dalam Komunis sudah ada percampuran agama Yahudi dan Kristian. Begitu juga di Komunis di China. Sejak itulah ideologi ini berubah kepada : jika terdapat pilihan antara agama dan ideologi komunis, maka agama harus diketepikan demi mencapai matlamat, Karl Marx sendiri bersetuju dengan pandangan ateisme.

Saya katakan lagi, dengan ini jelas bahawa PKM di Tanah Melayu ketika itu adalah  Komunis selepas Karl Marx iaitu melalui Russia dan China. Apa yang pasti ideologi ini bukan lagi ideologi ekonomi tetapi lebih kepada ideologi politik semata-mata.Apatah lagi komunis di Tanah Melayu mendapat pengaruh langsung dari negara komunis China. PKM berjuang untuk menubuhkan republik Komunis. Mereka tidak berjuang untuk negara malah di sebalik perjuangan mereka itu, ramai rakyat tidak berdosa menjadi korban hanya kerana tidak mempercayai ideologi komunis.Ketika era peralihan penjajahan Jepun British, Komunis atau Bintang Tiga menggunakan kekerasan dan kekejaman untuk memaksa rakyat menerima perjuangan mereka. Maka kesimpulannya saya kata Chin Peng atau Ong Boon Hwa adalah jahat dan kejam.Selepas itu kami bersurai.

Memang benar, British pernah merestui PKM melalui MPAJA dengan melatih gerila Komunis tetapi tindakan MPAJA bukan sahaja ganas terhadap pihak Jepun malah telah menimbulkan kebencian dalam kalangan Melayu kerana kekejaman mereka di kampung-kampung. Selepas British kembali dengan pemerintahan tentera (BMA) maka komunis meneruskan agenda mereka untuk berkuasa dan menentang British sedangkan pada masa itu, pemimpin Melayu sudah mula menggerakkan usaha kemerdekaan.

Jadi orang Melayu dalam PKM bukan semata-mata menyokong ideologi komunis tetapi mereka percaya bahawa jika PKM memerintah maka mereka akan jadi pemimpin. Oleh itu mereka teruskan perjuangan bukan kerana percaya bahawa ideologi komunis ini benar.Malah Rashid Maidin dan Abdullah CD pernah berusaha 'lari' dari PKM dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945) yang lebih pro kemerdekaan Indonesia. Namun parti ini juga tidak mendapat sokongan Melayu.

Tidak ada asas yang mengatakan bahawa PKM adalah pendorong kemerdekaan. Alasannya :
1. Pada tahun 1955 iaitu 2 tahun sebelum Tanah Melayu merdeka (Parti Perikatan telah menang Pilihanraya) PKM telah pun lemah dan tidak mendapat sokongan rakyat kerana rakyat memilih untuk merdeka melalui perundingan dan bukannya kekerasan. Bukti kelemahan PKM ialah melalui Rundingan Baling yang diminta oleh PKM. Rundingan ini gagal kerana permintaan melampau PKM dan mereka kembali ke hutan menjadi gerila dan membunuh rakyat dengan kejam.
2.Rundingan Baling diminta oleh PKM kerana menyedari bahawa pengaruh Komunis telah melemah di seluruh dunia. Russia dan China mula membuka ruang kepada ekonomi terbuka. Tembok Berlin juga diruntuhkan dan Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu semula.
3. Pemimpin Melayu PKM juga mula berasakan bahawa perjuangan bersenjata tidak lagi relevan kerana rakyat telah memilih untuk merdeka melalui cara yang betul.Namun kerana tidak mendapat tempat dalam arus perdana kepimpinan maka mereka memilih untuk terus bersama PKM sehinggalah diharamkan.

Kesimpulannya PKM wujud hanyalah untuk menangguk di air keruh. Ketika negara berada dalam keadaan genting maka PKM menyusup untuk memaksa rakyat menerima mereka menjadi pemimpin. Sekalipun dengan cara kekejaman dan kekerasan.Seharusnya Chin Peng tidak sekali-kali dibenarkan kembali ke Malaysia.Peristiwa Bukit Kepong adalah kemuncak kekejaman Komunis yang tidak mungkin dapat dipadamkan dalam lupatan sejarah tanah air.Jangan orang Cina lupa, mendiang Koh Ah Cheng juga mati di tangan Komunis semasa peristiwa ini selaku Polis Bantuan.

Maka situasi Malaysia hari ini juga seoalah-olah sama. Ketika kepimpinan Melayu berpecah maka, anasir lain yang menaja politik perkauman sempit hadir menangguk di air keruh. Adakah kita bersedia untuk menerima ideologi Komunis kembali menguasai tanah air kita? Jangan kita jadi bodoh untuk jatuh di lubang yang sama dua kali.Mereka ini berjuang hanya untuk berkuasa, bukan kerana rakyat. Merekalah yang selalu menimbulkan isu untuk membibitkan keraguan rakyat. Mereka cuma mahukan rakyat memberontak agar mereka dapat apa yang mereka mahukan.

Saya pulang ke rumah dengan satu pandangan baru terhadap pemikiran Cina kini yang masih memikirkan bahawa Chin Peng sebenarnya baik. Harapnya ini bukan suara hati kebanyakan kaum Cina apatah lagi saya juga masih ramai rakan berbangsa Cina. Sayangilah Malaysia. Jangan menimbulkan isu yang bukan-bukan. Jangan cuba ubah sejarah. Marilah kita melihat masa depan. Malaysia ini bukan untuk kita sahaja tetapi untuk anak cucu kita.

Sunday 24 April 2011

Interlok (India Cetus Polemik Lagi)

Selepas berjaya mendesak Putrajaya 'menyusun semula' Novel Interlok yang dijadikan bahan Sastera di sekolah menengah, kini kaum India mendesak pula Kamus Dewan dikaji semula untuk diubah. Ini semua hanya kerana ada perkataan pariah iaitu salah satu jenis kasta dalam masyarakat India. Inilah yang dikatakan sudah diberi betis hendakkan paha.

Novel Interlok telah ditulis oleh SN Abdullah Husain sejak 40 tahun lalu. Jika ada manusia lahir pada ketika beliau menulis novel itu pastinya kini telah berusia lebih 40 tahun. Dan selama 40 tahun itu juga ada perkataan-perkataan itu di sana. Jadi selama itu, apakah keburukan yang telah berlaku kepada masyarakat India? Jawapannya TIADA kesan buruk pun.Apabila novel ini diangkat untuk dijadikan naskah sastera di sekolah menengah maka ramai aktivis dan ahli politik India timbul untuk menjadi hero. Persoalannya,apakah yang mereka perjuangkan itu adalah dari hati yang ikhlas atau sekadar ingin menonjolkan diri?Atau hanya bermotifkan politik murahan?Atau sekadar provokasi menentang Melayu kerana yang menulisnya adalah Melayu?

Apakah dengan menghilangkan pariah di Novel Interlok dan di Kamus Dewan maka seluruh Malaysia dan seluruh dunia akan lupa tentang perkataan ini? Saya tidak tahu di mana rasionalnya mereka mempertikaikan perkara ini. Sedangkan fakta sejarah di India dan Burma, kasta pariah ini sememangnya wujud. Sejarah tidak mungkin dapat kita ubah.Sepatutnya masyarakat India di Malaysia berusaha menjadi bangsa yang maju dan hebat, apatah lagi hanya di negara ini mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya.Gunakanlah keterbukaan Malaysia ini untuk maju ke hadapan bukan dengan mereka-reka kontroversi yang pada hakikatnya sekadar menampakkan wajah penentangan dan suara sumbang yang tidak relevan. Malah perkataan ini bukan pun soal-soal agama dalam Hindu. Jika ia soal agama, mungkin ada rasionalnya.Tetapi ini sekadar sejarah hidup dan kehidupan.

