Pages

Sunday 13 March 2016

Memahami Proses Pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan (Negeri) Sabah Demi Menumbang Kerajaan Zalim BN.

(13.03.2016 - Tuaran Sabah)
1. Persekutuan Malaysia mempunyai dua sistem kerajaan yang utama iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri (dibaca mengikut tafsiran semasa dan bukannya dalam konteks 'rakan kongsi setaraf' seperti aspirasi kepimpinan Sabah terdahulu).
2. Untuk membentuk kerajaan persekutuan, kita perlu melalui pilihanraya umum (PRU) dan sesebuah parti atau gabungan wajar memenangi KERUSI PARLIMEN dengan majoriti mudah atau majoriti 2/3 (kerajaan yang lebih stabil dan mendapat mandat penuh).
3. Kerusi parlimen sekarang berjumlah 222. Di Malaya terdapat 165, Sabah 25, Sarawak 31 dan Labuan 1. Bagi membentuk kerajaan persekutuan sesebuah parti atau gabungan perlu menang majoriti mudah 112 kerusi sahaja. Jika dilihat menerusi perkiraan matematik mudah, sesebuah parti atau gabungan hanya perlu bertanding di Malaya yang mempunyai 155 kerusi untuk memenangi 112 majoriti mudah bahkan juga untuk mendapat majoriti 2/3 iaitu 148 kerusi tanpa perlu bertanding di Sabah, Labuan dan Sarawak yang hanya mempunyai 57 kerusi parlimen.
4. Dalam konteks Pakatan Harapan (PH) mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, jika mereka fokus kepada 155 kerusi di Malaya juga mampu menumbangkan BN sama ada majoriti mudah atau majoriti 2/3. Kini PH mempunyai 89 kerusi dan BN 133 kerusi. BN membentuk kerajaan tanpa majoriti 2/3.
5. Manakala untuk membentuk kerajaan negeri (Sabah), sesebuah parti atau gabungan perlu melalui Pilihanraya Negeri (PRN) dan bertanding merebut 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika menang 31, maka boleh membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah atau 40 kerusi untuk membentuk majoriti 2/3. Sekarang ini BN membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti lebih 2/3. Kerusi DUN pembangkang hanya 12 daripada 60. (Maklumat tambahan : PRU dan PRN dijalankan serentak di seluruh persekutuan kecuali Sarawak).

6. Oleh itu, Anak Sabah wajar memahami proses pembentukan dua sistem kerajaan ini demi memastikan HAK SABAH tidak tergugat bahkan mampu diperkuatkan lagi. HAK Sabah yang paling berautoriti dan berautonomi ialah Kerajaan Sabah melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika kita memahami kuasa DUN dan Kerajaan Sabah khususnya Senarai II dalam Perlembagaan Malaysia, maka kerajaan Sabah tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan bahkan mampu memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan agar HAK Sabah dan Anak Sabah tidak diganggugugat. Misalnya untuk mengembalikan status Tuan Yang Dipertua Negara Sabah, ia hanya perlu diluluskan oleh DUN Sabah dan kembalikan semula status tersebut dalam perlembagaan Sabah. Justeru itu, wajarlah parti tempatan Sabah yang bertanding di kerusi DUN dan membentuk kerajaan Sabah agar Ketua Menteri Sabah kelak tidak dipengaruhi oleh polisi dan kepimimpinan parti dari luar Sabah.
7. Hak Sabah seterusnya mampu dikuatkan lagi jika 25 kerusi parlimen di Sabah ini turut dimenangi oleh parti tempatan Sabah. Semua keputusan yang dibuat di DUN Sabah pasti akan dapat dibawa dengan lebih kuat di Dewan Rakyat kerana Ahli Parlimen Sabah tersebut tidak perlu bimbang tentang jawatannya di peringkat persekutuan kerana BOS dia dari Sabah dan dia hanya akan ikut polisi parti dan pemimpin di Sabah. Tidak seperti hari ini, ahli parlimen Sabah dari BN mahu pun PR sangat bergantung kepada polisi dan keputusan pimpinan parti yang bukan berpusat di Sabah dan akhirnya suara mereka hanyalah umpama angin bertiup sepoi-sepoi bahasa tanpa ada kekuatan.
8. Namun begitu, saya setuju bahawa untuk menumbangkan BN di Putrajaya parti pembangkang Malaya mahu pun Sabah dan Sarawak wajar berkerjasama. PH perlu terlebih dahulu memahami ASPIRASI rakyat Sabah khususnya dengan mengambilkira HAK SABAH KETIKA MEMBENTUK PERSEKUTUAN MALAYSIA seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, 20 Perkara, Batu Sumpah, kenyataan-kenyataan kepimpinan terdahulu dan memahami manipulasi politik Malaya sehingga UMNO berjaya 'menjajah' Sabah. Semua aspirasi ini akan lebih kukuh jika yang mengangkatnya ialah parti Sabah oleh Anak Sabah yang mana semua polisi dan dasar parti dibuat di Sabah demi cinta kepada Sabah.
9. Setelah aspirasi ini difahami maka ia perlu diterjemahkan melalui tindakan seperti permuafakatan rasmi bahawa PH memberikan ruang sepenuhnya kepada parti dan gabungan pembangkang Sabah untuk bertanding di 60 kerusi DUN kerana kerusi DUN tidak ada kena mengena langsung untuk menumbangkan BN di Putrajaya. Manakala kerjasama mengikut formula Sabah perlu dipatuhi oleh PH bagi 25 kerusi parlimen di Sabah. Jika ini berjaya dicapai, maka formula untuk 1 lawan 1 menentang BN bakal tercapai dengan mudah. Ada juga yang kata, jika begitu, mudah saja formulanya, kerusi DUN Sabah sokong dan menangkan parti dan gabungan Sabah manakala kerusi parlimen, sokong dan menangkan PH. Ini satu pandangan mudah dan saya tidak terus mengiyakan atau menafikan langsung namun masih perlu diperhalusi dengan cermat agar HAK Sabah tidak tergugat lagi.
10. Perkiraan ini lebih mudah jika di Malaya, pembangkang mereka juga berterusan 1 lawan 1 dengan BN. Sayangnya akhir-akhir ini kelihatan bahawa pertembungan 3 penjuru bakal berlaku iaitu BN, PH dan PAS+Gabungan. Ini sudah tentu merosakkan lagi formula menumbangkan BN dan ini juga satu perkara yang jelas kepada Anak Sabah agar kembali memperhatikan KEPENTINGAN PARTI TEMPATAN SABAH demi menguatkan kembali KUASA AUTONOMI SABAH seperti ketika mula-mula membentuk Persekutuan Malaysia dahulu. Jika KUASA AUTONOMI SABAH SUKAR DIPERJUANGKAN MELALUI KERUSI PARLIMEN, MAKA TIADA JALAN LAIN SELAIN MENGUASAI DUN DAN KERAJAAN SABAH!
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Parti Cinta Sabah Nasional.
Nota : Rujuk PM63 Jadual Keempat dan Perlembagaan Malaysia Jadual Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...