Pages

Sunday 4 September 2011

Noramfaizul Mohd. Nor : Matinya Seorang Pahlawan Hati

Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Aidilfitri, malah di Malaysia diserikan lagi dengan sambutan Hari Merdeka, seorang rakyat Malaysia biasa, dengan hati suci bersih, tanpa kata-kata ghairah dengan ucapan Aidilfitri, tanpa keterujaan melampau untuk sekadar melaungkan kata merdeka dan tidak sekali sekadar sudi untuk bercerita apakah erti kemenangan Aidilfitri atau apakah makna kemerdekaan, akhirnya mati dengan meninggalkan semua makna tertinggi nilai Hari Raya dan Kemerdekaan.

Noramfaizul Mohd Nor, 'kepulanganmu' menemui Allah Yang Maha Esa sememangnya telah tertulis sejak azali sebagai takdir, qada dan qadar untukmu. Namun kepergianmu ini bukan sekadar pemergian seorang hamba Allah yang biasa. Pemergianmu ini adalah satu kehilangan yang besar demi memaknakan sebuah nilai kemenangan Aidilfitri sekaligus mencerminkan nilai kemerdekaan yang paling dalam.

Semasa membaca berita mengenai kematian Noramfaizul Mohd Nor, seorang jurukamera BernamaTV yang terkena tembakan curi semasa pulang ke hotel penginapan selepas membuat liputan dalam Misi Sukarela di Somalia, membuat airmata saya membasahi pipi. Apa tidaknya, saya membaca berita ini selepas pulang bergembira berhari raya di rumah sahabat dan juga menghadiri majlis perkahwinan saudara. Sungguh meriah dan gembira. Tetapi membaca berita ini, hati saya sayu. Linangan airmata sahaja tidak cukup untuk menggambarkan betapa tingginya kesedihan saya buat anak muda ini. 

Kesediaannya menyertai misi sukarela ini pada ketika kita di Malaysia bakal bergembira di Hari Raya sudah cukup menggambarkan satu pengorbanan yang bukan calang-calang. Seketika saya terfikir, adakah tahun-tahun mendatang, nama ini akan tetap diingati sebagai ikon wira negara? Sedangkan pada ketika ini, wira yang berjuang untuk melawan pengganas komunis juga 'diludah' dengan mengatakan bahawa mereka bukan pejuang sebenar. Atas nama politik, sejarah diterajang sesuka hati untuk menjustifikasikan ideologi parti politik tertentu. Sedangkan ketika saat-saat terakhir mereka di Balai Polis Bukit Kepong sebelum mati di tangan komunis dulu, adakah terlekat di hati mereka bahawa aku menentang komunis ini kerana diminta oleh UMNO? Begitu juga di saat-saat terakhir arwah Noramfaizul Mohd Nor ini, adakah beliau mengatakan bahawa kehadirannya ke Somalia ini semata-mata kerana diminta oleh Kelab Putera UMNO? Saya bukan ahli UMNO tetapi tidak salah untuk membenarkan sesuatu yang betul.

Hanya kerana ideologi politik yang berbeza, kita sanggup menghina perjuangan seseorang. Matinya 25 wira di Bukit Kepong dan matinya Noramfaizul Mohd Nor bukan kerana diminta oleh siapa-siapa. Tetapi kerana ketulusan hati seorang manusia yang percaya bahawa dengan cara inilah mereka dapat berbakti sesama manusia. Mereka cukup yakin bahawa ini juga adalah amanah ALLAH untuk membantu sesama insan. Demi kemanusiaan, mereka hadir di tengah gelanggang tanpa suara riak dan sombong untuk mengatakan siapa pejuang atau bagaimana perjuangan sebenar. Mereka cuma membawa hati yang polos dan tulus demi nilai keinsanan. Jika mereka berjaya, tidak sedikit pun pernah mereka minta ganjaran dan pujian daripada setiap yang dilakukan.

Mengimbas penyertaan Noramfaizul Mohd Nor, dalam beberapa misi seperti di Gaza,  Pakistan , Christchurch dan sebagainya, sehingga saat kematiannya, tiada siapa tahu atau ambil peduli penglibatan insan kecil ini. Hakikat kematinnya kini, barulah kita membuka mata bahawa di luar sana ramai pejuang yang berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan ikhlas dan suci hati tanpa mengharapkan apa-apa.

Mereka mungkin tidak punya nama besar untuk diagungkan bahkan mereka tidak punya suara hebat untuk dilaungkan.Tetapi dengan sekecil hati, tanpa kata tanpa suara, mereka sanggup bergadai nyawa pada ketika kita sekadar mampu berteriak dan melalak di pentas-pentas ciptaan untuk sekadar bercerita tentang apakah itu perjuangan dan siapakah pejuang sebenar. Serendah itu sahaja martabat perjuangan yang kita ada sedangkan mereka di sana adalah pejuang sebenar yang tidak pernah pun dikenali. Malang sekali akhirnya mereka dikenali setelah mereka telah pergi menghadap Ilahi kerana iltizam perjuangan mereka. Siapakah kita untuk meremahkan perjuangan orang lain yang terbukti sebenarnya jauh lebih mulia dan agung daripada kita?

Noramfaizul Mohd Nor : Anda memang bukan seorang soldadu yang mengangkat senjata berjuang di medan perang. Tetapi anda adalah pejuang yang berjuang di medan hati-hati insan yang tulus mengangkat makna kemanusiaan. Jasad anda mungkin akan hilang di mata tetapi iktikad, semangat dan perjuangan anda akan tetap subur dan berkembang di hati setiap manusia yang punya hati dan perasaan. Anda adalah Pahlawan Hati yang sejati...

2 comments:

  1. Dia pilihan Allah....
    Allahyarham sudah selamat disamping Penciptanya, nasib kita entah macam mana....Wallahua'lam...

    Alfatehah...

    http://cintaitumisteri.blogspot.com/2011/09/allahyarham-noramfaizul-b-mohd-nor.html

    ReplyDelete
  2. @Cinta Misteri
    Al-Fatihah... Perjalanan kita masih amat panjang... Kita yang tertinggal harus melalui hidup ini dengan lebih berani...

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...