Saya anak seorang penoreh getah yang sangat miskin. Saya ada beberapa kawan yang ayahnya hanya seorang pencari makanan untuk babi peliharaan majikannya. Saya ada kawan yang bapanya menyapu seluruh pekan dan mencuci tandas awam.Saya juga ada kawan yang ibunya bekas pelacur. Saya juga ada kawan yang ayahnya bekas banduan (pembunuh).Tetapi saya tetap bangga menjadi saya dan bersama kawan-kawan ini. Bukan kerana sejarah lampau yang perit dan hitam tetapi kerana semangat juang untuk hidup dengan bermaruah. Kami tidak pernah menyesal menjadi anak termiskin, kuli babi, pencuci tandas awam,anak pelacur atau anak pembunuh kerana kami memahami itulah takdir kelahiran kami yang tidak mungkin dapat dipadamkan selamanya. Jika ada yang bercerita tentang ini, kami tetap tersenyum dan mengakuinya, YA itu memang ibu bapa kami.Itu memang sejarah keturunan kami.

Tapi kawan, kini kami lebih memahami bahawa untuk memadamkan sejarah hitam itu bukan dengan memarahi orang yang memperkatakannya tetapi lebih baik membuktikannya dengan usaha dan kekentalan cita-cita.Berjuang untk menjadi insan yang lebih bermaruah.Inilah perjuangan sebenar.Apa yang pasti sejarah hitam telah mengajar kami untuk tidak mengulanginya semula.Inilah pengajaran tulin dari pengalaman.

Wahai sahabat-sahabat warga India, bangunlah dari mimpi yang dihasilkan oleh golongan tertentu dalam masyarakat kalian. Apa yang mereka perjuangkan itu bukan satu perjuangan tulin. Ia hanya untuk kepentingan peribadi mereka.Sekadar untuk menjadikan diri mereka sebagai hero segera.Sedarlah bahawa masyarakat lain di Malaysia tidak pernah ambil tahu tentang kasta. Kasta hanya ada di negara India dan Burma. Kami melihat India sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat. Kaum India tetap sama di mata kami. Kami tetap menghormati doktor-doktor keturunan India, cikgu-cikgu malah pensyarah-pensyarah keturunan India sekalipun dia daripada kasta pariah.Kami tidak ambil pusing pun hal pariah itu.Tetapi segelintir kaun India lah yang menjadikan seluruh Malaysia ambil tahu dan memandang semula soal pariah ini. Maka hentikanlah membuka pekung di dada.

Marilah kita sama-sama renungkan kata-kata ini :
"Sekalipun nyawa di hujung pedang, sejarah kelahiran tidak mungkin dapat ditulis semula namun kendatipun, hidup selamanya, masa depan juga tidak dapat diubah jika kita hanya meratapi sejarah dan menyalahkan takdir"

Saya ingin bertanya kepada Uthaya Sankar SB,Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, jika kalian berjaya memadamkan perkataan pariah yang tertulis di mana-mana buku di seluruh dunia ini, apakah masyarakat India di dunia ini akan tiba-tiba menjadi agung dan terhormat???

Makna PARIAH

Saturday 23 April 2011

Ong Kim Koon ( Warga Malaysia Terhormat )

Membaca berita tentang kematian seorang lelaki Cina bernama Ong Kim Koon,52 tahun, telah menyentuh jiwa saya yang terdalam sebagai warga Malaysia berdaulat. Matinya adalah mati seorang wira. Hatinya suci seputih awan terindah.Jika saya mati sepertinya juga saya redha dan bangga.

Ketika mendiang pulang dari kerja 14 April lalu, beliau melihat sebuah kereta Perodua Viva terbabit dalam kemalangan. Beliau mendapati terdapat sepasang suami isteri sedang tersepit dan meminta pertolongan. Beliau dengan rela membantu mengeluarkan mangsa pertama seorang wanita dan meletakkannya di tempat yang selamat. Ketika hendak mengeluarkan mangsa kedua, malang menimpa apabila sebuah kereta Toyota Estima merempuh beliau dari arah belakang menyebabkan beliau parah sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong. 

Menyedihkan sekali,hari ini, beliau disahkan meninggal setelah mengalami pendarahan teruk dan beberapa organ dalamannya tidak berfungsi.Tambah menyayat hati, mangsa yang diselamatkannya pun tidak sempat lagi bertemu untuk menjalin silaturrahim dengan mendiang. Namun, satu perkara yang sangat menyakitkan hati apabila kereta yang melanggar beliau telah menghilangkan diri. Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

 Kawan, apa yang tambah membanggakan saya, mangsa yang dibantu oleh mendiang itu adalah pasangan Melayu dan Islam.Inilah nikmat terhebat menjadi warganegara Malaysia. Inilah yang wajar kita contohi. Ceritakan kepada semua generasi tidak kira bangsa dan agama.Jika Pengasas Malaysia dahulu masih ada, pasti inilah titisan airmata kegembiraan mereka. Ong mewakili masyarakat Cina yang rendah hati dengan nilai semangat Malaysia yang luhur.

Sayangnya apa terjadi dengan kebanyakan Cina hari ini di luar sana. Ketika statistik menunjukkan Melayu tertinggal dalam banyak bidang, mereka dengan mendabik dada mengatakan bahawa itu kerana Melayu /Bumiputra malas dan kami bekerja keras.Ketika kerajaan yang didominasi oleh Melayu Islam ini memberikan kebebasan dengan membuka sekolah SJK(C), mereka bayar dengan berbahasa Melayu yang cacamarba. Malah ada bangsa Cina yang mempersendakan Lagu Negaraku.

Setelah kesudian Raja-raja Melayu dan Pemimpin Melayu menerima Cina melalui prinsip JUS SOLI, inikah balasan yang harus diterima oleh Melayu. Jika kalian ingin terus menjadi warga Malaysia yang tidak dipandang serong, hayatilah pengorbanan Ong. Paling tidak pun jadilah seperti Tan Sri Lee Lam Thye, jadilah seperti Prof Madya Dr. Lim Swee Tin, yang bahasa Melayunya jauh lebih baik daripada kebanyakan bangsa Melayu sendiri.

Sekalung TAKZIAH buat seluruh keluarga Ong. Tabahlah...Tuhan lebih menyayanginya. Dan dia warganegara Malaysia yang Terhormat....

Friday 22 April 2011

Masa Yang Tepat Untuk Hapuskan SJK

Ketika ini Parlimen Malaysia di bawah Kerajaan BN hanya ada 15 wakil Cina. Malah yang terbaru di Sarawak, Kerajaan Negeri hanya ada 2 wakil Cina. Jadi kita melihat bahawa kaum Cina tidak lagi memerlukan suara dalam kerajaan. Pada ketika ini mereka sudah cukup selesa dengan pegangan kek ekonomi yang besar. Kaum Cina tidak lagi hairan atau ambil pusing dengan sokongan terhadap kerajaan sekarang kerana menganggap tiada apa lag yang mereka perlukan kerana mereka telah berjaya menguasai segalanya sejak dahulu. Perlahan tetapi pasti. Kini mereka memerlukan 'perhatian' baru iaitu Undi Untuk Ubah. Maknanya mereka kini mula dahagakan kuasa kerana mereka lihat, dengan hanya menguasai ekonomi, mereka tidak dapat menguasai Malaysia. Tetapi dengan menguasai tampuk kuasa Malaysia, bukan sahaja ekonomi malah agama dan budaya juga dapat mereka kuasai. Dan melalui kerajaan sekarang, mereka melihat bahawa kuasa tidak dapat diperkukuhkan lalu beralih kepada platform yang lebih bernada Cina.

