Pages

Tuesday 27 March 2012

Pemimpin Pejuang VS Pemimpin Politik

Semenjak bergelumang dalam dunia politik akhir-akhir ini, saya agak kecewa melihat segelintir pemimpin pembangkang Sabah yang mengaku 'pemimpin'. Terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin. Sayangnya, golongan ini sekadar 'syok' untuk menjadi calon wakil rakyat semata-mata. Tidak nampak kelibat perjuangan mereka. Sekadar timbul sesuka hati. Bercakap juga suam-suam kuku. Inilah 'pemimpin politik' yang sebenar.

Malah golongan ini juga sentiasa mencari peluang dalam parti-parti politik yang ada untuk sekadar dapat tempat sebagai calon. Mereka menjadikan arena politik sebagai tempat untuk mereka 'mendapatkan jawatan dan tempat peribadi' semata-mata. Bukan untuk berjuang. Jika ada pun, mereka cuma datang untuk memberikan sumbangan 'seringgit dua atau sebakul dua' ole-ole untuk rakyat. Mereka cuma menggantikan karektor pemimpin kerajaan sedia ada yang cuma memperbodohkan rakyat dengan mengaburi mereka dengan material sebagai 'upah dan umpan' untuk memilih mereka sebagai pemimpin.Sampai bila perjuangan kita setakat untuk sebuah bakul sebagai tanda 'seorang pemimpin'?



Tidak kurang juga yang sekadar menanti peluang dan menangguk di air keruh. Ketika pemimpin pejuang lain berhempas pulas memberikan pemahaman kepada rakyat, mereka sekadar menanti hari pembubaran Dewan Rakyat dan akan timbul sebagai 'calon boleh menang'. Akhirnya nanti, perjuangan asal yang murni bakal bertukar menjadi perjuangan peribadi untuk memastikan tempat sebagai calon. Apa yang lebih menyedihkan, golongan ini juga bijak bermain strategi politik tanpa memikirkan bahawa pendekatan memberikan pemahaman yang betul kepada rakyat merupakan langkah yang terbaik dan murni.

Begitu juga para pemimpin Sabah dalam parti-parti kerajaan, tiba-tiba riuh bercakap soal apa yang ditimbulkan oleh pemimpin pejuang tulin. Apabila menyedari tuntutan-tuntutan pemimpin pejuang ini mendapat tempat di hati rakyat, maka mereka pun mula bercakap dan memberikan reaksi yang sama. Walhal, jelas sekali golongan pemimpin ini adalah hipokrit dan sekadar untuk meraih sokongan tanpa nadi perjuangan yang sejati.

Sedangkan selama ini, kuasa di tangan mereka. Mengapa mereka bercakap sekadar melepaskan batuk di tangga? Menjelang pilihanraya, tiba-tiba menjadi 'berani'. Cuba menjadi hero dalam kelompok mereka sendiri. Inilah 'pemimpin politik'. Bermain politik, strategi untuk meraih sokongan dan apa saja cara agar mereka tetap dilihat sebagai 'pemimpin'.

Zaman ini, kita tidak perlukan pemimpin politik semata-mata. Apa yang lebih penting ialah Sabah memerlukan pemimpin pejuang tulin. Perjuangan yang murni untuk mengembalikan semula hak-hak kita yang dinafikan. Pemimpin yang sanggup berkorban demi agenda perjuangan tanpa memikirkan kepentingan peribadi.Pemimpin yang ikhlas berjuang untuk rakyat tanpa memikirkan 'strategi politik' sekadar untuk mencari tempat dan keselesaan peribadi. Biarlah strategi itu adalah berjuang untuk memperkasakan rakyat bersandarkan kepada fakta dan nilai perjuangan yang benar. Kita hanya menuntut hak kita tanpa sedikit pun mengganggu hak orang lain.

Marilah kita ubah lanskap politk di Sabah ini dengan satu anjakan paradigma yang mantap demi generasi akan datang. Perjuangan kita dewasa ini bukan lagi perjuangan politik untuk menentukan siapa pemenang semata-mata tetapi lebih kepada perjuangan bersama sehati sejiwa dan senada demi bumi di bawah bayu bertuah ini. Kita sedang meniti masa-masa yang sungguh kritikal.Lupakanlah soal perjuangan peribadi. Sedarlah...Bangkitlah... Perpaduan adalah tanggungjawab.

5 comments:

  1. nilai2 kepimpinan bukan dilihat dari gahnya dia berucap.pemimpin yg boleh mengetarkan semangat terhadap nilai2 asas setempat yg seharusnya dipertahankan walau dengan apa harga adalah pemimpin yang benar belaka. Ramai ingat mereka boleh menjadi pemimpin hanya kerana nilai pendidikannya, kehebatan berbicara, wang ringgitnya dan sokongan medianya tetapi akhirnya orang lain juga yang dapat menilainya. Cuba lihat misalnya di Tenom, siapa pemimpin yang hebat? Jika saya, saya akan katakan Datuk Kadoh. Lihat saja apa yg berlaku semasa dia menjadi YB dan bandingkan dgn YB2 sebelum dan selepasnya. Tidak salah saya katakan dia bapa pembangunan Tenom. Semua YB yang ada di Tenom hebat dengan PR sahaja tetapi lihat saja perbuatan mereka.Tidak ada apa2 yang ditinggalkan untuk dikenang hanya YB buang masa. Saya harap kita akan dapat mencari seorang YB atau pemimpin spt Datuk Kadoh lagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak dinafikan Datuk Kadoh merupakan antara pemimpin terbaik pada zamannya. Apatah lagi bergelar seorang "Giant Killer".Namun masa berubah, kita perlukan 'kesegaran' dalam kepimpinan. Zaman beliau sudah berlalu dan kita pasti akan mencari butir mutiara kepimpinan terbaik yang beliau ada untuk kita beri nafas baru sebagai kesinambungan kepimpinan. Lagipun, tanpa 'team' yang kuat dan sesuai, secara bersendirian beliau tidak akan mampu menongkah perjuangan masa kini yang semakin mencabar dengan zaman revolusi maklumat, dunia yang semakin sofistikated dan penuh ilmu. Saya yakin dan percaya bahawa beliau juga sedar, sekarang adalah masa untuk kepimpinan yang baru dan semangat baru.

      Delete
  2. undi star party jangan undi malaya party..hidup star hidup lah sabahan....

    ReplyDelete
  3. Siapa calon terbaik di Tenom? SAPP - Roger Stimin-out, Jamawi - orgnya ok, partinya out, PBS - parti ok, orgnya out, PKR - ADUN - ko mungkin Parlimen ok, STAR???? bergantung sepenuhnya dengan calonnya.

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...