Pages

Showing posts with label Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat. Show all posts

Friday, 11 March 2016

Pencari atau Pencuri Minyak Sabah.

1. Baru-baru ini ketika berada di sekitar Matunggong Kudat, saya perasan begitu banyak pekerja-pekerja Petronas berlegar-legar di jalanraya utama. Ada juga yang masuk kampung dan sepertinya membuat tanda-tanda di sepanjang jalan yang dilalui.
2. Saya ada bertanya kepada pekerja-pekerja berbaju merah. Kata mereka ini adalah proses untuk 'explore' minyak 'onshore'.
3. Persoalan saya ialah mengapa kerja-kerja sebegini sehingga masuk ke pelusuk kampung-kampung terpencil bahkan menghantar jentera pelik-pelik yang tidak biasa dilihat, tidak ada apa-apa pemberitahuan kepada masyarakat setempat. Semua penduduk yang ditanya juga tidak dapat menjawabnya dan kelihatan keliru apatah lagi sesekali kenderaan polis turut masuk bersama kenderaan bercop Petronas.
4. Jika kenderaan-kenderaan ini adalah kenderaan pengganas yang menggunakan cop Petronas, maka keselamatan penduduk di kawasan tersebut pasti sedang terancam. Bahkan kenderaan ini sesuka hati berhenti di mana-mana tempat dan adakalanya menghalang laluan penduduk.
5. Kerajaan Sabah pimpinan DS Musa Aman wajar memberikan jawapan bagaimana SOP untuk syarikat carigali menjalankan operasi explorasi minyak agar tidak mengganggu ketenteraman penduduk awam dan juga tidak menimbulkan tanda tanya.
6. Minyak Sabah sedang diperah sedangkan orang Sabah di persekitaran pun tidak tahu apa-apa. Kesian orang Sabah! Terus-terusan diperbodohkan!

Monday, 29 February 2016

Kenangan 4 Tahun Sekali


Kenangan 4 Tahun Sekali
Hari ini bertarikh 29 Feb 2016. Tarikh unik yang akan kita temui 4 tahun sekali. Ada beberapa peristiwa yang berlaku di Persekutuan Malaysia hari ini. Salah satunya ialah pengisytiharan Tun Mahathir Mohamed dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali untuk keluar daripada UMNO atas alasan UMNO kini hanyalah untuk pertahankan Presiden dan bukan lagi memperjuangkan rakyat.

Apa pun yang berlaku di Malaya, biarlah mereka uruskan. Apa yang penting ialah perjuangan HAK Sabah mesti diteruskan tidak kira siapa yang bakal memerintah kerajaan Persekutuan Malaysia. Masih banyak yang kita hilang di Sabah sejak kita bergabung membentuk Persekutuan Malaysia. 

Saya berharap apabila kita berjumpa semula tarikh ini pada Wawasan 2020, Sabah telah pun berada dalam situasi yang lebih baik beserta kuasa autonominya. Sengaja saya mengambil gambar di bilik bacaan saya hari ini agar tahun 2020 nanti saya akan ingat bahawa ketika itu Sabah mesti jauh lebih baik daripada hari ini. Demi itu, saya akan terus berjuang dan berjuang!

Wednesday, 12 February 2014

Selepas Setahun Kes Pencerobohan Tanduo Lahad Datu

Ironi 1.

Kes pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas atau pun mahu dikenali sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu genap setahun hari ini. Kampung yang terlibat kini kosong dan hanya tinggal sisa runtuhan rumah. Ada juga cerita gembira apabila penduduk yang dipindahkan menerima bantuan berupa rumah baru dan juga wang ringgit.

Namun apa yang lebih penting untuk kita sedar ialah, apakah cerita yang hampir dilupakan ini sekadar sebuah kenangan pahit tanpa ada inisiatif terbaik untuk menjadikan kes ini suatu iktibar dan mencari jalan penyelesaian?

Friday, 7 February 2014

Kawasan Ada Minyak VS Kawasan Tiada Minyak

Sabah yg merupakan antara kawasan pengeluar minyak terbesar Malaysia pula sekadar memiliki jambatan gantung purba. Sedangkan Langkawi yg tiada sumber dan hasil minyak mempunyai jenis jambatan gantung mewah.

Sampai bila Sabah terus miskin sedangkan hasil bumi banyak dan mampu menjana kekayaan untuk rakyat Sabah?

