Pages

Tuesday 25 September 2012

Ucapan Dasar Ketua Wiramuda STAR Sabah Sempena Konvensyen Nasional STAR


Bismillahirahmanirahim…


Alhamdulillahirobbilalamin… Wasola tu wassalamuala ashrofil anbiya iwal mursalin… Waala alihi wasohbihi ajmain…

( Salutation )...

Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh… Salam perjuangan dan salam reformasi…

Bukan gerak sebarang gerak,
Gerak tangkas muda perkasa;
Bukan anak sebarang anak,
Anak muda pejuang bangsa.

Hadirin hadirat para pejuang yang disanjungi…

Dari pentas Pemuda STAR hari ini kita akan memperkukuh tekad perjuangan beserta hasrat murni yang lahir dari jiwa yang sentiasa ingin mengejar kecemerlangan dan kegemilangan demi sebuah hak yang harus dipertahankan. Maka dengan itu, tema ucapan dasar Pemuda hari ini kita namakan SUMPAH PEMUDA BORNEO.

Bertitik tolak daripada itu saya ingin membawa ingatan hadirin sekalian kepada satu madah pujangga seorang penyair Arab yang juga alim ulama Islam yang bernama Imam Ghazalie Shafie. Beliau berkata :

“Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana tidak kita inginkan akan berlaku”.


Hadirin hadirat para pejuang yang disanjungi…
Demi memastikan perjuangan Agenda Borneo ini sampai kepada destinasi yang kita impikan, maka saya mengajak semua pejuang muda dalam STAR untuk memahami dan menghayati 7 tonggak kekuatan pemuda.

1. Reformasi Minda Teras Perubahan

Seperti yang kita ketahui, selama 49 tahun ini, minda generasi Borneo dijamu oleh hidangan enak tetapi ternyata sungguh beracun dan bakal membunuh kita secara perlahan-lahan. Bermula daripada penipuan sejarah sebenar tentang Pembentukan Malaysia yang terdiri daripada 4 buah negara merdeka iaitu Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada koloni Malaya dan bukannya rakan kongsi yang sama taraf sehinggakan kita tidak mempunyai kekuatan sendiri untuk mentadbir dan berkuasa sehingga terus diperkotak-katikkan. Akhirnya kita menjadi wilayah yang mundur dan miskin. Sehingga hari ini, tanah air kita ini seolah-olah tidak lagi menjadi milik kita apabila orang asing yang dibantu secara terancang oleh pemerintah mampu menentukan kepimpinan. Suatu hari nanti, generasi kita bakal merempat di bumi sendiri.


Oleh itu, Pemuda STAR bersumpah untuk memastikan penipuan sejarah dan manipulasi kuasa pentadbiran ini segera berakhir dan digantikan dengan landasan perjuangan yang tepat, yang didasari oleh minda yang merdeka, berteraskan kepada kebenaran dan kejujuran.

2. Tahan Tukul Keteguhan Hati

Pemuda harus mempunyai hati yang teguh seteguh karang di lautan luas.Biarpun dihempas badai menggunung, kita akan tetapi berdiri teguh tanpa gentar. Tidak mudah dipengaruhi oleh pujukan apatah lagi ancaman. Kita mesti tahan tukul dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi.Kita tidak boleh berputus asa kerana kita adalah pewaris perjuangan pemimpin lampau yang telah menggariskan asas perjuangan yang cukup mantap demi menjaga hak-hak kemerdekaan dan kepentingan kita khususnya Memorandum Perkara 20. Kini kita mantapkan lagi dengan Agenda Borneo yang dibawa oleh pejuang ulung kita iaitu Ybhg Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Ini membuktikan bahawa perjuangan kita berasas dan jelas umpama batu Kristal yang bersih berkilau.

Oleh itu, Pemuda STAR bersumpah untuk memastikan jati diri dan integriti akan tetap teguh dari hati sanubari yang cukup dalam tanpa sedikit pun keraguan beserta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi demi memartabatkan impian murni perjuangan kita.

