Pages

Monday, 29 February 2016

Kenangan 4 Tahun Sekali


Kenangan 4 Tahun Sekali
Hari ini bertarikh 29 Feb 2016. Tarikh unik yang akan kita temui 4 tahun sekali. Ada beberapa peristiwa yang berlaku di Persekutuan Malaysia hari ini. Salah satunya ialah pengisytiharan Tun Mahathir Mohamed dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali untuk keluar daripada UMNO atas alasan UMNO kini hanyalah untuk pertahankan Presiden dan bukan lagi memperjuangkan rakyat.

Apa pun yang berlaku di Malaya, biarlah mereka uruskan. Apa yang penting ialah perjuangan HAK Sabah mesti diteruskan tidak kira siapa yang bakal memerintah kerajaan Persekutuan Malaysia. Masih banyak yang kita hilang di Sabah sejak kita bergabung membentuk Persekutuan Malaysia. 

Saya berharap apabila kita berjumpa semula tarikh ini pada Wawasan 2020, Sabah telah pun berada dalam situasi yang lebih baik beserta kuasa autonominya. Sengaja saya mengambil gambar di bilik bacaan saya hari ini agar tahun 2020 nanti saya akan ingat bahawa ketika itu Sabah mesti jauh lebih baik daripada hari ini. Demi itu, saya akan terus berjuang dan berjuang!

Friday, 12 February 2016

Pekan Melalap - Realiti atau Retorik Politik BN.

1. Pada tahun 2012 iaitu setahun sebelum Pilihanraya ke 13, penduduk Melalap dibunga-bungakan hatinya oleh pihak kerajaan pentadbiran BN dengan upacara pecah tanah yang dilakukan oleh DS Musa Aman, Ketua Menteri.


2. Upacara pecah tanah ini dilakukan semata-mata untuk menutup mulut dan mematikan isu yang dibawa oleh parti pembangkang berkaitan isu itu. Maka rakyat akhirnya terpedaya dan memberikan kemenangan kepada BN di Melalap.
3. Alasan kelewatan pembinaan itu ialah kerana masalah hak milik tanah di kawasan pekan itu yang dimiliki oleh Sime Darby iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan persekutuan (GLC). Apakah bentuk rundingan yang telah dibuat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan sehingga lebih 3 tahun berlalu, belum ada kesepakatan antara kedua-dua kerajaan sedangkan kedua-duanya berasaskan BARISAN NASIONAL?
4. Mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia, dalam Senarai 2, jelas termaktub bahawa SOAL TANAH adalah KUASA AUTONOMI MUTLAK Kerajaan Sabah. Bahkan dalam perlembagaan Sabah juga jelas melalui Ordinan Tanah Cap 26 tentang kuasa Kerajaan Sabah dalam soal tanah. PERSOALAN TERBESAR ialah mengapa KERAJAAN SABAH PIMPINAN BN GAGAL MENJALANKAN KUASA yang diperlukan demi kebaikan rakyat Sabah?
5. Maka jelaslah bahawa pembinaan Pekan Melalap ini dijadikan retorik politik untuk keperluan 2 atau 3 pilihanraya demi meraih sokongan. Kerajaan jenis ini yang memperbodohkan rakyat Sabah khususnya orang Melalap wajar dibuang pada pilihanraya akan datang. Mereka marah jika kita sebutkan bahawa ia hanya wayang politik tetapi kita bukan anak kecil yang tiada pemikiran kritis. Kita melihat dan memerhati dan melalui tindakan-tindakan kerajaan, ia jelas kelihatan cuma bermotif politik dan bukan menggambarkan TANGGUNGJAWAB SEBUAH KERAJAAN PILIHAN RAKYAT.
6. Bahkan mereka lebih dulu lakukan upacara pecah tanah tetapi lebih 3 tahun kemudian barulah ada PENJELASAN CADANGAN. Apakah ini juga akan menjadi cerita yang sama seperti PRU yang lalu iaitu setahun sebelum PRU maka 'bunyi' tentang Pekan Melalap kembali berkumandang? Cukuplah memperbodohkan rakyat Sabah!
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS .

Wednesday, 27 January 2016

Semua Parti Luar Sabah Tidak Boleh Membentuk Kerajaan Sabah.

