Pages

Sunday 31 March 2013

Pencerobohan Lahad Datu Satu Konspirasi Jahat?

Pada awal Febuari 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan sekumpulan militan yang menggelarkan diri mereka sebagai Askar Diraja Sulu. Antara tuntutan mereka ialah mendapatkan kembali Negara Sabah kerana mendakwa Sabah adalah milik Kesultanan Sulu.Jika kita imbas sejarah lalu, Kesultanan Sulu adalah sebuah kerajaan Muslim yang suatu masa dahulu pernah menguasai Laut Sulu di Filipina Selatan. Kerajaan ini didirikan pada tahun 1450. Ketika zaman kegemilangannya, negeri ini telah meluaskan sempadannya dari Mindanao sehingga ke bahagian timur Sabah.




Kawasan berwarna hijau adalah wilayah Kerajaan Sulu terdahulu dan bukannya keseluruhan Sabah.
Menurut sejarah panjang North Borneo, wilayah Timur Sabah ini sebenarnya berada di bawah Kesultanan Brunei. Namun pada tahun 1703, Kesultanan Brunei memberikan Timur Sabah kepada Kesultanan Sulu atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakan di Brunei . Maka bermulalah era Kesultanan Sulu di wilayah Timur Sabah ini. Namun jauh sebelum itu iaitu pada tahun 1565, Sepanyol telah mula menguasai Kepulauan Filipina iaitu dalam gugusan kepulauan yang sama dengan Kesultanan Sulu. Nama Filipina juga diberikan oleh penjajah Sepanyol berdasarkan nama raja mereka ketika itu iaitu Raja Philip II.
Dalam tahun 1761, Alexander Dalrymple seorang pegawai dari Syarikat Hindia-Timur British di Madras, India telah membuat satu perjanjian dengan Sultan Sulu yang membenarkan beliau membuka satu pangkalan perdagangan di kawasan Borneo Utara. Beliau telah memilih Pulau Palembangan ( Kini Balambangan ) kira-kira 20 batu dari utara bandar Kudat. Manakala pada tahun 1878, Alfred Dent iaitu seorang pedagang Eropah telah mendapat hak pentadbiran ke atas Borneo Utara melalui Syarikat Borneo Utara British (SBUB) daripada Kedutaan Austro-Hungarian di London. Seterusnya Alfred Dent (SBUB) juga berminat untuk menduduki bahagian timur laut Borneo Utara, yang mana ketika itu diperintah oleh Kesultanan Sulu. Oleh itu perjanjian bersama Sultan Sulu telah diadakan bagi mengambil wilayah tersebut. Sebagai balasan daripada pihak SBUB kepada Sultan Sulu, SBUB akan menyediakan bantuan pertahanan kepada Sultan bagi melawan golongan "spaniards" dan memberikan (RM 5,000, nilai dalam dollar Mexico yang mana pada ketika itu bersamaan dengan nilai emas).


Penyewaan ini sepatutnya terbatal selepas Protokol Madrid 1885 di antara British, Jerman dan Sepanyol yang menyaksikan semua wilayah jajahan Sepanyol termasuk wilayah Kesultanan Sulu diberikan kepada British. Artikel III dalam protokol ini menyebut dengan jelas "Kerajaan Sepanyol mengumumkan, sebagaimana juga yang telah dipersetujui Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah benua Borneo, yang dipunyai oleh, atau yang telah dipunyai pada masa lalu oleh Sultan Sulu (Jolo), dan yang terdiri daripada pulau-pulau jiran seperti Balambangan, Banguey, dan Malawali, serta semua yang terdiri dalam zon liga tiga maritim dari pantai, telah menjadi sebahagian daripada wilayah yang ditadbir oleh syarikat yang digelar sebagai Syarikat Borneo Utara British."


Melalui rentetan ringkas sejarah North Borneo ini, jelas bahawa secara teknikal dan perundangannya Filipina mahu pun Kesultanan Sulu tidak lagi mempunyai hak tuntutan ke atas wilayah Timur Laut Sabah apatah lagi Sabah secara keseluruhannya. Namun bagi orang Sabah, TUNTUTAN FILIPINA/SULU ke atas Sabah ini satu isu yang tidak ada kesudahan yang jelas seolah-olah satu kanser yang semakin merebak tanpa dapat dikawal. Soalnya, siapakah yang benar-benar bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini secara TUNTAS?


Antara sebab utama Sabah bersetuju menyertai penggabungan pembentukan Malaysia bersama Tanah Melayu/Malaya, Sarawak dan Singapura ialah faktor keselamatan. Salah satu cerita berkaitan keselamatan pada ketika itu ialah Tuntutan Filipina ke atas Sabah. Orang Sabah tidak mahu menjadi sebahagian daripada Filipina dan Tanah Melayu/Malaya dan melalui jaminan British, Malaya menawarkan keselamatan ke atas wilayah Sabah.