Saturday, 7 September 2013

We Must Know

https://www.youtube.com/watch?v=n1WVUowW_3w&feature=youtube_gdata_player

Monday, 1 July 2013

Mesir : Bila Sekular Tergugat

Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan. 

Sunday, 31 March 2013

Pencerobohan Lahad Datu Satu Konspirasi Jahat?

Pada awal Febuari 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan sekumpulan militan yang menggelarkan diri mereka sebagai Askar Diraja Sulu. Antara tuntutan mereka ialah mendapatkan kembali Negara Sabah kerana mendakwa Sabah adalah milik Kesultanan Sulu.Jika kita imbas sejarah lalu, Kesultanan Sulu adalah sebuah kerajaan Muslim yang suatu masa dahulu pernah menguasai Laut Sulu di Filipina Selatan. Kerajaan ini didirikan pada tahun 1450. Ketika zaman kegemilangannya, negeri ini telah meluaskan sempadannya dari Mindanao sehingga ke bahagian timur Sabah.




Kawasan berwarna hijau adalah wilayah Kerajaan Sulu terdahulu dan bukannya keseluruhan Sabah.

Monday, 29 October 2012

Respon Kepada Cikgu Clarence Anthonius


Respon kepada rintihan Clarence Anthonius, seorang penyanyi dan juga seorang guru yang menyatakan kekesalan kerana album beliau tidak diputarkan di radio-radio awam hanya kerana salah satu tajuk lagunya menggunakan perkataan Ni Kali Lah. Satu perkataan yang dikatakan ‘milik’ pembangkang khususnya STAR.

Persoalan terbesar  sebenarnya ialah, perkataan Ni Kali Lah seharusnya satu ungkapan umum rakyat Sabah dan kerajaan tidak sepatutnya sensitif tidak bertempat sehingga menganiaya rakyat. Tidak timbul soal pembangkang menyebabkan mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan perkataan ini mendapat tempias yang tidak sepatutnya kerana perkataan ini adalah universal dan boleh digunakan oleh siapa saja tanpa halangan atau prejudis.

Walau bagaimanapun saya ucapkan Tahniah kepada beliau kerana perkataan Ni Kali Lah telah menemukan beliau kepada isteri tersayang. Sedangkan STAR dalam satu perkataan yang hampir sama berbunyi INI KALILAH, masih terus berjuang untuk mendapatkan hak-hak rakyat Sabah. Semoga kekuatan aura perkataan ini akan menjadi satu titik perubahan yang baik bukan sahaja untuk kebahagiaan beliau suami isteri tetapi juga kepada rakyat Sabah keseluruhannya.

Sekiranya kerajaan masih enggan melonggarkan penggunaan perkataan ini sebagai satu perkataan umum, maka STAR menawarkan kepada beliau untuk membantu mempromosikan album beliau sekalipun lagu beliau itu langsung tiada kena mengena dengan STAR.

Saturday, 20 October 2012

20.10 Ulang Tahun Paling Mengejutkan

Tarikh 20 Oktober merupakan satu tarikh yang sentiasa saya ingat setiap tahun kerana ia mengingatkan saya bahawa saya semakin menuju kedewasaan yang tidak mungkin dapat diundurkan. Suka atau tidak, saya terpaksa melangkah dengan berani dan yakin. Masa depan itu ada di tangan sendiri. Tanpa kekuatan dan keberanian, masa hadapan hanyalah ruang masa yang kosong dan tidak bererti.

Namun tahun ini, pada tarikh yang sama, ia menjadi satu tarikh yang pastinya mengejutkan saya malah saya beranggapan ia sangat istimewa. Pada tarikh ini juga dua insan penting dalam perjuangan Agenda Borneo iaitu Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, Pengerusi STAR Sabah dan Pn. Melanie Annol, Ketua Wiranita STAR Sabah berkongsi ulang tahun kelahiran dengan saya selaku Ketua Wiramuda STAR Sabah.

Sama ada ini satu suratan atau kebetulan, semoga ia menjadi satu petanda yang baik dalam perjuangan murni ini. InsyaAllah... 

Happy Birthday!

Thursday, 27 September 2012

BN Beli UNDI RM200?

Sabah dikejutkan lagi dengan video pendedahan manipulasi undi oleh BN dengan memindahkan data-data pengundi. Malah diberikan RM200. Sejauh mana kebenarannya sama-sama kita ikuti perkembangannya...

