Pages

Saturday 5 November 2011

UBF : Bermula Sebuah Perjuangan

Bermula pada tulisan ini, saya secara rasminya telah menetapkan satu pendirian bahawa satu perjuangan untuk mengembalikan hak-hak negeri dan rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan persetujuan asal pembentukan Malaysia seperti yang tertera pada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC-1962) serta yang termaktub dalam satu perjanjian yang ditandatangani di London yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963 harus diteliti dan diperjuangkan.

Jika melihat tulisan-tulisan saya yang lalu, sebenarnya saya agak adil untuk memberikan pendapat dan banyak daripadanya adalah pro-kerajaan. Namun selepas saya melalui satu proses untuk membuat proposal master saya berkaitan sejarah Sabah, seikhlasnya saya mendapati bahawa banyak fakta telah diselewengkan demi kepentingan pihak tertentu sehingga mengabaikan pengorbanan pemimpin terdahulu di Sabah dan Sarawak. Maka sejak itu, sejak itu saya mengambil pendirian bahawa dengan sedikit pengetahuan yang saya ada, saya akan pastikan generasi saya tidak lagi tertipu dengan sejarah yang diputarbelitkan. Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa buku teks sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah kurang tepat.

Justeru, selepas bertemu dengan sekumpulan NGO (Borneo Heritage Foundation) melalui sayapnya United Borneo Front yang diasaskan oleh Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, pandangan 'Malaysia' saya mula berubah dan saya yakin benar bahawa inilah fakta yang amat tepat. Apatah lagi semua tuntutan UBF ini diambil dan diadaptasikan daripada dua dokumen asal yang terkandung dalam IGC seperti Memorandum 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak serta Perjanjian Malaysia 1963. Tuntutan UBF bukan satu tuntutan 'anak-anak kecil' yang diambil faktanya di tepi jalan tetapi merupakan satu perjuangan hak yang sangat murni berlandaskan satu fakta dan dokumen yang tulin dan sah.

Berikut merupakan  7 tuntutan UBF yang dikenali sebagai Agenda Borneo :
1. Menuntut supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan mekanisma mematuhi Perjanjian Malaysia yang dibentuk melalui Kementerian atau Perbadanan untuk mencapai matlamat dan tuntutan utama seperti yang terkandung dalam Perkara VII Perjanjian Malaysia 1963, serta memulihkan status rakan kongsi negeri Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya di dalam Persekutuan termasuk hak-hak istimewa dan peranan Sabah dan Sarawak dalam kuasa kewarganegaraan, kuasa pendaftaran dan kuasa imigrasi.

2.Menuntut supaya formula pengagihan hasil yang seimbang dan adil termasuk mengkaji semula peratus hasil daripada minyak mentah dan juga penempatan perwakilan yang lebih adil dalam Parlimen/KabinetPersekutuan/Perundangan dan perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

3. Menuntut supaya Dasar Kabotaj (Cabotage Policy)/Pengangkutan/Perdagangan yang mempunyai impak negatif ke atas negeri-negeri Borneo dimansuhkan.

4. Menuntut supaya dihormati pelaksanaan hak-hak penduduk asli (Native Rights) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

5. Menuntut supaya fokus pembangunan ekonomi dialihkan supaya lebih menjurus kepada Sabah dan Sarawak termasuk mengurangkan jurang ekonomi dan digital di antara Malaya dan negeri-negeri Borneo (Sabah & Sarawak).

6. Mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PTI)/"Projek IC", permasalahannya dan menggugat integriti persempadanan negeri Sabah dan Sarawak termasuk mengenakan seberat-berat hukum ke atas mereka yang mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

7. Mengkaji kehadiran agensi-agensi daripada (Pusat) di Sabah/Sarawak yang telah menguasai hasil keluaran bidang tertentu serta hak milik rakyat tempatan.

Jika kita meneliti semua tuntutan ini, jelas bahawa Agenda Borneo ini adalah perjuangan bersama bagi seluruh rakyat Sabah/Sarawak. Kita bukan meminta yang aneh-aneh tetapi  sebuah tuntutan yang pastinya mempunyai kepentingan awam terutamanya generasi di Borneo pada masa depan. Tidak timbul langsung soal pemisahan negara mahupun tuntutan keagamaan yang melampau. Marilah kita jernihkan hati, bukakan minda, renungkanlah : Kalau bukan kita,siapa lagi? Kalau bukan sekarang,bila lagi? dan Kalau berani,jangan takut-takut; Kalau takut, jangan berani-berani.
"UNITY IS DUTY"

Hasmin Azroy Abdullah,
05 November 2011,
Tenom.

2 comments:

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...