Pages

Wednesday 2 March 2016

Pemimpin Malaysia Terima USD 1 Billion (Wall Street Journal).

(02 Mac 2016, Manggatal Sabah)
1. Wall Street Journal merupakan antara akhbar terkemuka dunia. Walaupun tidak semestinya semua berita yang dipaparkan adalah sahih namun ia tidak semudah itu untuk diabaikan. Sekurang-kurangnya ada asas untuk 'diperhatikan. Janganlah kita menggunapakai istilah "cubaan untuk menjatuhkan kepimpinan Islam". Ini bukan soal agama tetapi ini soal integriti.
2. Aneh sekali Peguam Negara baru "lantikan" PM Najib yang hanya beberapa bulan menjawat jawatan telah berjaya mensucikan PM Najib daripada dakwaan skandal kewangan ini. Mungkin Peguam Negara yang dipecat sebelum ini adalah kurang bijak dalam menentukan keputusan hebat seperti yang dilakukan oleh Peguam Negara yang baru.
3. Bukan hanya Persekutuan Malaysia bahkan seluruh dunia mengikuti perkembangan skandal kewangan terbesar melibatkan pemimpin utama ini secara serius dan terperinci. Selain soal nilai wang yang cukup besar, ia juga menjadi perhatian akibat cubaan yang cukup hebat dalam menutupi kes ini dan meminta seluruh rakyat menerimanya sebagai sekadar sebuah derma biasa.
4. Terkini, Tun Mahathir Mohamed, Perdana Menteri paling lama Persekutuan Malaysia telah mengumumkan keluar daripada parti dominan pemerintahan persekutuan iaitu UMNO. Alasan beliau ialah UMNO kini bukan lagi UMNO yang dahulunya berjuang untuk rakyat tetapi sekadar menjaga kepentingan pemimpin tertentu khususnya PM Najib. Alasan beliau ini ada asasnya jika kita memperhatikan bagaimana menteri-menteri kabinet PM Najib yang cuba mempertahankan beliau walaupun akhirnya yang semakin terserlah ialah kecelaruan dan kontradiksi berkaitan 'fakta-fakta' yang cuba dijustifikasikan sebagai kebenaran.
5. Namun begitu, tindakan Tun M ini bukanlah satu-satunya tindakan terbaik untuk menyelamatkan Persekutuan Malaysia dan membersihkan nama kita di mata dunia. Ini adalah kegagalan total Tun M kerana mewariskan sistem pentadbiran yang korupsi, salahguna kuasa dan pelapis kepimpinan yang tidak berintegriti.Jika saja ketika zaman Tun M sudah meluas penggunaan internet, pasti penyebaran salahlaku pentadbiran persekutuan juga tidak kurang hebatnya. Cuma satu perkara yang boleh diberikan kredit kepada Tun M ialah beliau berjaya memastikan bebanan rakyat khususnya kos sara hidup tidak terlalu tinggi seperti yang berlaku hari ini.
6. Maka apa yang rakyat persekutuan perlu hari ini bukanlah satu lagi kumpulan kepimpinan 'ciptaan' Tun M tetapi satu set sistem pentadbiran yang diinstitusikan secara mantap dengan meminimakan kecenderungan untuk dimanipulasikan oleh pemimpin dan bakal pemimpin seterusnya. Ini hanya boleh dilakukan oleh pemimpin baru, muda dan berwibawa. Pemimpin-pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan dan pemikiran yang segar dan terkeluar daripada kepompong pemikiran lama.
7. Ini hanya boleh terjadi dengan kuasa rakyat dan bukannya kerana desakan Tun M. Rakyat harus menolak semua kelompok kepimpinan yang tidak berintegriti dan mempunyai kaitan langsung dengan gaya kepimpinan yang ada hari ini khususnya pemimpin-pemimpin UMNO BN. Selagi sistem pentadbiran dan gaya kepimpinan ini masih sama, sesiapa pun yang bakal menjadi Perdana Menteri Persekutuan Malaysia, rakyat akan tetap menderita.
8. Dalam konteks Sabah, kita memerlukan sebuah kerajaan Sabah baru yang mempunyai set pemikiran yang mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyat Sabah. Sabah adalah sebuah wilayah berdaulat sebelum bergabung membentuk Persekutuan Malaysia. Maka hak autonomi dan pemerintahan Sabah wajar dipenuhi. Ini penting agar Sabah dapat 'menghindarkan' diri daripada terpalit dengan sistem kepimpinan persekutuan yang rosak dan mengakibatkan kemajuan dan potensi kegemilangan Sabah turut terencat dan terbantut dalam semua bidang sama ada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan juga sukan.
9. Untuk memastikan kuasa autonomi Sabah dapat dilaksanakan dalam kerangka pentadbiran yang jelas, satu-satunya cara ialah dengan memberikan kuasa kepada parti tempatan Sabah untuk menguasai Dewan Undangan Negeri seterusnya membentuk kerajaan Sabah yang ditadbir secara zahir dan batin oleh aspirasi Sabahan dan bukan sekadar kerajaan boneka seperti kerajaan Sabah hari ini yang hanya mengikuti polisi parti yang diketuai oleh Presiden dari luar Sabah.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Parti Cinta Sabah Nasional.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...