Kegiatan mendaftar pengundi baru dan pemindahan tempat membuang undi ke kawasan Dun N.15 Api-Api dengan tawaran RM200 telah tersebar luas.

Bermula dari Taman Keramat yang terletak di batu 2, Jln Tuaran sehingga ke Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Inanam (Terminal Bas Inanam) beberapa hari yang lalu dikatakan telah menawarkan imbuhan kepada sesiapa sahaja (kecuali kaum Tiong Hua) yang menukar tempat mengundi ke kawasan Dun Api-Api.

Jika perkara ini benar, maka pihak berwajib harus mengambil tindakan sewajarnya... Bukti video turut dirakamkan oleh kumpulan yang dikenali sebagai Crew SabahTV. Sama-sama kita ikuti perkembangan yang amat tidak sihat ini...

Wednesday, 19 September 2012

Tarian Sumazau Untuk Golongan Rendah Akhlak?

Blog http//:suarapakatanrakyat.com pada 11 hb lalu mengatakan bahawa tarian Sumazau merupakan tarian untuk golongan rendah akhlak. Ini merupakan satu penghinaan besar kepada kebudayaan Sabah. Ini berlaku kerana ketiadaan silibus yang jelas di sekolah-sekolah untuk memahami budaya msayarakat di Sabah.

Sepatutnya silibus di sekolah wajib mengajarkan kebudayaan-kebudayaan tempatan demi satu perkongsian kuasa yang menjamin keharmonian dan kemajuan. Wiramuda Star mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. 

Laporan polis telah dibuat dan diharap pihak yang sewajarnya akan menyiasat kes ini sebaik-baiknya.

Tuesday, 29 May 2012

Mempertikaikan Perkara 20 Sama Seperti Membatalkan Perjanjian Malaysia 1963

Membaca kenyataan pemimpin veteran BN seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, membuatkan saya hampir putus nafas dan berasa amat kecewa. Jika pemimpin lama seperti mereka ini tidak memahami hasrat sebenar di sebalik kewujudan Perkara 20 ini, apakah lagi yang mampu diharapkan bukan sahaja oleh pemimpin baru tetapi juga kepada seluruh generasi muda Sabah terutamanya berkaitan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Harus kita ingat, Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia adalah dua 'dokumen' berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi yang tersendiri. Perkara 20 merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14. Perkara 20 ini diwujudkan oleh pemimpin politik Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Secara mudahnya, Perkara 20 adalah syarat utama bagi Sabah sebelum memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak membentuk Malaysia seterusnya menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Malaysia 1963. Sejak bila pula Perkara 20 dibuat untuk diasimilasikan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia? Ini adalah kenyataan songsang yang sengaja dibuat untuk mengelirukan bukan sahaja rakyat Sabah bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Sunday, 15 January 2012

Semakan Semula SBPA Bukti Kerajaan CINCAI Merangka Skim Ini

Semalam Perdana Menteri mengumumkan penangguhan dan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Langkah ini dilihat sebagai membuktikan bahawa perancangan dan pelaksanaan skim ini tidak dibuat dengan teliti dan menyeluruh. Bahasa mudahnya, kerajaan 'cincai' semasa merangka skim ini.

Malah, ini juga jelas memperlihatkan bahawa kerajaan merangka skim ini secara membabi buta semata-mata untuk memancing undi penjawat awam. Kerajaan beranggapan bahawa dengan kenaikan gaji yang 'sangat tinggi' akan menutup mulut, mata dan hati penjawat awam agar terus menyokong kerajaan tanpa berfikir. Tetapi ini bukan 50 tahun yang lalu. Pada masa ini kebanyakan penjawat awam telah memahami erti demokrasi sebenar. Penjawat awam telah lama terpelajar bukan setakat apa yang tertulis pada sijil kelayakan tetapi juga terpelajar dari segi menilai sistem pentadbiran yang adil dan telus.

Apa yang lebih dikesalkan ialah semakan semula ini hanya melibatkan penjawat awam yang belum menandatangani skim ini. Manakala yang sudah menandatanganinya, tidak terlibat dan kekal dengan pilihan yang ada. Jika kita melihat semakan semula ini sebagai ada sesuatu yang tidak kena, mengapakah penjawat awam yang telah menandatangani harus menerima skim yang "bermasalah" ini?

