Pages

Friday 22 July 2016

Peguam Negara Hidup Dalam Penafian.

22 Julai 2016, Kota Kinabalu.
1. Beliau mengulas kenyataan DOJ US yang telah membekukan aset-aset milik individu-individu yang ada kaitan dengan 'Malaysia Official 1' sebagai satu sindirian sahaja dan tidak menyebutkan nama Perdana Menteri.
2. Kata Peguam Negara lagi tiada bukti bahawa wang 1MDB diselewengkan. Apakah beliau fikir rakyat terlalu bodoh? Beliau sebenarnya menghina kebijakan pemikiran rakyat.
3. Bagaimana mahu dibuktikan apabila semua agensi berkaitan tidak lagi berfungsi untuk membuat siasatan dan pembuktian. Peguam Negara terdahulu dipecat. Bahkan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri dipecat semata-mata kerana bercakap soal ini. Jika mereka ini salah, samanlah mereka.
4. Ini belum lagi kita sebut soal pegawai SPRM yang dipecat dan dipindahkan tugas. Juga misteri pembunuhan Timbalan Pendakwaraya, Pengerusi Ambank dan banyak lagi kematian mengejut yang membawa banyak persoalan yang pelik. Rakyat terpaksa terima sahaja sebab kematian mereka ini kerana yang memberi maklumat adalah "agensi berwajib".
5. Mereka yang cuba membuat laporan ditahan dalam lokap. Pemberi maklumat dicari habis-habisan tetapi maklumat yang dibocorkan tidak pula disiasat. Laporan audit berkaitan 1MDB diklasifikasikan sebagai RAHSIA. Jadi siapa yang boleh dituduh dan siapa yang boleh disiasat? Akhirnya apa yang mampu dibuktikan?
6. Seorang artis mengatakan US tidak perlu campurtangan soal dalaman Persekutuan Malaysia. Apakah artis ini masih waras? Wang telah 'dibawa masuk dan diurusniagakan' di dalam negara dia. Individu yang dibekukan aset itu juga tinggal dalam negara dia. Buat filem dan membeli aset mewah ratusan juta dollar Amerika. Sudah tentu kerajaan negara itu akan bercakap dan mempertikaikan, apatah lagi jika ada laporan. Ia bukan soal masuk campur tetapi mereka bercakap hal yang berlaku dalam negara mereka hasil siasatan. Lagipun tiada Peguam Negara Amerika atau menteri-menterinya dipecat kerana menyiasat soal ini. Mereka bebas dan telus dalam siasatan.
7. Jadi Peguam Negara tidak perlu berlagak bodoh sombong. Rakyat menilai dan berfikir dengan waras. Sehingga hari ini, wang yang dikatakan masuk ke akaun Najib yang kemudian dinafikan pula dengan mainan ayat "masuk ke akaun Najib tidak bermakna masuk dalam akaun peribadi Najib", tidak pernah dibuktikan secara konkrit dari mana sumbernya. Berulang kali "diperbetulkan" dari mana sumber wang itu didapati tetapi ternyata tidak pernah betul kerana sentiasa ada penafian dan percanggahan maklumat.
8. Apa yang pasti salah seorang yang dibekukan aset itu adalah ANAK TIRI NAJIB bernama Riza Aziz. Beliau wajar 'membantu' anak beliau agar tidak teraniaya jika beliau yakin Riza tidak bersalah. Persoalannya, apakah beliau akan mengaku Riza anak tirinya hanya kerana tidak disebutkan namanya secara jelas dalam laporan DOJ tersebut, atau akan lepas tangan demi menjaga jawatannya?
Kini kita faham, sesiapa pun orang yang pernah berbuat jahat, ketika terdesak dan takut dihadapkan ke muka pengadilan, mereka akan melakukan apa saja sekalipun ia adalah perbuatan yang disifatkan tidak berhati perut dan amat kejam...
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...