Pages

Monday 19 December 2011

SBPA : Perangkap Maut Kepada 1.4 Juta Penjawat Awam

Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sememangnya menggemparkan tanah air. 1.4 juta kakitangan awam hampir terlonjak dan terlondeh kain pelikat yang dipakai. Apa tidaknya, kenaikan gaji yang sangat tinggi antara 7 hingga 13%. Tetapi sayangnya kenaikan gaji ini pula disertai dengan perangkap maut yang cukup cantik berselindung di bawah rimbunan indah kenaikan gaji.Mujurlah beberapa kesatuan yang cukup mengambil berat kebajikan penjawat awam ini tidak mudah terpedaya. CEUPACS, Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) adalah antara kesatuan yang boleh dikatakan Presidennya sangat hebat dan layak menduduki kerusi mereka lantaran suara mereka membela penjawat awam.

Antara perkara yang dianggap tidak 'baik' untuk penjawat awam ialah :
1. SBPA dilaksanakan tanpa mengambilkira pandangan penjawat awam. Sepatutnya perbincangan harus dilakukan agar skim yang akan dilaksanakan tersebut akan menjadi situasi menang-menang bagi penjawat awam dan juga kerajaan. Malangnya, skim ini dikatakan sulit sehingga menutup semua pintu perbincangan.

2. SBPA berbentuk paksaan halus. Jika diteliti sebenarnya, walaupun penjawat awam boleh memilih untuk tidak memilih skim ini, sebenarnya perkara asas dalam SBPA tetap dikuatkuasakan. Bayangkan jika ada yang tidak memilih SBPA dan kekal dengan gaji asal yang rendah tetapi tetap berhadapan dengan perkara yang ingin mereka elak seperti Dasar Pemisah,Umur Persaraan Paksa 60 tahun, Bayaran insentif yang ditambatkan kadar,Penilaian Prestasi dan beberapa perkara lain yang boleh menghilangkan motivasi kerja penjawat awam. Dalam ertikata lain sebenarnya penjawat awam tiada pilihan melainkan menandatangani SBPA.

3. Dasar Pemisah atau bahasa mudahnya dasar memecat penjawat awam yang dipermudahkan. Seseorang penjawat awam yang diberikan markah 70% ke bawah selama 3 tahun berturut-turut boleh dipecat. Apa yang menjadi masalahnya, tidak diperincikan bagaimana penilaian itu dibuat. Ini juga mengundang kepada diskriminasi orang bawahan.Dasar ini juga tidak memberikan peluang yang lebih baik kepada penjawat awam untuk membuat perubahan melalui pilihan lain seperti kaunseling, perpindahan jabatan dan sebagainya. Sudahlah dipaksa bersara pada umur 60 tahun. Bayangkanlah setakat mana kemampuan seseorang pada umur seperti ini.Ini ditambah lagi dengan sistem penilaian prestasi yang lebih menjurus kepada "bodek boss" dan bakal memberikan impak negatif kepada motivasi pekerja yang cemerlang tetapi kurang 'bijak mengambil hati' bos.

4. Perbelanjaan untuk melaksanakan SBPA dikatakan sangat tinggi  sehingga hampir RM3b. Tetapi siapa yang merasai jumlah itu? Ternyata penjawat awam di peringkat Kumpulan Pelaksana sebenarnya teraniaya. Contohnya kategori Satu JUSA C menerima gaji permulaan RM6,595 di bawah SSM dan akan dibayar RM12,000 jika menerima SBPA, Kategori Dua (SSM RM7,236; SBPA RM12,645), Kategori Tiga (SSM RM7,939; SBPA RM13,345), Kategori Empat (SSM RM8,710; SBPA RM14,115) dan Kategori Lima (SSM RM9,480; SBPA RM14,885). Sebenarnya untuk peringkat Kumpulan Premier dan Pengurusan tertinggi mereka menerima sehingga 45% kenaikan.

5. Tempoh untuk penjawat awam membuat keputusan dangat singkat iaitu hanya setengah bulan. Dalam keadaan sibuk terutamanya cuti sekolah, apatah lagi bagi guru yang terpaksa membuat persediaan menjelang buka sekolah tentunya tidak sempat untuk meneliti dan memahami skim ini untuk mereka menyesuaikan dengan keperluan perjawatan dan gaya hidup mereka. Ini juga satu bentuk manipulasi dan eksploitasi yang jelas menganiaya penjawat awam.

Kesimpulannya, SBPA bukan merupakan satu penyelarasan gaji tetapi satu skim baru yang tidak memihak kepada kelangsungan karier penjawat awam. Ia hanya memberikan gambaran bahawa 'kenaikan gaji' pasti membuatkan penjawat awam kelabu mata tanpa memikirkan kebajikan mereka pada masa depan.

Rayuan penjawat awam ialah : berilah mereka peluang mendapatkan gaji yang lebih baik tanpa unsur 'tarik tali' yang membuatkan mereka rasa teraniaya. Dengan insentif yang baik saja pun sudah tentu motivasi kerja akan bertambah baik. Tidak perlu menyertakan syarat-syarat yang jelas terdedah kepada unsur manipulasi dan ketidakadilan.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...