(27 Januari 2016)
1. Presiden Parti Cinta Sabah iaitu Dr Nicholas James Guntobon, menegaskan bahawa menurut Perlembagaan Sabah, Artikel 6(3)(7) semua parti-parti yang tidak berdaftar di Sabah tidak layak membentuk kerajaan Sabah ekoran daripada sistem pelantikan Ketua Menteri oleh TYT yang agak terperinci dan ketat.
2. Kenyataan ini memberikan banyak reaksi daripada parti-parti politik yang ingin bertanding di Sabah khususnya parti dari luar Sabah. Ada yang memberikan justifikasi demokrasi, boleh pilih siapa saja Ketua Menteri yang boleh mendapat sokongan majoriti. Tetapi ramai lupa bahawa demokrasi itu juga adalah terikat dalam undang-undang (bound by the law).
3. Jika hanya perlu memilih Ketua Menteri berdasarkan suara majoriti ahli DUN, maka DS Lajim, Dtk Rubin, YB Zainal tidak perlu masuk UMNO dan jadi wakil rakyat BN untuk memungkinkan Dtk Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri ketika krisis politik Sabah suatu waktu dulu. Mereka boleh terus jadi ADUN Bebas dan sokong Sakaran jadi Ketua Menteri, tetapi kerana undang-undang Sabah jelas mahukan PARTI MENANG MAJORITI dan bukan sekadar SOKONGAN MAJORITI.
4. Tujuan PCS bercakap soal ini bukan hanya berniat politik tetapi lebih daripada itu ialah untuk memberikan pemahaman kepada rakyat bahawa undang-undang Sabah unik dan mampu menjaga kepentingan Sabah tanpa banyak bermain wayang politik. Jika kita faham dan guna undang-undang ini maka HAK Sabah khususnya dalam soal KUASA KERAJAAN SABAH tidak akan mudah dimanipulasi.
5. PCS juga tidak mahu jika ada parti pembangkang yang menang tetapi akhirnya tidak berjaya membentuk kerajaan kerana kekangan undang-undang. Kesian kepada rakyat yang menyokong. Mereka tentu kecewa. Akhirnya yang rugi ialah Sabah secara keseluruhannya.
6. Walau bagaimanapun, ini hanya terpakai kepada KERUSI DUN SABAH. Kerusi Parlimen masih terbuka kepada semua parti di Persekutuan Malaysia. Jika PR/PH benar-benar jujur untuk menumbangkan UMNO/BN Putrajaya, maka fokuslah kepada kerusi parlimen dengan bekerjasama dengan parti nasional Sabah kerana hanya kerusi parlimen boleh ubah Putrajaya bukannya kerusi DUN.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS.

Wednesday, 11 March 2015

Setelah Lama Tidak Meladeni Blog Ini

Sastera di Atas Politik
( Inspirasi daripada pertemuan dengan Fadli Zon )

Di hadapan gedung indah
Di atas pintu bertanda ‘Rumah Kreatif’
Di dalam hati tertulis sebuah penghormatan

Belum lagi kali pertama menyalami
Pemilik gedung yang santun
Sederhana menyambut dengan senyuman
Melontarkan kata tersusun penuh makna

Ketika kami jalan kaki beriringan
Menunaikan solat fardu Jumaat
Dalam diam aku mulai mengagumi
Dunia politik dan korporat masih lagi indah
Selama masih ada manusia berjiwa insan

Dalam sebuah ucapan ringkas
Beliau sempat bicara tentang perjuangan
Antara mata pena dan luahan kata
Bahawa sastera harus berada lebih tinggi
Mengatasi ruang permainan politik
Katanya sastera lebih jujur menilai kata
Sastera lebih indah menekuni hidup

Lalu senyumku terbang di awan
Dengan bilah-bilah sayapnya kembang
Bergantungan semangat baru untuk kubawa pulang.

Nim Yorza,
Rumah Kreatif Fadli Zon,
Bogor Indonesia.
14.03.2014

Friday, 21 February 2014

Salleh Harus Menyokong Perjuangan Sambil Bertindak Menuntut Hak Sabah

KOTA KINABALU  - “Sepatutnya sebagai Tuan Speaker dan pemimpin Umno Sabah kanan dan berada dalam posisi berkuasa, Datuk Dr. Salleh harus menyokong kumpulan-kumpulan yang cuba memberi kesedaran tentang sejarah sebenar Sabah terutama mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Sabah adalah salah satu Negara yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 sambil menuntut sehingga merealisasikan hak-hak Sabah yang terhakis sehingga hari ini” ujar Hasmin Azroy Abdullah, Ketua Wiramuda STAR Sabah, sebagai respon mengenai seruan Datuk Dr. Salleh Tun Said Keruak kepada Pemuda Umno Sabah untuk memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengenai Hak Sabah agar tidak digunakan oleh pihak tertentu dan pembangkang di Sabah secara salah demi mendapatkan keuntungan politik.Beliau juga harus mengelakkan kekeliruan dan keraguan dengan menjelaskan secara terperinci tentang Hak Sabah yang didakwa dimanipulasikan oleh pihak yang beliau sebutkan tersebut.