Ini sekali lagi memperlihatkan taktik kerajaan yang cuba memperbodohkan penjawat awam sedangkan kebanyakan penjawat awam yang telah menandatangani skim ini adalah mereka yang tidak kisah dan hanya menurut perintah sahaja. Mungkin terdapat juga golongan yang dipaksa oleh majikan untuk menandatangani skim ini.

Oleh itu, saya menegaskan bahawa semakan semula ini haruslah melibatkan semua penjawat awam tanpa ada syarat. Semakan semula ini jelas membuktikan bahawa SBPA ini bermasalah. Jadi seharusnya masalah ini diselesaikan dahulu sebelum ia dilaksanakan untuk semua penjawat awam.

Monday, 19 December 2011

SBPA : Perangkap Maut Kepada 1.4 Juta Penjawat Awam

Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sememangnya menggemparkan tanah air. 1.4 juta kakitangan awam hampir terlonjak dan terlondeh kain pelikat yang dipakai. Apa tidaknya, kenaikan gaji yang sangat tinggi antara 7 hingga 13%. Tetapi sayangnya kenaikan gaji ini pula disertai dengan perangkap maut yang cukup cantik berselindung di bawah rimbunan indah kenaikan gaji.Mujurlah beberapa kesatuan yang cukup mengambil berat kebajikan penjawat awam ini tidak mudah terpedaya. CEUPACS, Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) adalah antara kesatuan yang boleh dikatakan Presidennya sangat hebat dan layak menduduki kerusi mereka lantaran suara mereka membela penjawat awam.

Antara perkara yang dianggap tidak 'baik' untuk penjawat awam ialah :
1. SBPA dilaksanakan tanpa mengambilkira pandangan penjawat awam. Sepatutnya perbincangan harus dilakukan agar skim yang akan dilaksanakan tersebut akan menjadi situasi menang-menang bagi penjawat awam dan juga kerajaan. Malangnya, skim ini dikatakan sulit sehingga menutup semua pintu perbincangan.

2. SBPA berbentuk paksaan halus. Jika diteliti sebenarnya, walaupun penjawat awam boleh memilih untuk tidak memilih skim ini, sebenarnya perkara asas dalam SBPA tetap dikuatkuasakan. Bayangkan jika ada yang tidak memilih SBPA dan kekal dengan gaji asal yang rendah tetapi tetap berhadapan dengan perkara yang ingin mereka elak seperti Dasar Pemisah,Umur Persaraan Paksa 60 tahun, Bayaran insentif yang ditambatkan kadar,Penilaian Prestasi dan beberapa perkara lain yang boleh menghilangkan motivasi kerja penjawat awam. Dalam ertikata lain sebenarnya penjawat awam tiada pilihan melainkan menandatangani SBPA.

3. Dasar Pemisah atau bahasa mudahnya dasar memecat penjawat awam yang dipermudahkan. Seseorang penjawat awam yang diberikan markah 70% ke bawah selama 3 tahun berturut-turut boleh dipecat. Apa yang menjadi masalahnya, tidak diperincikan bagaimana penilaian itu dibuat. Ini juga mengundang kepada diskriminasi orang bawahan.Dasar ini juga tidak memberikan peluang yang lebih baik kepada penjawat awam untuk membuat perubahan melalui pilihan lain seperti kaunseling, perpindahan jabatan dan sebagainya. Sudahlah dipaksa bersara pada umur 60 tahun. Bayangkanlah setakat mana kemampuan seseorang pada umur seperti ini.Ini ditambah lagi dengan sistem penilaian prestasi yang lebih menjurus kepada "bodek boss" dan bakal memberikan impak negatif kepada motivasi pekerja yang cemerlang tetapi kurang 'bijak mengambil hati' bos.

4. Perbelanjaan untuk melaksanakan SBPA dikatakan sangat tinggi  sehingga hampir RM3b. Tetapi siapa yang merasai jumlah itu? Ternyata penjawat awam di peringkat Kumpulan Pelaksana sebenarnya teraniaya. Contohnya kategori Satu JUSA C menerima gaji permulaan RM6,595 di bawah SSM dan akan dibayar RM12,000 jika menerima SBPA, Kategori Dua (SSM RM7,236; SBPA RM12,645), Kategori Tiga (SSM RM7,939; SBPA RM13,345), Kategori Empat (SSM RM8,710; SBPA RM14,115) dan Kategori Lima (SSM RM9,480; SBPA RM14,885). Sebenarnya untuk peringkat Kumpulan Premier dan Pengurusan tertinggi mereka menerima sehingga 45% kenaikan.

