Pages

Saturday, 23 July 2016

I Am Not Racist, Just Being Practical.

23 Julai 2016, Kota Kinabalu.
1. Sebagai salah seorang rakyat Persekutuan Malaysia yang membayar cukai, apatah lagi melalui 'paksaan GST', kita amat berasa diperbodohkan oleh pemerintah. Pemerintah memaksa kita membantu membangunkan persekutuan ini dengan membayar cukai tetapi pada masa yang sama pemerintah mampu pula mencari sumbangan dana untuk membantu rakyat luar negara.
2. Jika pemerintah sayangkan rakyat, sepatutnya mereka mencari sumbangan untuk membantu rakyat sendiri dahulu jika wang kerajaan tidak mencukupi. Di Sabah ini kadar kemiskinan tegar masih tinggi. Banyak sekolah yang usang, jalanraya yang rosak dan kemudahan awam yang amat daif.
3. Tetapi pemerintah mencari sumbangan untuk sekadar mengajar rakyat negara luar berbahasa Melayu. Apa yang pemerintah mahu buktikan? Mahu tunjukkan kepada pengundi bahawa 'kerajaan jaga Islam dan Melayu' di seluruh dunia? Ini adalah indoktrinasi songsang yang memperbodoh pemikiran rakyat.
3. Rakyat negara luar akan belajar bahasa kita jika kita menunjukkan cara tadbir urus negara dengan hebat, kita mampu mengeluarkan teknologi bertaraf antarabangsa, dan ekonomi kita berkembang pesat. Tidak perlu kita yang terhegeh-hegeh mahu beri mereka wang untuk belajar bahasa kita.
4. Namun kita tahu hakikatnya, imej persekutuan Malaysia kini rosak akibat pendedahan dunia berkaitan skandal kewangan mega melibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dinasihati oleh Perdana Menteri. Ekonomi merundum dengan penurunan ketara nilai matawang, pengurangan kadar faedah/OPR serta syarikat penerbangan dan automotif negara, dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Melihat senario ini, mana ada orang luar mahu belajar Bahasa Melayu kerana tiada nilai komersil akibat kebebalan pemerintah mentadbirurus persekutuan ini.
5. Jadi kita bantu warganegara Sri Lanka agar mampu berbahasa Melayu untuk apa? Supaya mereka boleh dibawa masuk bekerja di persekutuan ini dan seterusnya bakal jadi pengundi? Saya tidak bermaksud kita tidak boleh bantu orang lain yang susah di luar negara. Tetapi biarlah praktikal. Rakyat sendiri tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi pemerintah masih berbangga dengan cerita 'membantu rakyat luar negara'. Anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan.
6. Kita memilih pemerintah untuk menjaga kita sebagai keutamaan. Fikirkan cara bagaimana membantu menyenangkan rakyat sendiri. Rakyat sudah berkorban walaupun terpaksa. Rakyat Sabah sendiri telah lebih 30 tahun "membenarkan" Persekutuan Malaysia melalui Petronas menghisap hasil minyak dan gas atas nama SEBUAH NEGARA. Bahkan lebih 30 tahun juga Kerajaan Sabah "surrender" hak cukai yang dikutip oleh agensi persekutuan sebanyak 40% yang sepatutnya diberikan kepada Sabah secara jelas dalam perlembagaan persekutuan. Ironinya, kerajaan cari derma untuk bantu rakyat negara asing ketika anak Sabah masih jalan kaki melalui jalan denai meredah hutan dan lumpur untuk ke sekolah.
7. Selagi kita diperintah oleh kumpulan serigala jalanan ini, persekutuan Malaysia akan muflis dan rosak. Lebih-lebih lagi kepada Sabah yang bakal terheret sama. Hancur sebuah harapan menggunung untuk maju bersama seperti aspirasi kepimpinan terdahulu. Apalah makna persetujuan Sabah menandatangani Perjanjian Malaysia 1963?
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah.

No comments:

Post a Comment

Menulislah seolah-olah anda meminjam tangan Tuhan...