3. Kekuatan Iman Lambang Kejujuran

Sebagai sebuah tamadun manusia yang mempunyai pegangan agama, saya menyeru supaya semua Pemuda mengangkat tinggi nilai keimanan. Dalam semua norma agama di dunia, kekuatan iman merupakan nadi kehidupan agar perjalanan hidup lebih ideal berteraskan kepada kekuatan disiplin, jujur dan amanah. Namun hari ini, dalam kerajaan yang ada sekarang, kita melihat rasuah di mana-mana. Perkara yang salah dipaksa menjadi betul dan begitu juga sebaliknya. Ramai generasi kita tergoda oleh imbuhan wang ringgit darpada pemerintah sebagai ganti maruah diri.

Oleh itu, Pemuda bersumpah bahawa segala ketirisan dan kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan iman ini akan kita banteras habis-habisan demi memastikan kualiti hidup berteraskan kepada kepercayaan kepada Tuhan.

4. Kecintaan Ilmu Nadi Perjuangan

Sekali lagi kita renung madah pujangga daripada Imam Shafie, katanya :

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Jadi kita menyeru kepada semua Pemuda agar mencintai ilmu. Ilmu ini sangat luas termasuklah ilmu politik, ekonomi, sains dan teknologi bahkan juga ilmu agama. Dalam konteks politik di Sabah hari ini, kita harus mempunyai ilmu yang tepat untuk menjelaskan dan memberi pemahaman yang betul terhadap sejarah kita agar kita tahu di mana asas perjuangan. Hari ini, kita tahu betapa kita sangat jauh ketinggalan daripada pelbagai bidang ilmu. Bahkan masih ramai anak generasi kita hari ini sekadar menjadi kuli kerana diskriminasi pemerintah yang menjadikan kita mundur dari segi pembangunan dan akses kepada ilmu yang terhad khususnya ilmu teknologi maklumat dalam konteks dunia moden dan global.

Oleh itu, Pemuda bersumpah untuk memastikan anak generasi kita mendapat pendedahan ilmu yang sewajarnya demi memastikan generasi akan datang bukan sahaja sebagai pengguna ilmu tetapi pencipta kepada pelbagai bidang ilmu yang mampu bersaing dengan dunia gobal dengan lebih proaktif.

5. Ketrampilan Berwibawa Kematangan Pemikiran

Pemuda harus berani bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. Untuk menjadikan kita diterima dan relevan dalam arus kepimpinan perdana, Pemuda harus mempunyai ketrampilan yang berwibawa. Lengkap dengan pakej ilmu, kebolehan berhujah dan kekemasan diri.Sayang sekali dewasa ini, negara kita kerugian besar dengan memilih pemimpin-pemimpin yang hanya lantang bersuara seperti tin kosong. Hanya bijak mengetengahkan diri di dada-dada akhbar untuk tujuan membodek pemimpin mereka agar mereka terus diterimapakai.

Oleh itu, Pemuda bersumpah untuk memastikan bahawa kepimpinan generasi muda bermula saat ini adalah merupakan pemimpin muda yang trampil berwibawa, diterima kerana kekuatan ilmu dan daya kepimpinan yang wajar dan terhindar daripada gejala bodek, mengampu dan tunjuk pandai.

6. Kebolehan Memimpin Asas Kebijaksanaan

Dalam perjuangan yang amat panjang dan murni ini, kita tidak lari daripada menempuh pelbagai suka duka dan asam garam dunia politik. Namun pemuda harus berani menyahut cabaran sebagai pemimpin dengan menampilkan ciri-ciri kepimpinan yang berkesan. Malah harus sentiasa mengimplimentasikan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Tidak seperti kepimpinan kerajaan BN hari ini yang amat takut untuk menyatakan pendirian walaupun untuk kes-kes yang amat kronik dan berimpak negatif yang tinggi seperti isu Pendatang Tanpa Izin.

Oleh itu, Pemuda bersumpah untuk memastikan kepimpinan generasi muda akan terus mengamalkan budaya kepimpinan yang berani, bertanggungkjawab berasaskan kepada kebijaksanaan.

