Pages

Tuesday 20 December 2011

Projek Pilihanraya : Suatu Cara Memperbodohkan Rakyat

Menjelang pilihanraya ini, rakyat khususnya di Sabah sangat bersyukur kerana menikmati limpahan "pembangunan" yang amat ketara.Jika ditanya,seharusnya kita katakan bahawa inilah yang kita tunggu-tunggu. Menikmati sedikit perubahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain hasil daripada undi yang memberikan kemenangan pada kerajaan sekarang. Malah beserta harapan yang sangat tinggi bahawa kerajaan mampu memberikan satu pembaharuan setiap penggal yang diberikan mandat.

Sayangnya, apa yang rakyat dapat pada setiap penggal adalah satu pembohongan dan satu 'trick' memperbodohkan rakyat yang sangat 'bijak'. Setiap penggal mempunyai 5 tahun tempohnya (Kita ambil contoh tempoh yang paling lama). Tetapi apa yang berlaku 4 tahun selepas menang, kerajaan hanya memberikan alasan demi alasan terhadap sesuatu projek yang tidak dapat dijalankan. Anehnya, pada tahun terakhir menjelang pilihanraya, segalanya bertukar bagaikan negara kita baru sahaja mendapatkan hujan emas dari langit. 

Tanpa dapat disangkal lagi, di bahu jalan kiri dan kanan, kita lihat bermacam-macam projek sedang dijalankan. Ada longgokan batang-batang paip, jentera-jentera besar, kabel-kabel elektrik dan macam-macam lagi. Segala parit yang berpuluh tahun tidak diselenggarakan tiba-tiba dikorek dan dibaiki semula. Rumput-rumput tepi jalan tiba-tiba menjadi benderang. Wah, rakyat pun disogokkan dengan kata-kata, "kita harus berfikiran positif terhadap semua pembangunan yang dijalankan. Ini bukan untuk memancing undi tetapi inilah tanggungjawab kerajaan". Agak-agak budak tadika mana yang akan percaya?

Persoalannya ialah kenapa keadaan seperti ini tidak berlaku selama 4 tahun sebelumnya? Adakah kerajaan berasakan bahawa rakyat buta dan bodoh semuanya? Lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara, betapa banyak kepincangan yang berlaku? Berapa banyak DUIT RAKYAT/DANA AWAM diselewengkan? Ini bukan soal rakyat tidak bersyukur tetapi ini soal hak yang sepatutnya. Jika rakyat berhak untuk mendapatkan RM1000 kenapa hanya diberikan RM100?

Ini juga buka soal tidak mengenang budi pemimpin tetapi ini soal tanggungjawab yang seharusnya dipikul oleh setiap pemimpin yang diamanahkan. Seharusnya pemimpin yang disoal, kenapa tidak mengenang budi rakyat yang mengundi? Saya berjalan di beberapa tempat terutamanya sekitar Tenom dan Keningau, cukup sedih saya melihat beberapa jalan yang diaspal hanya 200 meter dari jalan utama. Apakah ini juga bukan satu usaha memperdaya dan memperbodohkan rakyat?

Harus sama-sama kita fikirkan bahawa dalam negara demokrasi, rakyat mempunyai pilihan untuk memilih setelah menilai. Sesiapa pun yang bakal menjadi kerajaan sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sama. Tidak boleh kata hanya kerajaan sedia ada sahaja yang boleh memberikan yang terbaik. Kita sudah memberikan peluang kepada kerajaan sedia ada memerintah selama 48 tahun dalam Malaysia. Jelas bahawa Malaysia jauh tertinggal berbanding negara-negara yang sepatutnya menyertai pembentukan Malaysia seperti Brunei dan Singapura. Kenapa ini berlaku? Apakah kerana semenjak pembentukan Malaysia kita berada dalam satu kepompong pemerintah yang sama? Tidak lagi kreatif dan mempunyai sekian banyak rangkaian yang menjadi liabiliti sehingga boleh memperjudikan nasib negara?

Persoalan paling lantang saya, beranikah kita menukar kerajaan sedia ada? Berikan tempoh selama satu penggal ini untuk kita lihat usaha dan perubahan. Jangan fikirkan soal 'negara bukan untuk dijadikan bahan eksperimen'. Kenyataan ini satu utopia yang basi. Bukan negara yang kita eksperimenkan tetapi kerajaan. Mana-mana kerajaan juga mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap negara yang tercinta ini.Lihat negara maju seperti Jepun, hanya 30 tahun selepas Hiroshima dan Nagasaki hancur oleh Bom Atom, Jepun masih mampu muncul sebagai mercu tanda ekonomi Asia. 

Kita juga melihat ketelusan kepimpinan di negara matahari terbit ini yang boleh dikatakan sering menukar pemimpin tetapi adakah negara mereka semakin hancur? Jawapannya TIDAK SEKALI_KALI malah semakin maju dan pesat. Kita juga membaca dan melihat di media perdana, bagaimana perletakan jawatan Menteri yang berkenaan hanya semata-mata kerana 'blackout' bekalan elektrik selama sejam di bandar utama. Tetapi di negara kita, apa yang berlaku? Setiap hari 'blackout' pun yang tetap disalahkan ialah juruteknik dan kuli-kuli. Masing-masing tidak mahu mengakui kesilapan dan saling menuding jari. Lihat sahaja isu NFC, saya tidak ingin mengulas lanjut, sebagai rakyat kita boleh menilainya. Tidakkah kita terfikir mengapa ekuiti Melayu/Bumiputra tidak pernah mencapai sasaran yang diharapkan tetapi pemimpinnya mampu bergelar jutawan malah 'billionaire' pun?

"13th General Elections is just around the corner. Please do your right to make a right choise.The future of this country is in our hand. Please not to make another mistake"

2 comments:

  1. saya sokong kenyataan anda. baik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri di bawah PR sama je semua. dulu kita hentam BN tak betul ini dan itu tapi bila PR dapat memerintah lagi teruk gilerrrr itu baru negeri. kita sokong PR d selangor sebab janji nak bagi geran sekarang kita di halau macam anjing kurap.

    ReplyDelete
  2. Nampak gaya macam dua-dua pun sama...Jadi orang Borneo, fikir-fikirkanlah...

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...