Pages

Thursday 23 June 2016

Keningau dan ESSZONE.

(Kota Kinabalu, 23.06.2016).
1. Tersebar satu surat yang dipercayai dari Pejabat Daerah Keningau yang menjelaskan maksud cadangan memasukkan Daerah Keningau sebagai salah satu kawasan ESSZONE.
2. Mari kita baca definisi ESSZONE :
(ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah adalah sebuah zon yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 25 Mac 2013 berikutan dengan krisis pencerobohan yang berlaku di bahagian timur Sabah sebagai tambahan kepada ESSCOM. Ianya merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Tujuh balai polis akan dibangunkan di zon berkenaan dan lima batalion pasukan keselamatan berserta satu briged PGA akan turut ditempatkan).

3. Daripada definisi ini, kita tidak faham kriteria mana yang digunakan oleh pihak Pejabat Daerah Keningau mencadangkan Keningau sebagai kawasan ESSZONE. Apakah ada arahan tangan ghaib dengan niat politik yang tersembunyi?
4. Kita melihat jika cadangan ini dipersetujui, maka 'population transfer' besar-besaran pasti berlaku secara legal. Balai polis ditambah dan berbatalion PGA akan ditempatkan. Ini sudah pasti menambah jumlah undi di kawasan ini yang secara tradisinya memihak kepada pemerintah.
5. Cadangan ini wajar dibuka kepada umum dan saya yakin Anak Keningau tidak akan membenarkan ini terjadi. Tidak ada justifikasi untuk membenarkan ia diluluskan. Ini hanyalah wayang politik susulan "kisah menakut-nakutkan orang Sabah yang secara konsisten dilakukan oleh pemerintah persekutuan" sejak beberapa lama dulu. 'Ending' daripada kisah ini ialah justifikasi keselamatan untuk tujuan mencengkam kuasa politik agar ia nanti dipergunakan secara legal dan kelihatan berasas di mata umum.
6. Huguon Siou selaku pemimpin utama di kawasan ini, wajar memberikan penjelasan rasmi berhubung perkara ini. Apakah kita sudah sampai kepada tahap 'menjual daerah dan anak bangsa kita' demi kepentingan kuasa politik? Sampai bila Anak Sabah terus dihantui oleh sistem yang secara perlahan-lahan menghancurkan masa depan Anak Sabah melalui penguasaan demokrasi politik yang curang dan sumbang.
7. Saya mengundi untuk tidak bersetuju dengan cadangan ini. Sila sebarkan sebelum ia diluluskan tanpa pengetahuan umum.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah (PCS).