Thursday, 13 February 2014

Perigi Tua dan Air Sungai

Pernah di sisi perigi tua itu
Gelak tawa bergema di atas lumut hijau
Basah disiram bergayung air gembira
Bertemankan siulan mesra ghairah senja
Menuju malam yang paling indah

Meski hitam dan kusam
Perigi tua itu tetap sabar dikunjungi
Di dalamnya air jernih menanti setia
Lelaki dan wanita tidak pernah kecewa
Setiap hari sempat berbalas senyuman
Bertingkah rengekan manja anak kecil
Syahdu dalam kalbu berukir rasa syukur
Merimbun kehidupan penuh rahmat

Tiba-tiba perigi tua dilupakan
Kerana mengalir janji sebatang sungai
Katanya lebih nyaman dan segar
Anak-anak lebih mesra dalam senda
Mencari indah dunia dewasa 
Sampai ke lautan biru kehidupan

Namun janji cuma nyata dalam lena
Rupanya sekadar menganyam mimpi 
Di atas batu terpahat harapan kosong
Sungai ini, airnya mengalir di mana
Lelaki dan wanita kian kegersangan
Anak-anak pulangnya masih berdaki
Di rumah penuh tempayan kontang

Ketika buana mulai merengus hangat
Tubuh basah jua oleh kesal keringat
Mata pun bergenang air bening
Sejernih air perigi tua yang dirindui
Namun tiada siapa lagi yang masih ingat
Jalan melewati denai bahagia 
Yang pernah tercipta menuju ke perigi tua
Meskipun ia masih di situ.

Nim Yorza,
Taman Jindo.
13.02.2014.

Wednesday, 12 February 2014

Selepas Setahun Kes Pencerobohan Tanduo Lahad Datu

Ironi 1.

Kes pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas atau pun mahu dikenali sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu genap setahun hari ini. Kampung yang terlibat kini kosong dan hanya tinggal sisa runtuhan rumah. Ada juga cerita gembira apabila penduduk yang dipindahkan menerima bantuan berupa rumah baru dan juga wang ringgit.

Namun apa yang lebih penting untuk kita sedar ialah, apakah cerita yang hampir dilupakan ini sekadar sebuah kenangan pahit tanpa ada inisiatif terbaik untuk menjadikan kes ini suatu iktibar dan mencari jalan penyelesaian?

Friday, 7 February 2014

Cinta Sepuluh Hari

Tanpa diduga kita bertemu
Sekelip mata ikatan terjalin mesra
Gurau senda penghias bicara
Lalu kita pun saling merindu

Anehnya kau ungkap kata cinta
Untuk memilih  hanya sepuluh hari
Melukiskan kisah romantika terindah
Di hatiku hampa menoreh pedih
Tidak tertafsir makna cinta
Yang cuba kau sembunyikan harganya

Dalam egomu ada salahku
Tika ku pergi bersama kesal
Tidak rela cinta bermusim

Tapi keadaan cepat menegurku
Lalu kukembali dalam harapan
Bahawa kau adalah bintang hatiku
Walau takdirnya hanya sehari

Namun cinta itu tidak bernama
Ia juga tidak punya usia
Hanyalah satu rasa
Yang amat sukar dimengerti
Sehingga sampai ke garis
Impian bahagia nan sejati

Nim Yorza,
Borneon, Luyang.
07.02.2014

Kawasan Ada Minyak VS Kawasan Tiada Minyak

Sabah yg merupakan antara kawasan pengeluar minyak terbesar Malaysia pula sekadar memiliki jambatan gantung purba. Sedangkan Langkawi yg tiada sumber dan hasil minyak mempunyai jenis jambatan gantung mewah.

Sampai bila Sabah terus miskin sedangkan hasil bumi banyak dan mampu menjana kekayaan untuk rakyat Sabah?

Thursday, 6 February 2014

Hipokrasi Kehidupan

Seperti air mengalir tenang
Di permukaannya sejernih kristal
Mengilau bening mengasyikkan
Namun siapa pernah mengerti
Alur dasarnya menyimpan sejarah
Mengadun keladak hanyir nista
Merenggut kegadisan alam
Memudarkan warna kehijauan
Yang selama ini mendamaikan

Begitulah hidup dan kehidupan kini
Wajah yang penuh senyuman
Bukan lagi cerminan insan
Kata yang bersalut permata
Tidak sesejuk pandangan mata
Hipokrasi adalah rekreasi gembira
Bersiul dalam nikmat purba
Melestarikan sandiwara songsang
Agar menjadi rentak irama mesra
Dalam lakonan penuh dusta

Pun hakikat hidup akhirnya
Yang jernih selalu terpuji
Terpana melihat keaslian palsu
Panggung tetap penuh sesak
Walau lakonan cuma satu gerak
Tidak juga lebih sepatah kata
Pasti ada juga titisan airmata
Meski berdialog dalam nada lucu

Segalanya mungkin sudah biasa
Kita pun akan terbiasa nanti
Ketawa dalam tangisan
Derita dalam senyuman
Biarpun hati terbakar kering
Menanti senja usia hening
Sebelum siang menjemput malam

Nim Yorza,
Luyang, KK.
06.02.2014