Oleh itu, kata-kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr.Chua Soi Lek yang akan mengkaji kedudukan mereka dalam kabinet jika PRU akan datang tidak memberangsangkan adalah sesuatu yang wajar. Kedudukan wakil Cina dalam kerajaan sekarang tidak lagi menggambarkan suara sebenar kaum Cina. Jadi kita biarkan kaum Cina menentang arus dan kita lihat sejauh mana politik berasaskan satu kaum yang diperjuangkan mereka berjaya. Tetapi Melayu juga harus mengatur gerak dan langkah yang sama.

Penjajah British dan Jepun dahulu berdepan dengan Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh, Antanom, Rentap dan ramai lagi pejuang tulin Melayu dan Bumiputra. Tidak ada satu nama Cina pun dalam sejarah mepertahankan tanah air. Nama Cina yang Malaysia ingat ialah Chin Peng. Pejuang fahaman komunis yang paling kejam. Jadi kenyataan bahawa Melayu,Cina dan India sama-sama pendatang atau imigran adalah fahaman yang sangat dangkal. Tanah ini milik Melayu dan Bumiputra.Ini fakta yang tidak boleh disangkal...

Oleh itu, hari ini kita melihat kebangkitan Cina melalui DAP dengan slogan Malaysian Malaysia, yang maknanya mahukan taraf yang sama dengan Melayu dan Bumiputra terutamanya dalam soal kuasa adalah amat berbahaya. Perkongsian kuasa yang diberikan secara percuma malah atas dasar budaya Melayu yang sangat bertoleransi suatu waktu dahulu ketika membentuk Malaysia kini akhirnya makan tuan.

Hari ini di Malaysia, Cina masih dengan budayanya. Cina masih dalam pergaulan sesama mereka. Mereka tetap membaca akhbar Cina. Malah terus menghantar anak mereka di SJK(C). Malah sehingga kini, Bahasa Melayu mereka masih lagi cacamarba seoalah-olah mereka ini bukan warga Malaysia. Bahkan seolah-olah mereka baru sahaja sampai dari negara China. Inilah harga yang telah mereka bayar atas kesudian  Raja-raja dan pemimpin Melayu suatu ketika dahulu untuk memberikan kewarganegaraan mudah melalui prinsip JUS SOLI dan dengan ini mereka layak berkongsi kuasa.Sedangkan di negara lain, misalnya di Indonesia, kaum Cina bahkan ingin menamakan keturunan mereka dalam karakter Cina juga tidak dibenarkan. Di Malaysia mereka bebas sebebas-bebasnya melakukan apa sahaja.

Atas dasar ini, seharusnya kita melihat bahawa sistem persekolahan SJK(C) adalah penyebab utama penyatuan kaum Cina yang kini lebih menentang arus. Melalui SJK(C) inilah mereka terus bersatu tanpa dapat dibendung sehinggakan perasaan Malaysia mereka tidak berpaksikan kepada landasan yang tepat. Di SJK(C) inilah mereka belajar untuk tidak menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Di SJK(C) inilah mereka belajar untuk tidak bergaul dengan kaum lain.Di SJK(C) inilah mereka terus belajar untuk hanya menjadikan akhbar tulisan Cina sebagai wadah komunikasi dunia mereka.... Ingin saya bertanya di mana letaknya Malaysia mereka ini?

Maka berdasarkan pandangan di atas, sistem SJK telah melahirkan warganegara Malaysia dari kaum lain yang semakin tidak Malaysia. Maknanya sistem ini GAGAL membentuk acuan Malaysia yang sepatutnya.Justeru, pada ketika ini sokongan Cina khususnya dalam kerajaan yang semakin terhakis, maka inilah masa yang tepat untuk menghapuskan sistem SJK ini. Sampai bila kita harus mendukung biawak hidup? Tiada gunanya mendengar apa mahu mereka sedangkan mereka tidak bersama kita dalam arus sebenar citra Malaysia.Kita harus bertegas jika tidak ingin Malaysia ini tinggal hanya sebuah negara yang ada  perkataan "MALAY" tetapi tidak ada Melayunya.

Kesimpulannya, kita harus mengikut jalan yang telah dilalui oleh kaum Cina dalam membentuk kekuatan mereka. Kita harus sedar dan bangkit sekarang. Perjuangan sebenarnya belum selesai.Jika mereka kata "Selamatkan Malaysia" maka kita harus kata "Selamatkan Tanah Tumpah Darahku".Aku hidup dan mati tanah ini. Aku tidak ada keturunan nenek moyang di mana-mana selain tanah ini. Aku hanya ada tanah ini. Hanya di tanah ini ada orang yang memahami bahasaku dan tidak di tempat lain. Malah tidak ada satu negara lain pun di dunia ini yang menggambarkan bangsaku. Jadi "Selamatkan Tanah Airku"...

Thursday 21 April 2011

Perbualan Hati

Malam ini saya bertemu dengan beberapa rakan khusus untuk membincangkan sebuah program yang berkaitan dengan Bulan Sabit Merah Malaysia. Selepas sesi perbincangan formal, kami teruskan sesi sembang kosong. Antara banyak-banyak cerita itu,satu perkara menarik perhatian saya dan saya ingin kongsikan bersama sebagai renungan.

A : Sekarang ni, kamu perasan atau tidak, kebanyakan gadis suku kaum Dusun,Murut atau Lundayeh di tempat kita ni kahwin dengan orang Cina. Bikin sakit hati lagi, yang cantik-cantik pula tu...

B : Ala, itukan jodoh. Hak Tuhan.

C : Diorang pilih Lelaki Cina sebab kaya. Diorang tidak susah-susah lagi kerja. Yang penting pandai melawa dan bergaya. 

A : Yalah.  Apa yang diorang penting sebenarnya ialah, dengan dapat bini bumiputra maka diorang akan dapat beli tanah sebab non-bumi kan susah beli tanah,apa lagi yang NT ( Native Title, kalau tidak silap sayalah).

C : Lagi pun pilih lelaki bumiputra macam kita ni, gadis-gadis tu rasa tidak selamat pun. Bila-bila masa kena cerai atau mungkin sekadar habis madu sepah dibuang. Masing-masing tiada kepentingan. Kalau dengan lelaki Cina, diorang selamat sebab diorang ada 'kegunaan'. Yang lelaki Cina tu bukan peduli sama ada gadis yang diorang kawin tu lulus SPM  ka, atau biarlah 'buduh' pun. Yang penting cantik. Jadi daripada sia-sia di tangan lelaki bumiputra, lebih baik kahwin dengan lelaki Cina. Hidup senang dan kena 'jaga' sebab tanah atas nama diorang.Nanti tanah tu akan ditukar jadi CL ( Comersial Land barangkali) oleh lakinya.

Perbualan itu berlarutan panjang lagi tetapi terdetik di hati kecil ini... Apakah mungkin senario ini ada juga kebenarannya...? Jikalau benarlah, wahai ibu-ibu bapa-bapa...anak-anak gadis kalian sedang dengan tanpa sedar memperdagangkan tanah-tanah kita. Sedangkan ada pejuang-pejuang kepimpinan bertegang urat menyelesaikan Tanah Adat (NCR)... Namun apabila sudah dapat... bersediakah anda untuk membiarkan anak gadis anda 'menjualnya untuk ditukar dengan kemewahan'...?

Akhirnya saya menjawab begini :
"Apa pun, semua ini jodoh dan ketentuan Tuhan. Apa yang penting ialah, kita tambahkan kekuatan orang kita. Rajin belajar. Kerja dengan penuh dedikasi. Ini tidak, asyik-asyik aramai tii. Mabuk, lepas tu kerja tertinggal sampai dua tiga hari. Jadi mulailah kita sedarkan orang-orang kita bahawa dalam dunia moden dan semakin mencabar ini, kita akan tertinggal dari semua segi jika kita lambat bertindak. Maka sekarang ini bukan lagi masa untuk kita banggakan tentang status bumiputra.Bumiputra sekarang hanya tinggal status yang tidak memberikan makna apa-apa jika kita hanya diam berpeluk tubuh..."

