Pages

Saturday 5 November 2011

Isu PPSMI : Dari Kacamata Pencinta Bahasa

Bahasa Malaysia/Melayu telah menjadi satu 'bahasa ibunda' bagi kebanyakan rakyat Malaysia termasuk di Sabah. Walaupun dialeknya berbeza-beza tetapi umum mengakui bahawa bahasa pertuturan tersebut masih dalam kelompok rumpun Melayu. Maka, secara kesimpulan mudahnya, komunikasi atau perkongsian maklumat juga akan lebih mudah melalui medium bahasa ini.

Menyentuh isu PPSMI yang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat mahupun cendekiawan negara, saya melihat tindakan pemansuhan PPSMI ini suatu tindakan yang bijak dan kena pada tempatnya. Pada hemat saya, pemansuhan ini bukan bermakna kita menolak Bahasa Inggeris atau Bahasa Inggeris itu tidak bagus.Jika kita melihat asas kepada pelaksanaan PPSMI ini ialah berkisar kepada kebanjiran buku dan medium maklumat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan juga penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas dalam kebanyakan bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Jelas masih terdapat justifikasi dan kebaikan PPSMI ini.

Namun demikian, kebaikan PPSMI ini jika dilihat dari perspektif kenegaraan dan patriotisme, ia sebenarnya mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Saya melihat isu ini bukan berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi lebih kepada soal 'kebiasaan dan keselesaan' berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Berikut merupakan beberapa sumbangsaran yang boleh kita fikirkan bersama :

1. Sejak lebih kurang 50 tahun, masyarakat kita telah biasa melalui satu zaman yang mana penggunaan Bahasa Malaysia menjadi bahasa penting selepas bahasa ibunda seperti etnik Dusun, Kadazan,India China dan sebagainya. Kebiasaanya ini menjadi asas penting kepada mana-mana individu yang inginkan maklumat mudah faham tanpa perlu bersusah payah menterjemah ilmu daripada bahasa lain. Jadi sebenarnya, apa yang lebih penting ialah proses penterjemahan dalam negara kita yang perlu dimantapkan. Setiap kali ada buku-buku ilmiah yang diterbitkan dalam mana-mana bahasa dunia, seharusnya pihak yang berwajib dalam negara kita menguruskan proses penterjemahan agar kita tidak ketinggalan maklumat.

2. Ketiadaan mekanisme yang mantap dalam pelaksanaan PPSMI terutamanya di peringkat sekolah. Jika kita lihat, guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris pun kebanyakannya agak lemah berbahasa Inggeris apatah lagi guru-guru yang mengajar PPSMI ini. Senario ini jelas membuktikan bahawa, pelaksanaan PPSMI ini sebagai satu tindakan yang tidak terancang dan berunsurkan 'kepentingan ekonomi' pihak-pihak tertentu sahaja terutamanya berkaitan percetakan buku. Jika guru tidak boleh mengajar dengan baik dalam bahasa Inggeris, mana mungkin murid-murid akan lebih baik pencapaiannya. 

3. Masyarakat luar bandar lebih memahami bahasa Malaysia berbanding bahasa Inggeris. Jika kita meneroka di sekolah-sekolah luar bandar, kita akan melihat satu senario pengajaran subjek PPSMI ini seolah-olah dua subjek dalam satu masa iaitu Matematik dan Bahasa Inggeris dan Sains dan Bahasa Inggeris. Ini sangat menyusahkan bagi murid-murid luar bandar yang rata-rata mempunyai latar belakang keluarga yang mundur dan amat 'jauh' daripada Bahasa Inggeris. Adakala bahasa Malaysia pun masih ada yang kurang fasih.

4. Bahasa bukan gambaran jelas tentang kemajuan sesebuah tamadun. Kita lihat sahaja tamadun China,Jepun, Jerman, Arab, Perancis dan Russia. Mereka maju berasaskan kepada acuan mereka sendiri. Tidak ada satu bukti pun yang dapat mengaitkan kemajuan negara-negara ini dengan penggunaan bahasa Inggeris. Malah mereka sangat bangga dengan bahasa tempatan dan mereka tetap maju dan pesat membangun.

5. Jika kita ingin memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris, mengapa perlu menjadikan Matematik dan Sains sebagai mangsa. Lebih baik mantapkan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Malah tidak salah jika menjadikan subjek bahasa Inggeris itu subjek wajib lulus di sekolah dengan syarat guru-guru bahasa Inggeris adalah cukup terlatih dan melepasi tahap kelayakan yang sepatutnya. 

