Pages

Monday 31 December 2012

Anak Muda Sabah lngin Perjuangan Sejati

Apakah perjuangan politik yang diperlukan oleh anak muda Sabah?

Menelusuri alur panjang politik Malaysia khususnya di Sabah, bagaikan satu cerita epik yang hampir tiada penghujungnya. Walaupun panjang tetapi menyedihkan. Sepatutnya semakin panjang perjuangan, semakin matang kancah politiknya dan semakin intim demokrasinya. Lalu kejayaan perjuangan akan semakin hampir. Malangnya 'senario politik di Sabah semakin membusuk dan meloyakan. Ini semua disebabkan oleh para pemimpin senior politik Sabah yang tidak ada jatidiri perjuangan malah mudah diperkudakan oleh pihak lain.Pada zaman awal kewujudan Malaysia iaitu pada tahun 1963 apabila empat buah negara yang telah dimerdekakan oleh British iaitu Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Singapura pada 03 Jun 1959, Sarawak pada 22 Julai 1963 dan Sabah(North Borneo) pada 31 Ogos 1963 Sabah telah menggariskan 20 perkara penting sebagai syarat dan perlindungan terhadap hak-hak Sabah. Ia juga merupakan sebab utama para pemimpin Sabah pada waktu itu bersetuju bergabung untuk membentuk sebuah negara baru iaitu Persekutuan Malaysia.

Antara pemimpin utama Sabah pada ketika proses pembentukan Malaysia ialah Tun Fuad Stephen. Beliau telah menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman yang menyatakan dengan jelas seperti berikut “IF WE HAD BEEN ASKED TO JOIN MALAYSIA AT THE TIME MALAYA ACHIEVED INDEPENDENCE AND BRITAIN MADE IT POSSIBLE FOR US, THE STORY WOULD HAVE BEEN A DIFFERENT ONE. NOW THAT “MERDEKA” HAS BEEN MALAYA’S FOR SOME YEARS, AND WE ARE STILL STRUGGLING TOWARDS IT, MALAYA’S PROPOSAL THAT WE JOIN THE 12TH, 13TH AND 14TH STATES SAVOURS OF IMPERIALISM, OF A DRIVE TO TURN US INTO MALAYAN COLONIES ….. TO JOIN MALAYA, WHILE WE ARE STILL COLONIES ….. THE IMPLICATION IS TO HAND (OURSELVES) OVER TO YOUR CONTROL.

”Sementara itu, Bapa Kemerdekaan Sabah iaitu Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun sewaktu penubuhan United Sabah National Organization (USNO) berkata “ …saya tidak mahu mereka menjadi tuan kita,kita tidak mahu pemerentah kita ini bertukar tangan daripada kerajaan sekarang (British) kepada kerajaan Malaya, apa yang kita mahu dan mesti buat saudara2 ia-lah kerjasama Malaya untok membantu kita mendapatkan kebebasan kita meninggikan taraf hidup kita yang bererti membolehkan penyerahan kuasa Kerajaan ini ka-tangan kita, saya katakana kita,ia-lah anak2 negeri Sabah ini dari segala suku bangsa yang tumpah darah-nya,hidup matinya di bumi Sabah ini, bukan kappa orang Malaya, bukan kapada orang pendatang…

”Kedua-dua pemimpin utama Sabah ini begitu jelas tentang halatuju perjuangan mereka khususnya untuk Sabah tercinta ini. Mereka sejak awal melahirkan kebimbangan agar pemimpin seterusnya mampu memikul tanggungjawab untuk memastikan hak-hak Sabah terus terpelihara sebagaimana yang sepatutnya. Malang sekali, selepas pemimpin bersilih ganti, segala kebimbangan kedua-dua pemimpin ini kian menjadi nyata. Sabah kini bukan lagi dianggap sebagai rakan setaraf yang membentuk Malaysia tetapi jelas hanya dilayan sebagai sebuah negeri sama seperti negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Malah kini, lantikan Ketua Menteri Sabah juga diputuskan oleh pemimpin tertinggi dari Malaya khususnya UMNO.Rakyat Sabah jangan pernah lupa apabila UMNO dengan liciknya berjaya memperdayakan USNO untuk dibubarkan lalu menjatuhkan kerajaan PBS yang dipilih rakyat dengan taktik kotor. 