Kebanyakannya akur dan kami sambung cerita video seks. (Hehe)... Begitulah cerita sembang kosong kebanyakan daripada kita tetapi dalam tidak sedar, sebenarnya itulah perbualan hati kita yang paling ikhlas dan jujur...

(Tulisan ini bukan bermaksud tuduhan malah tiada bukti dan kajian ilmiah pun. Anggaplah ia sekadar sembang kosong...)

Monday 18 April 2011

Cik Syidah Dari Parit (C.S.D.P)

 
Selepas terbaca di Harian Metro, saya pun mencari klip video miming  Cik Syidah ni di laman Youtube. Memang gempak la. Saya bukan saja rasa nak terhadas kecil tetapi terus nak terhadas besar. Kelakar tetapi sangat berbakat. Tahniah kepada Cik Syidah.

Cik Syidah ni sebenarnya seorang cikgu dan berasal dari Parit Perak. Sehingga kini, video klip miming hasil kreativiti Cik Syidah ni telah mencecah jutaan penonton di seluruh dunia.Walaupun telah begitu terkenal namun Cik Syidah tetap berbangga sebagai pendidik dan akan terus menabur bakti pada anak bangsa. Tahniah Cik Syidah...

Cik Syidah telah beberapa kali dijemput dalam Talk Show TV. Malah Dato Siti Nurhaliza pun pernah menjemput beliau. Kalau mahu cerita lanjut, carilah CIK SYIDAH ini di Youtube...Pasti tidak kering gusi.Walaupun ada juga yang memberi komen negatif tetapi itukan lumrah. Bagi saya ini hasil seni yang harus dibanggakan. Soal dia tu cikgu bukan isu besar. Dia juga manusia biasa dan apa yang dia lakukan jauh lebih baik berbanding guru-guru statik lain yang hanya menggunakan medium klasik untuk memberikan tunjuk ajar positif.

Teruskan berkarya wahai cikgu Syidah...


FUN FAIR Vs Taman Tema

Menyebut soal hiburan, pelbagai cara dan kerenah manusia untuk berhibur. Fun Fair antaranya. Apa yang menarik perhatian saya ialah di Keningau Sabah, hampir setiap tahun ada Fun Fair. Apabila ada saja Fun Fair, maka berduyun-duyunlah rakyat di pedalaman termasuk Tenom, Nabawan, Tambunan datang menghiasi malam-malam Fun Fair di sini.

Sebentar tadi sempat saya melewati tempat Fun Fair ini diadakan. Kereta diletakkan di tepi jalan dan kesesakan hampir 1 kilometer. Tidak sampai 200 meter tempat Fun Fair ini diadakan, adalah Masjid Taqwa, Keningau. Tidak dapat dinafikan ramai sekali umat Muhammad berada di Fun Fair tersebut sehingga lupa bahawa sebelahnya adalah rumah Allah. 

Namun, satu perkara lain yang saya fikirkan ialah, kesiannya rakyat Malaysia di Sabah ini. Kalau di Tanah Melayu (bermakna semua negeri yang ada di Tanah Semenanjung), percutian keluarga boleh saja ke Taman Tema Genting atau ke Berjaya Times Square. Selain daripada tempat permainannya lebih selesa, yang lebih penting ialah tahap keselamatnnya tinggi. Tapi di Fun Fair ini, walaupun tidak dilaporkan lagi apa-apa kejadian yang tidak diingini, namun bayangkanlah, taman permainan yang dibina sementara tetapi hampir menyamai 'keganasan' permainan yang ada di taman tema yang saya sebutkan tadi. Melayang-layang di udara di atas besi yang hanya disambung-sambungkan sementara. Aduhai...

Apa boleh buat. Itu sahajalah yang rakyat Sabah ada sebagai sumber hiburan dan rekreasi keluarga. Apa lagi yang kita ada, sampaikan hiburan sebegini pun sukar sekali sampai ke Sabah. Sudah hampir 50 tahun kita mengabdi bersama Malaysia. Walaupun ini bukanlah penting sangat tetapi bayangkanlah,jika taman tema sebegini pun tidak sampai ke Sabah, berapa tahun lagi untuk rakyat Sabah mendapat kemudahan LRT, Komuter dan sebagainya. Di Kuala Lumpur, perhentian bas pun sudah macam lapangan terbang. Perhentian bas kita di sini hanyalah tempat PATI berlonggok menjual rokok, dompet, tali pinggang dan kacamata.

Saya menulis begini bukan bermakna saya meminta taman tema di Sabah. Ini terpulang kepada peniaga untuk membuka peluang pelaburan di Sabah atas nama taman tema tersebut, tetapi apa yang menjadi kebimbangan saya ialah, Fun Fair ini tetap menjadi tumpuan setiap kali ia diadakan. Maka setiap kali itu juga kita terdedah kepada ancaman keselamatan Fun Fair yang hanya dibina sementara itu. Sampai bilakah tahap Sabah ini sekadar berbangga dengan Fun Fair? Sedangkan rakyat lain di Malaysia sudah pun merasai Roller Coaster, Monster Train dan sebagainya di taman tema yang jauh lebih selamat... Berjuanglah... Kami juga rakyat Malaysia... Kesetiaan kami usah diragui... Orang putih kata "Do Give Us a Favour"...

Saturday 16 April 2011

Keputusan PRN Sarawak : BN Menang Majoriti 2/3

Keputusan rasmi Pilihanraya Negeri Sarawak yang Ke-10 akhirnya berpihak kepada Barisan Nasional dengan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan negeri yang baru. Keputusan penuh.

Barisan Basional Menang 55 Kerusi
DAP Menang 12 Kerusi
PKR Menang 3 Kerusi
BEBAS Menang 1 Kerusi

Pas, PCM dan SNAP tidak berjaya memenangi walau satu kerusi pun. Tahniah BN.

Keputusan PRN Sarawak : BN Menang Majoriti Mudah

 
Keputusan PRN ke-10 Sarawak kali ini menyaksikan sekali lagi BN berjaya membentuk kerajaan. Setakat jam 2100 tadi BN menang 36 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan manakala DAP (5), PKR (3) dan Bebas (1).



Tahniah buat seluruh warga Sarawak kerana angin perubahan sebenar hanya dapat dibawa oleh kerajaan yang berwibawa dan pemimpin yang berkredibiliti.PR sekadar melaungkan janji yang tidak mungkin dapat ditunaikan sama seperti janji-janji yang ditaburkan di Selangor dulu.

Namun sudah dijangka bahawa DAP berjaya mendapat majoriti besar dalam kalangan kaum Cina. Petanda kaum Cina benar-benar inginkan perubahan. Tapi perubahan seperti apakah yang diinginkan oleh kaum ini? Pemimpin DAP sebenarnya berjaya mempengaruhi kaum Cina untuk berdiri sebagai satu bangsa yang kuat agar segala permintaan mereka terpenuhi. Apatah lagi, ini adalah masa terbaik untuk bertindak setelah lama penantian mereka. Masa yang amat tepat ketika Melayu mula berpecah. Mudahnya, kemenangan DAP bukanlah kemenangan rakyat tetapi kemenangan kaum Cina semata-mata.

Kepada Pehin Sri Taib Mahmud serta seluruh warga BN Sarawak, syabas dan tahniah! Namun janji tetap janji. Pehin Sri harus mula menghitung detik bilakah untuk membuat peralihan kepimpinan agar BN terus relevan dengan arus pemikiran baru dalam kalangan pemimpin baru. Jasamu akan tetap dikenang...