Ada orang mengatakan bahawa kedua-dua subjek Matematik dan Sains banyak menggunakan istilah Bahasa Inggeris. Walhal, apa masalahnya jika kita cipta satu istilah yang mantap juga dalam bahasa Malaysia yang sudah lama menjadi 'mainan' bibir dan lidah masyarakat kita. Jika kita berjaya maju menggunakan bahasa kita, maka seluruh dunia pasti akan belajar bahasa kita untuk mendapatkan ilmu dari kita.

Hari ini dunia seakan lupa bahawa ada Bahasa Malaysia/Melayu di dunia. Ini bukan kerana bahasa ini bukan bahasa ilmu/komersil tetapi kerana kita tidak berjaya menghasilkan ilmuan yang mempunyai produk dan kekuatan ilmiahnya sehingga menjadi rujukan pakar-pakar dunia dan pastinya dalam bahasa Malaysia/Melayu. Kita lihat, Tun Dr Mahathir lebih enak menulis buku A Doctor in a House dalam bahasa Inggeris kemudian barulah diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Inikan sudah terbalik. Sepatutnya kita tulis buku dalam bahasa Malaysia kemudian barulah bahasa terjemah ke bahasa lain.

Kesimpulannya, PPSMI bukan satu isu. Ia hanya mainan politik sahaja. Apa yang lebih penting sebenarnya adalah sikap kita. Biarlah apa yang kita lakukan itu sentiasa seimbang dan kena dengan apa yang kita katakan. Jangan cakap tapi tidak serupa bikin. Dalam sesetengah perkara kita akan setuju jika menyebelahi kita tetapi dalam banyak perkara kita akan tolak kerana menyalahi kita. Sikap inilah yang harus diubah bukan soal bahasa.

UBF : Bermula Sebuah Perjuangan

Bermula pada tulisan ini, saya secara rasminya telah menetapkan satu pendirian bahawa satu perjuangan untuk mengembalikan hak-hak negeri dan rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan persetujuan asal pembentukan Malaysia seperti yang tertera pada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC-1962) serta yang termaktub dalam satu perjanjian yang ditandatangani di London yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963 harus diteliti dan diperjuangkan.

Jika melihat tulisan-tulisan saya yang lalu, sebenarnya saya agak adil untuk memberikan pendapat dan banyak daripadanya adalah pro-kerajaan. Namun selepas saya melalui satu proses untuk membuat proposal master saya berkaitan sejarah Sabah, seikhlasnya saya mendapati bahawa banyak fakta telah diselewengkan demi kepentingan pihak tertentu sehingga mengabaikan pengorbanan pemimpin terdahulu di Sabah dan Sarawak. Maka sejak itu, sejak itu saya mengambil pendirian bahawa dengan sedikit pengetahuan yang saya ada, saya akan pastikan generasi saya tidak lagi tertipu dengan sejarah yang diputarbelitkan. Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa buku teks sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah kurang tepat.

Justeru, selepas bertemu dengan sekumpulan NGO (Borneo Heritage Foundation) melalui sayapnya United Borneo Front yang diasaskan oleh Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, pandangan 'Malaysia' saya mula berubah dan saya yakin benar bahawa inilah fakta yang amat tepat. Apatah lagi semua tuntutan UBF ini diambil dan diadaptasikan daripada dua dokumen asal yang terkandung dalam IGC seperti Memorandum 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak serta Perjanjian Malaysia 1963. Tuntutan UBF bukan satu tuntutan 'anak-anak kecil' yang diambil faktanya di tepi jalan tetapi merupakan satu perjuangan hak yang sangat murni berlandaskan satu fakta dan dokumen yang tulin dan sah.

Berikut merupakan  7 tuntutan UBF yang dikenali sebagai Agenda Borneo :
1. Menuntut supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan mekanisma mematuhi Perjanjian Malaysia yang dibentuk melalui Kementerian atau Perbadanan untuk mencapai matlamat dan tuntutan utama seperti yang terkandung dalam Perkara VII Perjanjian Malaysia 1963, serta memulihkan status rakan kongsi negeri Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya di dalam Persekutuan termasuk hak-hak istimewa dan peranan Sabah dan Sarawak dalam kuasa kewarganegaraan, kuasa pendaftaran dan kuasa imigrasi.

2.Menuntut supaya formula pengagihan hasil yang seimbang dan adil termasuk mengkaji semula peratus hasil daripada minyak mentah dan juga penempatan perwakilan yang lebih adil dalam Parlimen/KabinetPersekutuan/Perundangan dan perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

3. Menuntut supaya Dasar Kabotaj (Cabotage Policy)/Pengangkutan/Perdagangan yang mempunyai impak negatif ke atas negeri-negeri Borneo dimansuhkan.

