Pages

Friday 21 February 2014

Salleh Harus Menyokong Perjuangan Sambil Bertindak Menuntut Hak Sabah

KOTA KINABALU  - “Sepatutnya sebagai Tuan Speaker dan pemimpin Umno Sabah kanan dan berada dalam posisi berkuasa, Datuk Dr. Salleh harus menyokong kumpulan-kumpulan yang cuba memberi kesedaran tentang sejarah sebenar Sabah terutama mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Sabah adalah salah satu Negara yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 sambil menuntut sehingga merealisasikan hak-hak Sabah yang terhakis sehingga hari ini” ujar Hasmin Azroy Abdullah, Ketua Wiramuda STAR Sabah, sebagai respon mengenai seruan Datuk Dr. Salleh Tun Said Keruak kepada Pemuda Umno Sabah untuk memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengenai Hak Sabah agar tidak digunakan oleh pihak tertentu dan pembangkang di Sabah secara salah demi mendapatkan keuntungan politik.Beliau juga harus mengelakkan kekeliruan dan keraguan dengan menjelaskan secara terperinci tentang Hak Sabah yang didakwa dimanipulasikan oleh pihak yang beliau sebutkan tersebut.

Thursday 13 February 2014

Perigi Tua dan Air Sungai

Pernah di sisi perigi tua itu
Gelak tawa bergema di atas lumut hijau
Basah disiram bergayung air gembira
Bertemankan siulan mesra ghairah senja
Menuju malam yang paling indah

Meski hitam dan kusam
Perigi tua itu tetap sabar dikunjungi
Di dalamnya air jernih menanti setia
Lelaki dan wanita tidak pernah kecewa
Setiap hari sempat berbalas senyuman
Bertingkah rengekan manja anak kecil
Syahdu dalam kalbu berukir rasa syukur
Merimbun kehidupan penuh rahmat

Tiba-tiba perigi tua dilupakan
Kerana mengalir janji sebatang sungai
Katanya lebih nyaman dan segar
Anak-anak lebih mesra dalam senda
Mencari indah dunia dewasa 
Sampai ke lautan biru kehidupan

Namun janji cuma nyata dalam lena
Rupanya sekadar menganyam mimpi 
Di atas batu terpahat harapan kosong
Sungai ini, airnya mengalir di mana
Lelaki dan wanita kian kegersangan
Anak-anak pulangnya masih berdaki
Di rumah penuh tempayan kontang

Ketika buana mulai merengus hangat
Tubuh basah jua oleh kesal keringat
Mata pun bergenang air bening
Sejernih air perigi tua yang dirindui
Namun tiada siapa lagi yang masih ingat
Jalan melewati denai bahagia 
Yang pernah tercipta menuju ke perigi tua
Meskipun ia masih di situ.

Nim Yorza,
Taman Jindo.
13.02.2014.

Wednesday 12 February 2014

Selepas Setahun Kes Pencerobohan Tanduo Lahad Datu

Ironi 1.

Kes pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas atau pun mahu dikenali sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu genap setahun hari ini. Kampung yang terlibat kini kosong dan hanya tinggal sisa runtuhan rumah. Ada juga cerita gembira apabila penduduk yang dipindahkan menerima bantuan berupa rumah baru dan juga wang ringgit.

Namun apa yang lebih penting untuk kita sedar ialah, apakah cerita yang hampir dilupakan ini sekadar sebuah kenangan pahit tanpa ada inisiatif terbaik untuk menjadikan kes ini suatu iktibar dan mencari jalan penyelesaian?

Friday 7 February 2014

Cinta Sepuluh Hari

Tanpa diduga kita bertemu
Sekelip mata ikatan terjalin mesra
Gurau senda penghias bicara
Lalu kita pun saling merindu

Anehnya kau ungkap kata cinta
Untuk memilih  hanya sepuluh hari
Melukiskan kisah romantika terindah
Di hatiku hampa menoreh pedih
Tidak tertafsir makna cinta
Yang cuba kau sembunyikan harganya

Dalam egomu ada salahku
Tika ku pergi bersama kesal
Tidak rela cinta bermusim

Tapi keadaan cepat menegurku
Lalu kukembali dalam harapan
Bahawa kau adalah bintang hatiku
Walau takdirnya hanya sehari

Namun cinta itu tidak bernama
Ia juga tidak punya usia
Hanyalah satu rasa
Yang amat sukar dimengerti
Sehingga sampai ke garis
Impian bahagia nan sejati

Nim Yorza,
Borneon, Luyang.
07.02.2014

Kawasan Ada Minyak VS Kawasan Tiada Minyak

Sabah yg merupakan antara kawasan pengeluar minyak terbesar Malaysia pula sekadar memiliki jambatan gantung purba. Sedangkan Langkawi yg tiada sumber dan hasil minyak mempunyai jenis jambatan gantung mewah.

Sampai bila Sabah terus miskin sedangkan hasil bumi banyak dan mampu menjana kekayaan untuk rakyat Sabah?

Thursday 6 February 2014

Hipokrasi Kehidupan

Seperti air mengalir tenang
Di permukaannya sejernih kristal
Mengilau bening mengasyikkan
Namun siapa pernah mengerti
Alur dasarnya menyimpan sejarah
Mengadun keladak hanyir nista
Merenggut kegadisan alam
Memudarkan warna kehijauan
Yang selama ini mendamaikan

Begitulah hidup dan kehidupan kini
Wajah yang penuh senyuman
Bukan lagi cerminan insan
Kata yang bersalut permata
Tidak sesejuk pandangan mata
Hipokrasi adalah rekreasi gembira
Bersiul dalam nikmat purba
Melestarikan sandiwara songsang
Agar menjadi rentak irama mesra
Dalam lakonan penuh dusta

Pun hakikat hidup akhirnya
Yang jernih selalu terpuji
Terpana melihat keaslian palsu
Panggung tetap penuh sesak
Walau lakonan cuma satu gerak
Tidak juga lebih sepatah kata
Pasti ada juga titisan airmata
Meski berdialog dalam nada lucu

Segalanya mungkin sudah biasa
Kita pun akan terbiasa nanti
Ketawa dalam tangisan
Derita dalam senyuman
Biarpun hati terbakar kering
Menanti senja usia hening
Sebelum siang menjemput malam

Nim Yorza,
Luyang, KK.
06.02.2014