Wahai rakyat Borneo di Sarawak, anda membuat pilihan yang betul tetapi mulai saat ini,berjuanglah untuk mendapatkan apa yang hak setelah anda berikan kesetiaan. Berjuang pada landasan yang betul. Tariklah rambut dalam tepung dan pastikan rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan...

Harga Sebuah Kesetiaan

Minggu ini saya melewati satu permukiman di kawasan Keningau yang dinamakan Senagang. Terdapat satu laluan berbatu/gravel hampir 10 kilometer menuju ke satu perkampungan bernama Ulu Senagang. Sayu saya melihat laluan ini yang pada saya sangat daif. Apatah lagi ditambah dengan keadaan yang semakin teruk apabila berlakunya tanah runtuh yang memutuskan jalan perhubungan selama dua hari. Ramai guru tidak dapat datang bertugas. Maka anak bangsa di tempat ini rugi tanpa dapat ditahan lagi.

Inilah jurang di sebelah kiri jalan sempit yang hanya boleh dilalui oleh satu kenderaan sahaja. Jurang yang sangat curam berakhir dengan sebatang sungai saujana mata memandang. Malah terdapat rekahan di mana-mana yang menampakkan jalan ini sangat rapuh. Membahayakan pengguna jalan ini.Saya sempat bertanya kepada beberapa orang pemandu yang melalui jalan ini. Jawapan mereka juga menyedihkan saya. "Apa boleh buat, ini sahaja jalan yang ada". Tiada seorang pun yang merintih atau menyalahkan pihak berkuasa. Mereka rakyat yang setia.

Sekali lagi, saya sangat bersimpati dengan nasib guru-guru yang melalui kawasan ini. Kadangkala tersekat di laluan berlumpur lebih dua jam. Saya berkata dalam hati, mulia sungguh para guru ini. Demi anak bangsa sanggup menggadai nyawa. Tetapi apakah pihak di sebelah sana, peduli dan memahami kesukaran ini? Sampai bilakah keadaan ini harus mereka tempuhi. Walau pun ini adalah tugas, namun inikah harga kesetiaan mereka menggalas amanah yang diberikan oleh kerajaan? Di Sabah ini sebenarnya, terlalu ramai guru yang mengalami nasib sebegini. 

Di hujung laluan ini terdapat sebuah kawasan yang diwartakan sebagai Taman-taman Sabah. Tempatnya sungguh nyaman. Saya sering melihat orang putih atau orang Jepun datang ke sini.Sedikit kebimbangan, mungkin jalan ini akan menjadi satu persepsi negatif terhadap negara dan negeri ini. Saya juga sering datang untuk melihat ikan-ikan besar lagi jinak di sungai ini.Tempay ini juga sangat sesuai dijadikan tempat perkelahan dan kawasan rekreasi keluarga di hujung minggu. Namun, siapakah yang masih sudi bertandang...?

Inilah wajah-wajah bakal pemimpin masa hadapan di kawasan ini. Barangkali sejak datuk dan nenek mereka mendiami kawasan ini, cerita yang sama, rasa yang sama dan penderitaan yang sama mereka rasai. Sampai generasi ke berapakah lagi harus mereka menjaja landskap bualan yang serupa? Bagaimana kita hendak membina modal insan yang benar-benar mantap sedangkan perkara asas mereka ini pun sering terabai. Apakah ini juga adalah harga yang harus mereka bayar atas nama Malaysia yang sebentar sahaja lagi menuju negara maju dalam Wawasan 2020...
Apa yang sangat mengecewakan saya bahkan mungkin seluruh rakyat Malaysia di Sabah ialah, pada ketika di Tanah Melayu telah lama menikmati kemajuan dan kecanggihan teknologi moden, anak bangsa di sini masih lagi bertanya soal bagaimana melalui titi yang usang. Pada ketika anak Malaysia di Tanah Melayu mula seronok dalam Monorel, LRT, ERL dan sebagainya, anak Sabah masih lagi berusaha menguatkan otot untuk berjalan kaki di tengah rimba nan berlumpur untuk menimba ilmu...


Maka soalan saya ialah... INIKAH HARGA SEBUAH KESETIAAN rakyat Sabah kepada kepimpinan negara yang ada sekarang? Kami tidak meminta yang aneh-aneh...Cukuplah sekadar memberikan pada kami apa yang sepatutnya kami berhak...

3 Sebab Mengapa Rakyat Borneo Harus Beri Undi Pada Kerajaan Sekarang

Rakyat Malaysia di Borneo ( Sabah & Sarawak ) harus menilai 3 sebab ini untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan sekarang...

1. Peluang untuk bersama sebagai rakan strategik dan bukannya tanah jajahan.
Saya yakin penuh, bahawa Kerajaan BN sekarang sedang meneliti perkara ini sedalam-dalamnya. Kita harus memberikan peluang untuk kepada BN. Selepas tsunami politik melanda negara ini, maka isu Perjanjian Malaysia yang dipersetujui oleh Tanah Melayu,Singapura,Sabah dan Sarawak pasti akan mendapat perhatian sewajarnya. Apa yang pasti hanya kerajaan sekarang sahaja yang mampu mengubahnya. Pembangkang tiada kekuatan untuk melakukannya. Pembangkang di Malaysia hanya pandai bercakap untuk kepentingan peribadi dan politik mereka. Kita telah nampak bukti yang jelas dan nyata melalui pemerhatian terhadap pemerintahan mereka di negeri-negeri tertentu di Tanah Melayu. Pembangkang di Malaysia tidak berfungsi sebagai pembangkang yang efisien. Sekadar mencari salah tanpa alternatif yang pasti dan memutar belit isu dan fakta sehingga lebih mengelirukan malah menghancurkan perpaduan dan tamadun Malaysia sedia ada.

2. Kerajaan BN melihat potensi dan menolak persepsi.
Ada banyak dasar dan program yang dicadang dan dilaksanakan kerajaan. Ada yang mendapat komen dan hasil yang positif,begitu juga sebaliknya. Tetapi kita yakin bahawa jika kita hanya mementingkan persepsi maka segala potensi yang cuba digali tidak akan ditemui. BN dalam proses membina kekuatan dengan melunaskan janji-janji yang berkredibiliti dan berpijak di bumi yang nyata tetapi pembangkang hanya tahu menabur janji-janji paslu sekadar untuk meraih sokongan tanpa memikirkan bahawa segala janji tersebut hanyalah bersifat lebih manis daripada madu. Tidak didasarkan kepada alam realiti. Di Tanah Semenanjung kita melihat banyak janji yang tidak pernah ditunaikan.Kita tidak perlukan pendebat yang bijak bercakap tetapi kita perlukan pemimpin yang bijak berfikir.

3. Tiada pembangkang yang berkredibiliti.
Selama lebih 50 tahun Malaysia merdeka dan diperintah oleh Kerajaan BN, kita melihat suatu kejayaan yang bukan sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara sekitar Malaysia yang usia kemerdekaannya hampir sama. Malaysia begitu konsisten malah semakin mendapat tempat dan pengiktirafan melalui pembabitan negara khususnya dalm isu antarabangsa. Keupayaan pemimpin BN meletakkan Malaysia satu tingkat lebih tinggi berbanding negara membangun yang lain harus dijadikan landasan kuat untuk mengatakan bahawa setakat ini kerajaan BN berjaya mentadbir negara ini dengan hebat.Sedangkan sejak berpuluh tahun lampau, pembangkang di Malaysia sekadar melukut di tepi gantang. Hidup segan mati tak mahu. Tiada kredibiliti yang boleh dibanggakan tetapi lebih kepada retorik dan cakap kosong.Ini menjadikan suasana politik Malaysia subur dengan nilai kebencian,adu domba sehingga percaturan sebenar untuk membela rakyat menjadi perkara kedua. Mereka menjadikan politik di Malaysia sekadar untuk membela pemimpin yang kenyataannya korup, nilai moral rendah dan ternyata sistem kepartian yang jelas 'parti anak beranak'. Anda boleh menilaikan sendiri.