4. Menuntut supaya dihormati pelaksanaan hak-hak penduduk asli (Native Rights) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

5. Menuntut supaya fokus pembangunan ekonomi dialihkan supaya lebih menjurus kepada Sabah dan Sarawak termasuk mengurangkan jurang ekonomi dan digital di antara Malaya dan negeri-negeri Borneo (Sabah & Sarawak).

6. Mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PTI)/"Projek IC", permasalahannya dan menggugat integriti persempadanan negeri Sabah dan Sarawak termasuk mengenakan seberat-berat hukum ke atas mereka yang mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

7. Mengkaji kehadiran agensi-agensi daripada (Pusat) di Sabah/Sarawak yang telah menguasai hasil keluaran bidang tertentu serta hak milik rakyat tempatan.

Jika kita meneliti semua tuntutan ini, jelas bahawa Agenda Borneo ini adalah perjuangan bersama bagi seluruh rakyat Sabah/Sarawak. Kita bukan meminta yang aneh-aneh tetapi  sebuah tuntutan yang pastinya mempunyai kepentingan awam terutamanya generasi di Borneo pada masa depan. Tidak timbul langsung soal pemisahan negara mahupun tuntutan keagamaan yang melampau. Marilah kita jernihkan hati, bukakan minda, renungkanlah : Kalau bukan kita,siapa lagi? Kalau bukan sekarang,bila lagi? dan Kalau berani,jangan takut-takut; Kalau takut, jangan berani-berani.
"UNITY IS DUTY"

Hasmin Azroy Abdullah,
05 November 2011,
Tenom.

Tuesday 1 November 2011

Apabila Orang Politik Lebih Hebat Dari Yang Pakar

Alahai, apa sudah jadi dengan negaraku tercinta. Segalanya bagaikan serba tidak kena. Inilah padahnya apabila semua perkara dipolitikkan. Orang politik sudah tidak faham atau buat-buat tidak faham peranannya sebagai orang politik. Semua perkara mereka hendak campurtangan walaupun campurtangan itu nantinya hanya akan menimbulkan polemik. Akhirnya yang akan terjejas ialah keupayaan sebenar negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 disifatkan oleh Dr. Puad Zarkashi sebagai tidak komprehensif dan tidak terperinci terutamanya yang melibatkan soal perbelanjaan. Sebenarnya perincian yang bagaimana? Perincian untuk menjustifikasikan salah urus tadbir kewangan?

Alangkah baiknya jika kita belajar menerima kenyataan dan bukan berselindung di sebalik pelbagai macam istilah ekonomi seperti peruntukan tambahan dan sebagainya. Dr Puad menyentuh tentang tambahan perbelanjaan yang konon salah satunya melibatkan perbelanjaan elaun perjalanan guru-guru. Saya hendak bertanya kepada guru-guru, atau pun para pentadbir di Jabatan Pelajaran, selepas ditambah perbelanjaan, adakah elaun perjalanan anda benar-benar mencukupi?

Apa yang membuat saya rasa Dr Puad ini seperti mengajar itik berenang ialah apabila mempersoalkan laporan berkaitan makmal komputer sekolah rendah yang sepatutnya dibina berjumlah 300 buah tetapi hanya 2 buah makmal yang berjaya disiapkan di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Namanya pun AUDIT, jadi mereka hanya memberikan laporan telus berkaitan angka dan statistik. Alasan terhadap segala kepincangan yang terpaksa dijelaskan oleh laporan itu, bukan menjadi satu keperluan kepada Ketua Audit Negara untuk membuat pembelaan dan justifikasi. 

Lagi pula, jika melihat perbezaan angka 300 dan 2, budak sekolah rendah pun tahu menilai betapa besarnya masalah yang berlaku berbanding hanya melepaskan kesalahan kepada masalah kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya, jika benar masalah kontraktor, siapa yang melantik kontraktor tersebut? Takkan orang utan di Sepilok yang melantik kontraktor-kontraktor bermasalah ini? Tempoh setiap RMK ini 5 tahun bukannya 5 hari. Baru hari ini sedar masalah ka? Atau pun duit sudah lesap oleh tangan ghaib?

Pada hemat saya, setiap individu yang berani mengatakan dirinya pemimpin harus berani juga menerima kenyataan walaupun pahit. Ikhlaslah menjadi seorang pemimpin dengan mendidik anak bangsa terutama generasi baru tentang bagaimana harus berfikir dan menajamkan puncak pemikiran yang lebih telus, adil dan jujur. Maka dengan itu, kita akan lebih dihormati generasi baru dan impaknya, negara akan lebih maju kehadapan secara total dan bukan sekadar permainan angka untuk mendabik dada bahawa negara benar-benar maju.