Pages

Friday 22 July 2011

Saya tidak mahu Tenom digelar ‘The Lost World’ : YB Datuk Raimie Unggi, Ahli Parlimen P.181, Tenom.

Saya merupakan seorang manusia yang agak rimas dan hilang punca jika tidak mempunyai akses internet atau isyarat telefon. Rasanya seperti dunia ini telah mati. Begitulah rasanya apabila menjejakkan kaki ke kampung halaman di sebuah daerah tenang dan nyaman bernama Tenom.

Namun agaknya keluhan hati ini kedengaran pada telinga hati seorang insan yang menjadi wakil rakyat Tenom bernama Datuk Raimie Unggi.  Selepas Perasmian Seminar ICT Penjawat Awam Pedalaman Atas di Taman Pertanian Sabah, Lagud Seberang, Tenom, baru-baru ini beliau ada menyentuh tentang isu capaian internet yang sangat menyedihkan di seluruh kawasan Tenom. Kelajuan internet hanya 180 kilobait per saat ternyata bakal menjadikan Tenom sebagai satu lagi destinasi Lost World seperti kata beliau “Saya tidak mahu Tenom digelar ‘The Lost World’ dalam zaman Multimedia setelah memiliki keretapi Indiana Jones ketika Malaysia berada di era ERL atau Keretapi laju,”.

Kata-kata ini sangat biasa tetapi bagi yang merasa, kata-kata ini sangat berbisa daripada segala bisa. Manakan tidak, ketika kita melaungkan MERDEKA saban tahun yang kini melebihi setengah abad tetapi di Sabah umumnya dan di Tenom ini khususnya masih jauh kebelakang. Sewajarnya kata-kata ini menjadi petanda keramat untuk warga Malaysia di Tanah Melayu bahawa Sabah seakan tertinggal dan terpinggir di negara sendiri. Inikah harga yang harus kami terima selepas seluruh rakyat Sabah bersetuju untuk menjadikan MALAYSIA sebagai sebuah negara menjadi realiti pada 16 September 1963???

Sebenarnya, kata-kata ini juga memberikan kita peluang untuk berpijak di bumi yang nyata. Tidak lama sebelum ini seluruh negara kedengaran dendangan bahawa semua rakyat Malaysia harus menantangi dunia komunikasi tanpa sempadan ini untuk menjadi lebih maju dalam arus globalisasi. Oleh kerana itu juga banyak kampung diredah oleh DSU Dr.Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bersama timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum di seluruh negara termasuklah Tenom ini. Pemberian Notebook 1Malaysia merupakan satu inisiatif kerajaan yang sangat murni.

Namun begitu, realitinya, dengan capaian internet yang sebegitu rendah, agaknya notebook ini hanya bakal menjadi platform terkini kepada murid yang menerimanya untuk sekadar bermain computer games. Alangkah baiknya jika notebook ini dapat digunakan untuk melayari internet yang sudah pasti menyajikan pelbagai bidang ilmu yang seharusnya diteroka oleh para murid pedalaman yang serba serbi kekurangan pengetahuan terkini. Mungkin melalui internet ini juga mereka berupaya mengenali apakah itu PUTRAJAYA atau paling tidak pun, dapat membaca pelbagai sejarah Malaysia dari pelbagai perspektif agar jiwa patriotisme semakin berkembang. Hanya inilah harapan yang mereka ada kerana hendak mengharapkan mereka ke Putrajaya untuk menyaksikan sendiri Pusat Pentadbiran Malaysia yang gah itu, rasanya, mimpi sebegitu pun tidak akan singgah di dalam tidur mereka.

Justeru, wajarlah teguran wakil rakyat kami ini didengar dengan teliti dan disusuli dengan tindakan pantas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM). Rakyat di daerah Tenom tidak seharusnya membayar caj yang sangat tidak berpatutan dengan perkhidmatan jalur lebar yang diberikan. Kelak, kerajaan yang ada hari ini yang bakal menerima kesannya akibat ketidakefisienan kerja yang ditunjukkan oleh TM.

P/S : Tenom amat dahagakan kata-kata sebegini daripada para pemimpin yang ada. Inilah yang mencerminkan pemimpin yang mewakili kami. Kami tidak perlukan pemimpin yang hanya tahu 'mengipas' pemimpin tertinggi mereka demi 'survival' politik mereka.Jika kami perlukan tangki, jangan beri kami tandas. Anda mewakili kami maka jadilah sebahagian daripada suara hati kami. Syabas Datuk! Teruskan perjuangan.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...