Maka kesimpulannya, buat masa ini, kerajaan BN lebih baik melebihi kepimpinan alternatif yang lain. Sekurang-kurangnya kita memahami bahawa kerajaan BN bukanlah sempurna tetapi jika dibandingkan dengan pembangkang, BN jauh lebih baik. Negara Borneo sebenarnya tidak salah memilih untuk menjadi rakan strategik dalam persekutuan Malaysia suatu ketika dahulu. Namun ini tidak bermakna kita harus diam untuk meminta hak kita dipenuhi. Cuma biarlah kita suburkan cara meminta itu dalam satu tingkat nilai yang terhormat dan bertanggungjawab. Bukan dengan kebencian dan janji manis semata-mata. Negara bukan untuk diperjudikan atas nama politik murahan.

Saya tidak hanya bangga menjadi rakyat Sabah tetapi jauh lebih daripada itu, saya amat bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Thursday 14 April 2011

(Kupasan 2) Tuntutan 20 Perkara Sabah : Masih relevankah untuk diperjuangkan?

Sambungan dari Kupasan 1...
 
4. Head of Federation.
The Head of State in North Borneo should not be eligible for election as Head of the Federation.
(Ketua BorneoUtara ( Yang Dipertua Negara ) tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.)
Perkara ini rasanya kita tidak ada lagi pertikaian.
 
5. Name of Federation.
“Malaysia” but not “Melayu Raya”

(“Malaysia” bukan “Melayu Raya”.)
Perkara ini juga telah sebati untuk rakyat Malaysia di Sabah.
 
6. Immigration
Control over immigration into any part of Malaysia from outside should rest with the Central Government but entry into North Borneo should also require the approval of the State Government. The Federal Government should not be able to veto the entry of persons into North Borneo for State Government purposes except on strictly security grounds. North Borneo should have unfettered control over the movements of persons other than those in Federal Government employ from other parts of Malaysia into North Borneo.

(Kawalan kemasukan orang ke mana-mana kawsan di Malaysia dari luar adalah terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara perlu mendapat kelulusan kerajaan Negeri. termasuk daripada Tanah Melayu.Maka, jika ia berkaitan dengan urusan Kerajaan Negeri,Kerajaan Persekutuan tidak boleh membatalkan kemasukan sesiapa pun. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasayang tidak terhad ke atas pergerakkan seseorang, kecuali merekayang bertugas di bawah Kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.)
Masalah yang meruncing di Sabah ini ialah soal Pendatang Asing Tanpa Izin.Adakah kerana Jabatan Pendaftaran Negara yang memastikan siapa yang layak mendapat warganegara maka bergembiralah PATI di Sabah ini tanpa dapat dikawal? Jika Sabah benar-benar menggunakan Perkara Imigrasi ini, sudah adakah sistem yang benar-benar berkesan untuk menyelesaikan isu PATI yang sekian lama membelenggu seluruh rakyat Malaysia di Sabah? Cuba pula kita perhatikan populasi Sabah di bawah ini ;-

 Ini populasi Sabah pada Tahun 1963.

Lihat pula populasi terbaru....
Year                  KDM                 Bajau/Iranun             Malay
1970                 215,811            77,271                      18,362
2000                 563,600            343,200                     303,500
INCREASE         162%               344%                    1,552%
 
Tidakkah menghairankan melihat peningkatan populasi Melayu di Sabah? Adakah ini Melayu dari Tanah Melayu? Atau mungkinkah ini adalah keraguan sebenar yang menghantui rakyat Malaysia di Sabah tentang PATI yang telah diMelayukan demi politik?

7. Right of Secession.
There should be no right to secede from the Federation.

(Sabah tiada hak untuk menarik diri selepas bersetuju dengan Persekutuan Malaysia)
Tetapi apa yang menyedihkan, ada segelintir pemimpin dan parti politik cuba membuat isu untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia. Apa yang seharusnya menjadi tunggak perjuangan ialah bagaimana untuk menjadikan Sabah maju selepas menjadi Malaysia berdasarkan perjanjian sedia ada. Ini yang mesti diperjuangkan secara konsisten kerana Sabah seharusnya lebih maju selaras dengan janji Tanah Melayu sewaktu membawa Sabah menjadi Malaysia. Menyedihkan sekali, Sabah sekarang ini adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia.
World Bank Report 2009
OECD Countries - poverty line – 50% of median income
- Poverty rate : 11%
Malaysia - Poverty line - 50% of median income
- Poverty rate : 19%
2009, 80% Poor - Kedah, Kelantan, Trengganu, Sabah &
Sarawak. 31% - Sabah + Labuan
2007 (Sarawak) Melanau/Malay: 4.5%; Other Bumis: 17%
(SABAH) Non-Malay :17% ; Malay Bumis: 8.5%
 
8. Borneanisation
Borneanisation of the public service should proceed as quickly as possible.

(Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalamperkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.)
Malangnya, sekarang ini apa jadi dengan rakyat Malaysia di Sabah. Lihat perbandingan di bawah ;-
Marilah kita sama-sama fikirkan. Adakah ini kerana Sabah tiada rakyat yang berkebolehan atau hak rakyat Sabah dinafikan? Jangan lupa, Sabah bukan negeri di bawah Tanah Melayu tetapi Sabah adalah setaraf dan rakan strategik dalam Gabungan Malaysia. Mudahnya lihat struktur di bawah :-
 
Struktur ini seharusnya menjadi pegangan Malaysia sampai bila-bila.Ini bukan cerita biasa. Tuntutan ini adalah cerita yang sama dibentangkan untuk IGC dulu. Keanggotaan IGC dalam merangkan Persekutuan Malaysia :
a. Lord Landsdowne (Pengerusi).
b. Dato' Abdul Razak Hussein (Naib Pengerusi).
c. Wakil-wakil dari Britain, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Bersambung pada kupasan 3...Nantikan kupasan paling jujur daripada seorang rakyat Malaysia di Sabah yang mencintai Semangat 1 Malaysia.

Wednesday 13 April 2011

Baju Korporat Sakag

Selepas beberapa lama membuat rekabentuk, baju korporat Koisaan Sinakagon Karanaan Liwan Sabah akhirnya siap. Semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi diwajibkan mempunyai baju ini untuk tujuan rasmi.

Menurut Ajk yang bertanggungjawab menguruskan baju ini, iaitu saudara Azroy, tempahan boleh dibuat terus melalui beliau di laman Facebook  beliau yang telah pun diketahui oleh semua AJK dengan memberikan butiran dalam peti mesej/inbox.

Menurut beliau lagi, harga baju ini hanyalah RM90 sahaja. Tempahan hanya akan diproses setelah kesemua AJK membayar harga tersebut sebelum akhir April ini. Difahamkan juga bahawa Baju Korporat ini nanti akan dipakai semasa Tadau Moginakan yang akan di adakan pada awal bulan JUN ini di Papar,Sabah. Selain itu, ahli biasa persatuan ini walau di mana juga berada sama ada di Tambunan,Ranau,Keningau,Tenom,Papar atau Kota Kinabalu boleh membelinya dengan harga yang sama.

Sumber : Azroy, Biro Pendidikan Sakag.


Wah, hebat sudah orang Malaysia di Sabah ini! Persatuan keluarga  pun sudah ada organisasi yang mantap. Boleh menyiapkan set baju rasmi yang cantik. Tahniah SAKAG...