5. Tempoh untuk penjawat awam membuat keputusan dangat singkat iaitu hanya setengah bulan. Dalam keadaan sibuk terutamanya cuti sekolah, apatah lagi bagi guru yang terpaksa membuat persediaan menjelang buka sekolah tentunya tidak sempat untuk meneliti dan memahami skim ini untuk mereka menyesuaikan dengan keperluan perjawatan dan gaya hidup mereka. Ini juga satu bentuk manipulasi dan eksploitasi yang jelas menganiaya penjawat awam.

Kesimpulannya, SBPA bukan merupakan satu penyelarasan gaji tetapi satu skim baru yang tidak memihak kepada kelangsungan karier penjawat awam. Ia hanya memberikan gambaran bahawa 'kenaikan gaji' pasti membuatkan penjawat awam kelabu mata tanpa memikirkan kebajikan mereka pada masa depan.

Rayuan penjawat awam ialah : berilah mereka peluang mendapatkan gaji yang lebih baik tanpa unsur 'tarik tali' yang membuatkan mereka rasa teraniaya. Dengan insentif yang baik saja pun sudah tentu motivasi kerja akan bertambah baik. Tidak perlu menyertakan syarat-syarat yang jelas terdedah kepada unsur manipulasi dan ketidakadilan.

Saturday, 5 November 2011

Isu PPSMI : Dari Kacamata Pencinta Bahasa

Bahasa Malaysia/Melayu telah menjadi satu 'bahasa ibunda' bagi kebanyakan rakyat Malaysia termasuk di Sabah. Walaupun dialeknya berbeza-beza tetapi umum mengakui bahawa bahasa pertuturan tersebut masih dalam kelompok rumpun Melayu. Maka, secara kesimpulan mudahnya, komunikasi atau perkongsian maklumat juga akan lebih mudah melalui medium bahasa ini.

Menyentuh isu PPSMI yang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat mahupun cendekiawan negara, saya melihat tindakan pemansuhan PPSMI ini suatu tindakan yang bijak dan kena pada tempatnya. Pada hemat saya, pemansuhan ini bukan bermakna kita menolak Bahasa Inggeris atau Bahasa Inggeris itu tidak bagus.Jika kita melihat asas kepada pelaksanaan PPSMI ini ialah berkisar kepada kebanjiran buku dan medium maklumat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan juga penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas dalam kebanyakan bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Jelas masih terdapat justifikasi dan kebaikan PPSMI ini.

Namun demikian, kebaikan PPSMI ini jika dilihat dari perspektif kenegaraan dan patriotisme, ia sebenarnya mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Saya melihat isu ini bukan berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi lebih kepada soal 'kebiasaan dan keselesaan' berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Berikut merupakan beberapa sumbangsaran yang boleh kita fikirkan bersama :

1. Sejak lebih kurang 50 tahun, masyarakat kita telah biasa melalui satu zaman yang mana penggunaan Bahasa Malaysia menjadi bahasa penting selepas bahasa ibunda seperti etnik Dusun, Kadazan,India China dan sebagainya. Kebiasaanya ini menjadi asas penting kepada mana-mana individu yang inginkan maklumat mudah faham tanpa perlu bersusah payah menterjemah ilmu daripada bahasa lain. Jadi sebenarnya, apa yang lebih penting ialah proses penterjemahan dalam negara kita yang perlu dimantapkan. Setiap kali ada buku-buku ilmiah yang diterbitkan dalam mana-mana bahasa dunia, seharusnya pihak yang berwajib dalam negara kita menguruskan proses penterjemahan agar kita tidak ketinggalan maklumat.

2. Ketiadaan mekanisme yang mantap dalam pelaksanaan PPSMI terutamanya di peringkat sekolah. Jika kita lihat, guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris pun kebanyakannya agak lemah berbahasa Inggeris apatah lagi guru-guru yang mengajar PPSMI ini. Senario ini jelas membuktikan bahawa, pelaksanaan PPSMI ini sebagai satu tindakan yang tidak terancang dan berunsurkan 'kepentingan ekonomi' pihak-pihak tertentu sahaja terutamanya berkaitan percetakan buku. Jika guru tidak boleh mengajar dengan baik dalam bahasa Inggeris, mana mungkin murid-murid akan lebih baik pencapaiannya. 