Namun sesuatu yang kita perlu lihat dan cari jawapan yang sepatutnya jelas telah diselesaikan lama dahulu ialah berkaitan bayaran sewaan/konsesi/lease kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini walaupun waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini tidak dapat dipastikan yang mana satu mendapat pengiktirafan sah oleh bangsa Sulu/Tausug sendiri. Mengapa Sabah/Malaysia masih membayar wang ini? Mengapa Kerajaan Malaysia tidak menyelesaikan isu ini secara tuntas? Sedangkan Malaysia berjaya menjadi perantara kepada proses damai antara Mindanao (MILF : Al Haj Murad Ebrahim, Pengerusi) dengan kerajaan Filipina pada Oktiber 2012. Apakah isu pembayaran ini dibiarkan untuk sentiasa memberi amaran kepada Sabah bahawa Sabah ini 'terikat' dengan Filipina dan hanya MALAYSIA yang mampu menjaga Sabah daripada TUNTUTAN ini?


Apa yang lebih aneh, selepas Malaysia berjaya menjadi perantara rundingan ini, tiba-tiba Sabah diserang "Filipina/Sulu", kurang 6 bulan daripada rundingan itu. Apakah serangan ini sebahagian daripada RUNDINGAN? Seperti yang diketahui umum, kerajaan BN hari ini mendapat kuasa pemerintah hanya kerana bergantung kepada sokongan Sabah dan Sarawak. Saya memerhatikan berita dalam tempoh setahun sebelum itu, media perdana Malaysia galak bercakap soal keselamatan. Sedangkan di Sabah ketika itu, kita bercerita soal KETIDAKSELAMATAN akibat PROJEK IC dan prosiding RCI berkaitan sedang berlangsung. Jika prosiding ini mendapat perhatian umum, maka SIMPANAN TETAP BN iaitu Sabah dan Sarawak pasti lenyap dalam PRU13. Namun, apakah soal keselamatan ini ditutup dengan satu sandiwara keselamatan yang lebih hebat daripada soal Projek IC dan kerajaan BN berjaya melaluinya dan mendabik dada bahawa BN berjaya menjaga kedaulatan wilayahnya?


Satu yang pasti telah berlaku kesan daripada situasi ini ialah wilayah Timur Sabah, iaitu wilayah Kesultanan Sulu dahulu kini telah menjadi wilayah ESSZONE. Apakah signifikannya? Sabah seluas 9 buah negeri di Semenanjung Malaysia, mengapa sejak awal dahulu tidak ditubuhkan KEM TENTERA yang sewajarnya dengan mengambilkira soal keluasan Sabah ini? Apakah kerana ia tidak mempunyai 'political value' berbanding selepas peristiwa serangan dramatik ini? Dan kini wilayah ESSZONE sah milik Malaysia atau UMNO/Malaya? Soalan ini agak sinis tetapi jika kita imbas sejarah lalu, ada asasnya persoalan ini.





Wilayah ESSZONE, sebenarnya milik siapa?

Umum mengetahui, pemberontak yang menyerang Lahad Datu tersebut kebanyakannya adalah warganegara Malaysia bahkan seorang daripadanya dikenalpasti pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan Sabah. Apakah ESSZONE ini dipersiapkan untuk warganegara Sabah yang baru, apatah lagi ketika RCI Projek IC ini tidak lagi mendapat perhatian? Apakah ini juga mengesahkan 'butiran rundingan damai' di Manila yang tersebar luas ketika ini bahawa masyarakat Mindanao dijanjikan petempatan di Sabah?
Akhirnya, mari kita cari jawapan terhadap beberapa isu berkaitan serangan Lahad Datu ini,

1. Mengapa begitu mudah serangan dilakukan, bahkan bermula pula di rumah Ketua Cawangan UMNO sedangkan kita ada kapal selam, kita ada bot laju pemintas, dengan kehadiran agensi penguatkuasa seperti MARITIM dan NAVI?

2. Mengapa semudah itu, KETUA PEMBERONTAK itu terlepas dan kembali ke Mindanao?

3. Jika benar serangan ini inisiatif Kesultanan Sulu sendiri, siapa yang bekalkan senjata sedangkan 'Istana' sultan yang menjadi dalang serangan ini pun hanya berupa pondok usang?

4. Mengapa serangan hanya berlaku selepas Malaysia berjaya menjadi perantara rundingan MILF dan Kerajaan Filipina? Dan menjelang PRU13?


Sama-sama kita fikirkan. Jika kita sayangkan Sabah dan Malaysia, kita harus berfikir diluar kotak. Terlalu lama sudah kita diatur seperti permainan catur yang berkesudahan kita "Checkmate". Tetapi sampai bila kita mahu sedar?


Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Wiramuda STAR Sabah.






No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...