Tuesday 12 April 2011

Drama Bersiri Sabah : 'Kopi O' 13 Episod Bakal Ke RTM

En Jamawi Jaafar, Datuk Salleh Tun Said dan Ts Jeffry

Kelihatan Datuk Salleh Tun Said merasmikan pelancaran satu drama bersiri 13 Episod tempatan Sabah yang diterbitkan oleh En. Jamawi Jaafar bersama Pentas Wayang Production. Drama ini diarahkan oleh Ts Jeffry.

Antara pelakon yang terlibat dalam drama ini ialah DANNY X FACTOR, FAZURINA, ALEX RAJA LAWAK, CANDY, AMELIA CHIN, KALPANA RAJAMOHAN, EBI AF DAN BYK LAGI. Cerita ini menggambarkan kehidupan ala 1Malaysia di Sabah. Mengambil senario sebenar tentang kehidupan pelbagai bangsa dan agama yang datang bekerja di Sabah.

Kebanyakan 'scene' dirakamkan di daerah Tenom iaitu di tanah kelahiran En. Jamawi Jaafar yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Tenom merangkap EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Tahniah dan nantikan tayangannya di TV RTM...

Brimop Norman Kamaru, Polis Indonesia Bertuah

 
Mengingat semula kisah seorang polis Indonesia bernama Norman Kamaru yang secara tiba-tiba terkenal hampir di seluruh dunia membuatkan saya tersenyum sendiri. Video yang dimuat turun ke laman Youtube, seminggu lalu telah menerima lebih sejuta penonton. Setiap kali saya menonton semula video tersebut, terasa hilang penat bekerja seharian. Malah sempat saya membaca akhbar digital dan blog Indonesia, memberikan saya beberapa kesimpulan :

1. Polis, walaupun umum mengetahui bahawa kebanyakan masa kerjanya adalah berbentuk serius dan perlu menghadapi jenayah, tetapi mereka juga insan biasa. Perlukan hiburan dan masa untuk mendapatkan sedikit udara keriangan.

2. Saya agak terkesan dengan tindakan Pemerintah Atasan Polis malah Wakil Rakyat di Indonesia yang turut menyatakan bahawa perbuatan itu sah-sah saja kerana dilakukan di luar waktu kerja.Malah pihak atasan Polis Indonesia mengatakan akan menyalurkan bakat Norman Kamaru pada landasan yang sesuai. Ketika ini pun Norman telah ditugaskan untuk mendampingi masyarakat dalam Program bersama warga untuk memperlihatkan bahawa polis bukan ancaman malah pendamping dan pelindung masyarakat. Tabik untuk warga Indonesia.

3. Sikap Norman Kamaru, walaupun teruja dengan lonjakan popularitinya namun tetap bertegas untuk meneruskan khidmat sebagai anggota polis. Teringat saya kisah beberapa polis di Malaysia yang akhirnya berhenti untuk terus bergiat aktif dalam dunia glamor. Bahkan kerana populariti, ada doktor yang mula lupa jalan ke hospital.

Apa pun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya...Shah Rukh Khan juga pasti tergelak dan mungkin tercabar melihat video ini...

(Kupasan 1) Tuntutan 20 Perkara Sabah : Masih relevankah untuk diperjuangkan?

Apabila bercerita dengan kebanyakan generasi muda Sabah terutamanya yang 'educated', perkara yang tidak pernah lepas  dari perbincangan ialah tentang 20 Perkara Tuntutan Sabah ketika bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.Namun begitu, saya melihat kebanyakannya sekadar menyambung lidah tanpa benar-benar memahami tuntutan ini. Maka saya mengambil sedikit peluang untuk mengupas ringkas isu ini dari kaca mata orang biasa dan hanya marhaen di Sabah.
Kupasan Ringkas Setiap Tuntutan 20 Perkara Sabah dalam Perjanjian Malaysia;

1. Religion
While there was no objection to Islam being the national religion of Malaysia there should be no State religion in North Borneo, and the provisions relating to Islam in the present Constitution of Malaya should not apply to North Borneo.
( Maknanya Islam tidak tertakluk sebagai agama rasmi di Sabah. Persoalannya, selepas Islam begitu lama berkembang di Sabah,bersediakah Muslim Sabah menerima hakikat ini? Bagaimanakah pula sistem keagamaan ini dilaksanakan selepas Sabah diwartakan kelak sebagai tiada agama rasmi seperti Persekutuan Malaysia? Atau bersediakah segelintir pemimpin Sabah untuk mengkaji semula perkara 1 ini untuk diselaraskan dengan agama rasmi persekutuan? Jika tidak, maka kita risau akhirnya yang akan lebih berpecah belah ialah rakyat Sabah sendiri kerana telah 48 tahun rakyat Sabah percaya bahawa agama rasmi Sabah adalah Islam seperti Malaysia ) Jika saya ditanya,maka saya memilih agar ia dikaji semula untuk dipinda atas nama Malaysia tetapi agama lain di Sabah dibenarkan untuk berdakwah secara terang-terangan kepada semua agama selain Islam dan penggunaan Bahasa Melayu harus dibenarkan dalam semua kitab agama lain.

2. Language
a. Malay should be the national language of the Federation
b. English should continue to be used for a period of 10 years after Malaysia Day
c. English should be an official language of North Borneo for all purposes, State or Federal, without limitation of time.
( Maksudnya Bahasa Melayu bukan bahasa rasmi di Sabah tetapi Bahasa Inggeris yang harus digunapakai tanpa had masa. Sekali lagi persoalan saya, adakah kita bersedia untuk mengubah semula bahasa rasmi sekolah, mahkamah dan segala urusan rasmi di Sabah? Setelah begitu lama terbiasa dengan 'kerasmian' bahasa Melayu, kita sedar penguasaan anak bangsa Sabah dalam Inggeris agak lemah terutamanya di pedalaman. Jangankan berbahasa Inggeris malah berbahasa Melayu juga lemah ekoran daripada 'pembangunan' di Sabah yang jauh ketinggalan dari banyak segi berbanding Tanah Melayu dan Sarawak.  Harus tidak dilupakan,bahawa ada segelintir pemimpin Sabah juga  malah pencinta bahasa Melayu bahkan organisasi bahasa Melayu berpengaruh di negeri ini yang lantang menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.Bukankah PPSMI ini aspirasi dalam tuntutan ini? Atau adakah perkara 2 ini juga perlu dikaji dan dipinda?) Pandangan saya, saya agak selesa dengan Bahasa Melayu tetapi Bahasa Inggeris harus dimantapkan. Justeru, Kerajaan Negeri harus mempunyai inisiatif lebih berbanding Persekutuan dalam hal memperkasakan Bahasa Inggeris ini demi menghormati pemimpin awal Sabah yang menegaskan tentang penerimaan Bahasa Inggeris ini sehingga menjadikannya sebagai Bahasa Rasmi Sabah sampai bila-bila. Tetapi demi semangat Malaysia, mungkin kita harus terima hakikat bahawa Bahasa Melayu telah mendarah daging dalam kehidupan generasi Sabah. Malah telah lama umat Kristian di Sabah menerima Bible itu sebagai al-Kitab rentetan penguasaan Bahasa Melayu yang lebih baik.