Sejak UMNO memerintah Sabah, dicanangkan banyak sekali projek pembangunan dan rakyat terpengaruh kerana tidak menyedari bahawa kerajaan PBS sebelum itu diberi tekanan oleh persekutuan daripada semua segi sehingga rakyat berasa tersepit antara perjuangan hak dan realiti kehidupan. Tiba-tiba ramai pemimpin UMNO jadi kaya-raya. Mereka ini jadi seperti ‘Tuhan’ baru kepada rakyat Sabah yang sengaja dimiskinkan  kerana mereka ini mudah memberikan upah seringgit dua demi meraih sokongan. Bahkan sehingga ada dalam kalangan rakyat ini mudah dibeli maruah mereka dengan hanya umpan RM500, rumah kecil dan imbuhan-imbuhan segera yang sebenarnya secara relatifnya sangat kecil berbanding HAK yang sepat utnya dimiliki oleh seluruh rakyat Sabah.Jika kita imbas kembali kepercayaan rakyat dahulu bahawa UMNO mampu membawa pembangunan kepada Sabah, dengan pengumuman sekian banyak peruntukan, hakikatnya pengumuman itu sekadar mengaburi mata. Tidak terlihat pun pembangunan yang setimpal dengan apa yang diumumkan. Lebih menyedihkan, pada tahun 2010, iaitu selepas enam tahun sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah dimansuhkan yang menyaksikan UMNO berkuasa penuh di Sabah, Sabah telah dinobatkan pula sebagai negeri termiskin di Malaysia oleh Bank Dunia. Sebagai contoh yang jelas, Hospital Nabawan telah dibuat majlis pecah tanah hampir 10 tahun lalu, namun sehingga kini kawasan terbabit dipenuhi semak samun menutupi papan tanda pecah tanah tersebut. Ia menjadi satu igauan ngeri buat penduduk pedalaman yang dahagakan khidmat kesihatan yang baik dan rapi.

Pokok daripada semua masalah ini ialah pencabulan persetujuan bersama negara-negara yang membentuk Malaysia sejak 1963. Pelanggaran syarat-syarat dalam Perkara 20 khususnya berkaitan cukai dan kewangan.(No 11 Borneo Utara/Sabah seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri). Jika ini dipatuhi, Sabah pasti jauh lebih maju berbanding janji UMNO selama memerintah Sabah. Bayangkan sahaja hasil minyak cukai Sabah pada tahun 2012 berjumlah RM17.8Billion. Cukai yang dikutip oleh agensi persekutuan berjumlah RM24Billion. Dengan dua pendapatan ini pun Sabah sudah cukup membangun malah dalam tempoh 50 tahun Malaysia wujud, Sabah sudah tentunya layak bergelar negara maju. Namun, kerajaan UMNO Sabah hanya berbangga berbajetkan RM4.088 Billion pada tahun ini tanpa ada inisiatif untuk mendapatkan HAK RAKYAT Sabah yang sebenar..

 Perjuangan seperti inilah yang amat didahagakan oleh anak muda Sabah. Anak muda Sabah sudah muak dengan permainan politik yang sekadar mencari peluang dan bermain wayang kulit tanpa ada asas perjuangan yang kental, mantap dan berwibawa seperti yang diperjuangkan oleh Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan sejak lebih 20 tahun ini secara berseorangan tanpa jemu-jemu. Rakyat Sabah mesti POSIK (Bangun) untuk Selamatkan Sabah Tanahairku. Sudah sampai masanya kita urustadbir tempat sendiri tanpa mengharapkan orang lain lagi.

HASMIN AZROY ABDULLAH,
Ketua Wiramuda STAR Sabah. 

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...