7. Kerendahan Hati Ketinggian Budi

Mari kita renung kata mutiara ini :

“Setengah pintar yang disertai tawadhu (rendah hati) lebih disenangi oleh hati manusia dan lebih bermanfaat bagi masyarakat dibandingkan dengan kecerdasan dan kepandaian yang tinggi tetapi disertai dengan kesombongan”

Pemuda harus mengamalkan sikap yang sederhana, bersopan dan rendah hati. Jangan sesekali kita tiru budaya sombong dengan pangkat dan pengaruh yang ada. Kita berjuang untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Jadi kita harus memastikan bahawa sifat dan tingkahlaku kita selari dan jauh daripada budaya ekslusif agar kita terus dekat dengan masyarakat. Marilah kita bersedia untuk menerima kekurangan dan kelebihan secara terbuka dan matang.Kita harus berani menerima kritikan membina dan berusaha untuk berkhidmat dengan lebih baik dan berkesan. Amat malang jika kita menjadi pemimpin yang mudah merajuk, sekadar mencari peluang dan berasa hebat tanpa menilai dan muhasabah diri. Tolstoy di dalam komennya mengenai Lincoln, mengatakan bahawa:

Lincoln bukan seorang panglima perang yang hebat seperti Napoleon atau Washington. Dia bukan negarawan mahir seperti Gladstone atau Frederick the Great. Tetapi keunggulan Lincoln terzahir dalam kekuatan akhlak dan kehebatan jatidirinya.

Oleh itu, Pemuda bersumpah untuk menjadikan budaya rendah hati sebagai amalan beserta daya kepimpinan yang terbuka dan fleksibel demi kelangsungan kepimpinan yang berjiwa rakyat.

Hadirin hadirat para pejuang yang disanjungi…

Sumpah Pemuda Borneo ini bukan sekadar kata-kata penyedap rasa. Namun begitu, kita akan teruskan dengan konsisten melalui beberapa gerak kerja :

1. Menginstitusikan Seminar Pemikiran Perdana Dr. Jeffrey.

Gelanggang ilmu, persada pengetahuan dan pentas diskusi intelektual mesti disuburkan untuk kita mencambahkan politik berasaskan ilmu (k-politic) bagi kita mewajahkan semula perjuangan yang lebih menyakinkan. Warga muda harus memahami alur perjuangan Datuk Dr. Jeffrey G Kitingan.

“Politicians think for the next election, statesmen think for the next generation”

“Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu belajar sesudah dewasa bagaikan mengukir di atas air.

2. Penubuhan Kelab Jutawan Muda Star

Melalui kelab ini, kita akan memastikan semua anak muda yang telah memiliki perniagaan atau yang bakal memiliki perniagaan untuk dirangkaikan menjadi satu rantaian anak muda yang berjaya dalam apa juga bidang perniagaan. Kita mohon mencadangkan juga bantuan dan sokongan kerajaan STAR yang akan datang untuk memastikan kelab ini mendapat perhatian yang sewajarnya agar lebih ramai anak muda Sabah mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan lebih bermartabat.

Jika kita lihat pendapatan perkapita negara Singapura dan Brunei yang suatu waktu dahulu merupakan antara gabungan atau hampir menjadi gabungan Malaysia, kita amat jauh ketinggalan. Brunei US 50,506, Australia US 42 822, Malaysia US 15 568.

3. Memperkasakan Institusi Sosial

Pemuda memikirkan keperluan untuk memastikan kegiatan sukan di Sabah ini berkembang pesat. Kita akan mengorganisasikan 5 kejohanan utama di Sabah mengikut wilayah dan seterusnya bertanding di peringkat nasional. Penubuhan kelab-kelab sukan berdaftar termasuklah Kelab Bolasepak yang banyak amat dititikberatkan. Dengan adanya banyak kelab seumpama ini, Sabah tidak akan ketandusan bakat yang boleh mengharumkan nama Negara.

Selain itu, ia juga akan menjadi medium terbaik para belia khususnya untuk mencanai minda menjadi seorang pemikir dan pemimpin terbaik untuk tanah air tercinta ini.