3. Constitution
Whilst accepting that the present Constitution of the Federation of Malaya should form the basis of the Constitution of Malaysia, the Constitution of Malaysia should be a completely new document drafted and agreed in the light of a free association of states and should not be a series of amendments to a Constitution drafted and agreed by different states in totally different circumstances. A new Constitution for North Borneo (Sabah) was of course essential.
( Persetujuan Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia merupakan antara faktor utama pembentukan Malaysia. Jika ketika itu Sabah tidak bersetuju, kemungkinan besar tidak ada Malaysia yang kita cintai ini pada hari ini. Ini fakta yang harus kita terima. Harus dingat bahawa status Borneo iaitu Sabah dan Sarawak serta Singapura pada ketika itu adalah setaraf dengan Tanah Melayu keseluruhannya. Sabah tidak seharusnya menjadi setaraf dengan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jika kita telusuri sejarah Perjanjian Malaysia, yang mengambil bahagian ialah Tanah Melayu, Singapura,Brunei, Sabah dan Sarawak. Tidak pun disebut negeri-negeri di Tanah Melayu secara berasingan.Ini juga fakta yang tidak boleh diubah. Maka sudah semestinya 4 wilayah utama ini mempunyai perlembagaan sendiri tanpa secara langsung menerima Perlembagaan Tanah Melayu secara mutlak.Walau bagaimanapun, Sabah juga harus berterima kasih kepada Tanah Melayu yang menginisiatifkan pembentukan Malaysia sehingga turut membawa Sabah merdeka. Jika tidak tentunya sekarang ini Sabah berada di bawah naungan Filipina atau Indonesia ) Maka pada hemat saya, untuk mewujudkan situasi menang-menang, Sabah seharusnya mempunyai set perlembagaan sendiri yang mengembalikan statusnya setaraf dengan Tanah Melayu dan tidak hanya menjadi wilayah jajahan Tanah Melayu seperti negeri-negeri yang bernaung di bawah Tanah Melayu dahulu. Ini termasuklah sistem pembahagian Kerusi Parlimen, hasil bumi, pemilikan tanah, kewarganegaraan dan sebagainya. Selagi mana perlembagaan Sabah ini tidak bercanggah jauh dengan Perlembagaan Malaysia, maka Tanah Melayu harus menerimanya kerana ini adalah asas pembentukan Malaysia dahulu. Manakala sebagai timbal balas,Sabah pula harus menerima perkara asas seperti agama rasmi dan bahasa kebangsaan mengikut Malaysia. Sekali lagi saya tegaskan, Sabah tidak pernah berunding dengan Selangor,Kelantan, Pahang, Melaka atau seumpamanya tetapi dengan Tanah Melayu yang meliputi kesemua negeri yang berkenaan. Jadi pertimbangan tidak harus mengambilkira bahawa Sabah hanya semata-mata sebuah negeri seperti negeri-negeri yang berkenaan, yang mana tertakluk secara pasti di bawah Perlembagaan Tanah Melayu. Sabah seharusnya mendapat keistimewaan terutamanya dalam hal perlembagaan ini.

Bersambung dalam Kupasan 2 akan datang...



Monday 11 April 2011

Adakah Orang Kita Semakin Bodoh???

Menelusuri rentetan cerita PRN Sarawak, banyak perkara timbul dan menarik perhatian saya untuk membacanya...
Antara yang saya rasa orang kita ini agak kurang cerdik melontarkan buah fikir ialah tentang tempoh masa yang lama bagi seseorang untuk bergelar pemimpin. Ada yang mengatakan bahawa tempoh yang lama menyebabkan seseorang pemimpin kurang efisien dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Namun amat melucukan sekali, orang yang mengatakan perkara ini juga sebenarnya berhadapan dengan senario yang sama dalam kelompoknya iaitu pemimpin dalam kalangan mereka juga sudah terlalu lapuk.Ini namanya senjata makan tuan...Alahai... Baca sini ...
Selain itu, agak kesian saya melihat wartawan mendapat malu besar ekoran soalan lancangnya berkaitan dengan Jam Tangan Omega dalam satu sidang media di Kuching. Malah pemimpin yang ditanya tersebut pula membuat jawapan helah bela diri yang pada saya sangat mantap. Kesian juga wartawan cantik tersebut yang tergagap-gagap menjawab akibat diprovokasi oleh pemimpin tersebut ekoran kesalahannya sendiri ketika menyoal. Inilah kelebihan putar alam oleh manusia yang ditabal oleh bininya sebagai anugerah Tuhan ini. Soalan tidak dijawab tetapi mencari titik lemah orang lain untuk mengelak daripada memberikan jawapan pasti. Siapa tidak kenal, beliau ialah seorang pendebat handal...Lihat sini...

Selain itu, saya berasa agak terkilan melihat Tanah Borneo ini berpolitik sudah sama seperti Tanah Semenanjung. Poster dibakar dan disimbah cat. Alahai...Bangkitlah orang Borneo. Jangan biarkan diri kita yang penuh santun ini tercalar dek kerana mainan politik yang akan merugikan kita dan generasi kita. Tanah Semenanjung yang hanya ada 3 kaum utama sudah hampir kepada titik perpecahan pasti. Maka terpaksalah laungan 1Malaysia dijadikan sandaran demi perpaduan. Tetapi kita di Borneo ini ada berpuluh malah beratus suku kaum. Kita telah melaluinya dengan pasti tanpa prasangka dan prejudis. Lama telah mendarah daging dalam hidup kita bahawa kelainan dan perbezaan ini adalah keunikan kita yang indah. Di Borneo kita telah menjadi 1Malaysia lama sebelum Tanah Semenanjung melaungkan slogan yang sama. Kita tidak melaungkannya di bibir tapi ia bergema dalam hati dan sanubari yang ikhlas dan terdalam. Baca selanjutnya...
Pada hemat saya, politik adalah tanda sesebuah negara itu wujud dalam suasana demokrasi yang subur. Tetapi terlalu berpolitk juga ada kesan yang memudaratkan terhadap masa depan negara. Kita melihat para pemimpin poltik ini bercakap semua perkara yang adakalanya sekadar membuka ruang perpecahan semata-mata inginkan kuasa dan survival politik masing-masing. Jangan gadaikan negara hanya kerana kuasa... Ingatlah... pemimpin boleh saja bertukar ganti malah datang dan pergi...Tetapi negara ini tetap di sini...dan rakyat negara ini juga harus diberikan kesempatan untuk terus merasai nikmat merdeka dan harmoni... Banyak negara boleh kita jadikan contoh... Lihat di Iraq, apakah kejatuhan Saddam Hussien yang katanya diktator, kini menjadikan Iraq lebih harmoni???Harus kita belajar melihat dari pelbagai dimensi... Jangan sampai ayam menang tetapi kampung tergadai...

Tuesday 5 April 2011

PR dan Video Seks

Hari ini heboh semua blog di Malaysia menyiarkan sebahagian daripada Video Seks yang mengaitkan Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini ekoran daripada muat naik di laman Youtube dengan tajuk VTS 01 1.

Saya melihat video tersebut dan dalam hati menyebut begini. " Agak sukar juga untuk menidakkan kebenaran dalam video ini"... Tetapi rasanya,alangkah baiknya jika keluarga terdekat DSAI yang melihat dan memberikan kata putus sendiri kerana merekalah yang lebih afdal untuk mengatakan bahawa ini susuk tubuh DSAI, lenggok gayanya atau pun potongan rambutnya. Itu pun jika mereka berani dan benar-benar ikhlas.
Walau bagaimanapun, berikanlah masa dan ruang untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan agar kita semua terhindar daripada bercerita,bimbang jika nanti ia hanya terbukti fitnah semata-mata akibat dendam peribadi.

Membaca berita yang mencadangkan agar video ini ditonton di Parlimen,saya tersenyum dan tergelak sendiri. Pada saya, ini cadangan yang tidak masuk akal. Tidak perlu cemarkan kemuliaan dan kemegahan Parlimen semata-mata kerana video ini. Biarkan sahaja kes ini menjadi seperti kes polis yang biasa dan diuruskan mengikut saluran perundangan yang normal. Apa hebatnya video ini sehingga menjadi topik khas dalam Parlimen. Ada banyak lagi hal-hal penting untuk rakyat yang belum dibincang dan dilaksanakan. Jangan nanti seluruh dunia mentertawakan kita,Parlimen pertama di dunia yang menonton video lucah. Negara Islam pula tu...