3. Masyarakat luar bandar lebih memahami bahasa Malaysia berbanding bahasa Inggeris. Jika kita meneroka di sekolah-sekolah luar bandar, kita akan melihat satu senario pengajaran subjek PPSMI ini seolah-olah dua subjek dalam satu masa iaitu Matematik dan Bahasa Inggeris dan Sains dan Bahasa Inggeris. Ini sangat menyusahkan bagi murid-murid luar bandar yang rata-rata mempunyai latar belakang keluarga yang mundur dan amat 'jauh' daripada Bahasa Inggeris. Adakala bahasa Malaysia pun masih ada yang kurang fasih.

4. Bahasa bukan gambaran jelas tentang kemajuan sesebuah tamadun. Kita lihat sahaja tamadun China,Jepun, Jerman, Arab, Perancis dan Russia. Mereka maju berasaskan kepada acuan mereka sendiri. Tidak ada satu bukti pun yang dapat mengaitkan kemajuan negara-negara ini dengan penggunaan bahasa Inggeris. Malah mereka sangat bangga dengan bahasa tempatan dan mereka tetap maju dan pesat membangun.

5. Jika kita ingin memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris, mengapa perlu menjadikan Matematik dan Sains sebagai mangsa. Lebih baik mantapkan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Malah tidak salah jika menjadikan subjek bahasa Inggeris itu subjek wajib lulus di sekolah dengan syarat guru-guru bahasa Inggeris adalah cukup terlatih dan melepasi tahap kelayakan yang sepatutnya. 

Ada orang mengatakan bahawa kedua-dua subjek Matematik dan Sains banyak menggunakan istilah Bahasa Inggeris. Walhal, apa masalahnya jika kita cipta satu istilah yang mantap juga dalam bahasa Malaysia yang sudah lama menjadi 'mainan' bibir dan lidah masyarakat kita. Jika kita berjaya maju menggunakan bahasa kita, maka seluruh dunia pasti akan belajar bahasa kita untuk mendapatkan ilmu dari kita.

Hari ini dunia seakan lupa bahawa ada Bahasa Malaysia/Melayu di dunia. Ini bukan kerana bahasa ini bukan bahasa ilmu/komersil tetapi kerana kita tidak berjaya menghasilkan ilmuan yang mempunyai produk dan kekuatan ilmiahnya sehingga menjadi rujukan pakar-pakar dunia dan pastinya dalam bahasa Malaysia/Melayu. Kita lihat, Tun Dr Mahathir lebih enak menulis buku A Doctor in a House dalam bahasa Inggeris kemudian barulah diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Inikan sudah terbalik. Sepatutnya kita tulis buku dalam bahasa Malaysia kemudian barulah bahasa terjemah ke bahasa lain.

Kesimpulannya, PPSMI bukan satu isu. Ia hanya mainan politik sahaja. Apa yang lebih penting sebenarnya adalah sikap kita. Biarlah apa yang kita lakukan itu sentiasa seimbang dan kena dengan apa yang kita katakan. Jangan cakap tapi tidak serupa bikin. Dalam sesetengah perkara kita akan setuju jika menyebelahi kita tetapi dalam banyak perkara kita akan tolak kerana menyalahi kita. Sikap inilah yang harus diubah bukan soal bahasa.

UBF : Bermula Sebuah Perjuangan

Bermula pada tulisan ini, saya secara rasminya telah menetapkan satu pendirian bahawa satu perjuangan untuk mengembalikan hak-hak negeri dan rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan persetujuan asal pembentukan Malaysia seperti yang tertera pada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC-1962) serta yang termaktub dalam satu perjanjian yang ditandatangani di London yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963 harus diteliti dan diperjuangkan.

Jika melihat tulisan-tulisan saya yang lalu, sebenarnya saya agak adil untuk memberikan pendapat dan banyak daripadanya adalah pro-kerajaan. Namun selepas saya melalui satu proses untuk membuat proposal master saya berkaitan sejarah Sabah, seikhlasnya saya mendapati bahawa banyak fakta telah diselewengkan demi kepentingan pihak tertentu sehingga mengabaikan pengorbanan pemimpin terdahulu di Sabah dan Sarawak. Maka sejak itu, sejak itu saya mengambil pendirian bahawa dengan sedikit pengetahuan yang saya ada, saya akan pastikan generasi saya tidak lagi tertipu dengan sejarah yang diputarbelitkan. Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa buku teks sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah kurang tepat.