Hadirin hadirat para pejuang yang disanjungi,

49 tahun telah berlalu. Ia merupakan satu masa yang panjang sejak Sabah bersetuju bergabung membentuk Malaysia. Harapan terbesar pemimpin kita dalam proses gabungan ini ialah mendapat kuasa pemerintahan sendiri dan menjadi Negara maju. Namun apa yang berlaku hari ini menunjukkan sebaliknya. Tahun 2010, Sabah dianugerahkan oleh Bank Dunia sebagai negeri termiskin dalam Malaysia. Oleh kerana itu, sambutan kemerdekaan Sabah ke-49 tahun pada 31 Ogos lalu yang kebetulan sama dengan kemerdekaan Malaya yang ke-55 tahun, kita memperingatinya dalam tema Tanpa Kegembiraan.

Sebagai generasi muda, kita dapat membuat banyak perbandingan umum. Ketika banyak raka-rakan pemimpin UMNO dari luar Negara memuji kehebatan dan kemajuan Malaysia, mereka lupa atau buat-buat tidak tahu bahawa kehebatan Malaysia itu banyak bergantung kepada kekuatan hasil bumi dari Borneo. Tahun lalu sahaja hasil minyak Sabah berjumlah RM15B dan 95% daripadanya diberikan kepada Persekutuan melalui Petronas. Sabah hanya menikmati hasil minyak sendiri kurang daripada RM1B. Sememangnya harus kita tidak bergembira.

Bahkan Malaysia merupakan pengeluar sawit nombor satu dunia. Sabah merupakan penyumbang terbesar dengan tanah yang subur dan luas. Belum lagi kita bercerita soal komoditi lain seperti getah,koko, kopi dan bermacam-macam lagi. Dengan semua hasil yang banyak ini, layakkah kita bergelar termiskin?

Kita lihat banyak bangunan kemegahan Malaysia yang menyebabkan Negara dipuji oleh orang luar seperti Menara Berkembar Petronas, Menara KL, Putrajaya, Cuberjaya, Iskandar Malaysia, bahkan system lebuhraya yang baik, tidak kurang juga pusat-pusat rekreasi seperti Genting Highland, Berjaya Times Square malah yang terbaru, Legoland Malaysia. Tetapi semua mercu tanda itu terpacak di mana? Semua kehebatan itu berada di mana? Berapa peratuskah rakyat Sabah yang merasai kehebatan itu? Sedang anak-anak kita di Sabah hanya mampu bermain Fun Fair dan berjalan kaki berbatu jauhnya untuk ke sekolah setiap hari.

Janji pemimpin Malaya terdahulu bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi setaraf dalam Malaysia juga tinggal janji terang bulan. Malah surat Tun Fuad Stephen yang mengatakan dengan jelas bahawa “kami tidak akan menyertai Malaysia sebagai negeri ke-12,ke-13 dan ke-14” juga sudah menjadi bahan sejarah yang ditongsampahkan. Jelas kini Sabah hanya dianggap sebagai negeri ke 12 dan Sarawak sebagai negeri ke 13 dalam Malaysia. Ini juga menidakkan sejarah dan fakta sebenar.

Hadirin hadirat para pejuang yang dimuliakan,

Sebagai generasi muda pewaris masa depan, kita tidak mahu lagi dipermainkan oleh sejarah yang dimanipulasi sehingga menjejaskan hak-hak anak jati Sabah. Kita lihat anak muda Sabah hari ini terpaksa menjadi kuli di Semenanjung Malaysia kerana kekurangan peluang pekerjaan yang ada di bumi Sabah. Tetapi warga Semenanjung Malaysia dating ke Sabah sebagai bos besar. Lihat sahaja statistic pengambilan penjawat awam setiap tahun, pasti berlaku banyak keciciran kepada anak Sabah. Kita ambil contoh duta Malaysia ke Negara luar. Hanya seorang daripada lebih 100 orang duta Malaysia di seluruh dunia. Bodoh sangatkah orang kita? Orang putih kata, enough is enough. Kita harus bangkit menentukan takdir kita sendiri.