Justeru, selepas bertemu dengan sekumpulan NGO (Borneo Heritage Foundation) melalui sayapnya United Borneo Front yang diasaskan oleh Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, pandangan 'Malaysia' saya mula berubah dan saya yakin benar bahawa inilah fakta yang amat tepat. Apatah lagi semua tuntutan UBF ini diambil dan diadaptasikan daripada dua dokumen asal yang terkandung dalam IGC seperti Memorandum 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak serta Perjanjian Malaysia 1963. Tuntutan UBF bukan satu tuntutan 'anak-anak kecil' yang diambil faktanya di tepi jalan tetapi merupakan satu perjuangan hak yang sangat murni berlandaskan satu fakta dan dokumen yang tulin dan sah.

Berikut merupakan  7 tuntutan UBF yang dikenali sebagai Agenda Borneo :
1. Menuntut supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan mekanisma mematuhi Perjanjian Malaysia yang dibentuk melalui Kementerian atau Perbadanan untuk mencapai matlamat dan tuntutan utama seperti yang terkandung dalam Perkara VII Perjanjian Malaysia 1963, serta memulihkan status rakan kongsi negeri Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya di dalam Persekutuan termasuk hak-hak istimewa dan peranan Sabah dan Sarawak dalam kuasa kewarganegaraan, kuasa pendaftaran dan kuasa imigrasi.

2.Menuntut supaya formula pengagihan hasil yang seimbang dan adil termasuk mengkaji semula peratus hasil daripada minyak mentah dan juga penempatan perwakilan yang lebih adil dalam Parlimen/KabinetPersekutuan/Perundangan dan perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

3. Menuntut supaya Dasar Kabotaj (Cabotage Policy)/Pengangkutan/Perdagangan yang mempunyai impak negatif ke atas negeri-negeri Borneo dimansuhkan.

4. Menuntut supaya dihormati pelaksanaan hak-hak penduduk asli (Native Rights) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

5. Menuntut supaya fokus pembangunan ekonomi dialihkan supaya lebih menjurus kepada Sabah dan Sarawak termasuk mengurangkan jurang ekonomi dan digital di antara Malaya dan negeri-negeri Borneo (Sabah & Sarawak).

6. Mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PTI)/"Projek IC", permasalahannya dan menggugat integriti persempadanan negeri Sabah dan Sarawak termasuk mengenakan seberat-berat hukum ke atas mereka yang mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

7. Mengkaji kehadiran agensi-agensi daripada (Pusat) di Sabah/Sarawak yang telah menguasai hasil keluaran bidang tertentu serta hak milik rakyat tempatan.

Jika kita meneliti semua tuntutan ini, jelas bahawa Agenda Borneo ini adalah perjuangan bersama bagi seluruh rakyat Sabah/Sarawak. Kita bukan meminta yang aneh-aneh tetapi  sebuah tuntutan yang pastinya mempunyai kepentingan awam terutamanya generasi di Borneo pada masa depan. Tidak timbul langsung soal pemisahan negara mahupun tuntutan keagamaan yang melampau. Marilah kita jernihkan hati, bukakan minda, renungkanlah : Kalau bukan kita,siapa lagi? Kalau bukan sekarang,bila lagi? dan Kalau berani,jangan takut-takut; Kalau takut, jangan berani-berani.
"UNITY IS DUTY"

Hasmin Azroy Abdullah,
05 November 2011,
Tenom.

Tuesday, 1 November 2011

Apabila Orang Politik Lebih Hebat Dari Yang Pakar

Alahai, apa sudah jadi dengan negaraku tercinta. Segalanya bagaikan serba tidak kena. Inilah padahnya apabila semua perkara dipolitikkan. Orang politik sudah tidak faham atau buat-buat tidak faham peranannya sebagai orang politik. Semua perkara mereka hendak campurtangan walaupun campurtangan itu nantinya hanya akan menimbulkan polemik. Akhirnya yang akan terjejas ialah keupayaan sebenar negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 disifatkan oleh Dr. Puad Zarkashi sebagai tidak komprehensif dan tidak terperinci terutamanya yang melibatkan soal perbelanjaan. Sebenarnya perincian yang bagaimana? Perincian untuk menjustifikasikan salah urus tadbir kewangan?