Datuk-datuk, tuan puan, para pejuang yang dikasihi,

Pada kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan kepercayaan saya menerajui barisan hadapan pejuang muda. Sesungguhnya kepercayaan ini bukan satu kebesaran tetapi merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Kepada semua rakan pemuda, marilah bersama-sama saya mengambil peluang ini untuk terus berbakti dan memberikan kesetiaan penuh kepada perjuangan ini. Kita mampu mengubah lanskap politik Negara pada masa depan. Jika kita perhatikan, bahawa banyak sekali kepincangan yang berlaku sepanjang perjalanan politik di Sabah. Tidak kurang juga pemimpin Sabah yang dikategorikan sebagai menjual maruah Sabah demi kepentingan peribadi. Ada juga pemimpin politik yang sekadar mencuri peluang yang hadir tanpa memikirkan masa depan generasi akan dating.Apa yang lebih menyedihkan, masih ada pemimpin yang menggunakan cara lama untuk melebarkan rangkaian masing-masing sehingga menjejaskan perjuangan demi kelangsungan politik mereka dalam sesebuah parti. Semua ini tidak mampu kita ubah sekelip mata, bimbang kita dipandang derhaka. Tetapi percayalah, pemimpin masa hadapan itu adalah kita, dan hanya diri kita yang mampu mengubahnya. Kita pasti akan melakar dimensi baru dalam ruang politik Sabah.

Sementara kita berada di bulan Syawal ini, saya juga ingin mengucapkan selamat hari raya kepada semua yang meraikannya. Saya secara peribadi memohon ampun dan maaf jika selama menerajui pemuda, terdapat salah kata dan salah tingkah. Sebagai manusia biasa, saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tetapi percayalah, setiap kesilapan itu adalah kekuatan untuk kita memperbaiki diri. Manusia yang tidak pernah membuat kesilapan adalah manusia yang tidak pernah membuat apa-apa.

Akhir kata, PRU ke-13 akan dating merupakan platform yang amat penting untuk borneo khususnya Sabah untuk memastikan hak-hak Sabah dapat dikembalikan dan dipertahankan. Marilah berjuang sepenuh hati demi menyambung lidah perjuangan pemimpin terdahulu. Biarlah mereka pergi secara bermaruah dan kitalah yang akan mengangkat maruah perjuangan mereka. Kita pasti berdepan dengan tinkotor pemerintah zalim ini, tetapi dengan kekuatan perjuangan dan kesungguhan kita, dengan kekuatan jentera pejuang yang ada, insyaAllah kita akan dapat mengharunginya dengan baik.

Kepada pemerintah yang zalim ini, suka kita ingatkan, jika mereka melihat kita dari atas gunung dan berasakan bahawa kita kecil, kita juga ingin mengatakan bahawa mereka juga tidak kelihatan besar jika melihatnya dari bawah. Kita sudah cukup bersedia dan tidak akan berundur walau seinci pun.

Semoga perhimpunan ini akan terus meneguhkan iman, meningkatkan amal dan menambahkan ilmu kita semua demi mengangkat maruah bangsa dan tanahair.

Mudah-mudahan ia akan menyemarakkan idealisme serta memastikan obor perjuangan STAR terus membara.


Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi, Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi. Inikalilah!


Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh…


HASMIN AZROY ABDULLAH,
KETUA WIRAMUDA STAR SABAH.

06 SEPT 2012,
STARCITY CONVENTION CENTRE,
KOTA KINABALU SABAH.

8 comments:

  1. Replies
    1. Ini kalilah... Mantap sebab kita dalam kumpulan anak muda yg mantap2...

      Delete
  2. JO, semoga terus berjuang dan berpandangan jauh...

    ReplyDelete
  3. Hafez Azwan Darwis17 October 2012 at 22:42

    Mantap... teruskan perjuangan dengan keteguhan Jati Diri berteraskan Kebenaran dan Kejujuran...

    ReplyDelete
  4. Teruskan perjuangan sahabatku...kmi sabahan yg sejati akan mengiringinya dgn kekuatan yg ada...ini kali lah

    ReplyDelete

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...