Alangkah baiknya jika kita belajar menerima kenyataan dan bukan berselindung di sebalik pelbagai macam istilah ekonomi seperti peruntukan tambahan dan sebagainya. Dr Puad menyentuh tentang tambahan perbelanjaan yang konon salah satunya melibatkan perbelanjaan elaun perjalanan guru-guru. Saya hendak bertanya kepada guru-guru, atau pun para pentadbir di Jabatan Pelajaran, selepas ditambah perbelanjaan, adakah elaun perjalanan anda benar-benar mencukupi?

Apa yang membuat saya rasa Dr Puad ini seperti mengajar itik berenang ialah apabila mempersoalkan laporan berkaitan makmal komputer sekolah rendah yang sepatutnya dibina berjumlah 300 buah tetapi hanya 2 buah makmal yang berjaya disiapkan di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Namanya pun AUDIT, jadi mereka hanya memberikan laporan telus berkaitan angka dan statistik. Alasan terhadap segala kepincangan yang terpaksa dijelaskan oleh laporan itu, bukan menjadi satu keperluan kepada Ketua Audit Negara untuk membuat pembelaan dan justifikasi. 

Lagi pula, jika melihat perbezaan angka 300 dan 2, budak sekolah rendah pun tahu menilai betapa besarnya masalah yang berlaku berbanding hanya melepaskan kesalahan kepada masalah kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya, jika benar masalah kontraktor, siapa yang melantik kontraktor tersebut? Takkan orang utan di Sepilok yang melantik kontraktor-kontraktor bermasalah ini? Tempoh setiap RMK ini 5 tahun bukannya 5 hari. Baru hari ini sedar masalah ka? Atau pun duit sudah lesap oleh tangan ghaib?

Pada hemat saya, setiap individu yang berani mengatakan dirinya pemimpin harus berani juga menerima kenyataan walaupun pahit. Ikhlaslah menjadi seorang pemimpin dengan mendidik anak bangsa terutama generasi baru tentang bagaimana harus berfikir dan menajamkan puncak pemikiran yang lebih telus, adil dan jujur. Maka dengan itu, kita akan lebih dihormati generasi baru dan impaknya, negara akan lebih maju kehadapan secara total dan bukan sekadar permainan angka untuk mendabik dada bahawa negara benar-benar maju.


Monday, 31 October 2011

Manusia Genap 7 Billion Orang

Tidak sangka, manusia di muka bumi sekarang ini sudah pun berjumlah 7 billioon orang. Satu angka yang besar. ini tidak termasuk, kelahiran yang tidak didaftarkan lagi. Nampaknya bumi akan semakin sesak.


Semoga kelahiran bayi yang diberi nama Danica May Camacho, seberat 2.5 kilogram di Jose Fabella Memorial Hospital akan menjadi satu simbolik kepada kecintaan manusia terhadap kedamaian, keadilan, keharmonian dan persahabatan.

Bayi ini adalah bayi kedua pasangan Camille Dalura dan suaminya Florante Camacho dari Filipina. Mereka turut diraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan pemberian cek dan derma orang ramai berbentuk geran biasiswa dan pakej ekonomi bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit. Hebat! Rezeki anak.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bagi keenam bilion di dunia pada 1999. Wah! Selama 12 tahun, manusia bertambah 1 billion lagi. Namun, selepas ini jangka masa untuk mendapatkan jumlah 1 billion lagi pasti akan semakin pendek. Tahniah manusia...


Friday, 9 September 2011

Cukai Naik Lagi, BN Sudah Bosan di Putrajaya?

(RM0. Pelanggan yang dihargai, mulai 15/9/11, pembelian tambah nilai prabayar & pek p'mulaan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebyk 6%. Sila layari hotlink.com.my)

 Begitulah bunyi sms yang saya terima pukul 10.39, 9 Sept 2011 dari penyedia perkhidmatan jaringan telefon yang saya gunakan. Selepas lama dibincangkan akhirnya suara 'orang bawah' semakin kecil dan tidak lagi didengari. Alasan kerajaan dengan istilah "LEBIH KOMPETETIF" hanya merupakan satu istilah basi dan sekadar helah bela diri yang kurang bijak.Janganlah terlalu menjadikan semua yang bersifat kompetetif itu hasil daripada nilai material yang cukup mahal harganya.Lihat sahaja fasiliti sukan di negara kita, antara yang termahal, terbaik dan terhebat. Tetapi cukup hebatkah SUKAN di negara kita?


Beberapa waktu dulu, beberapa kerat pemimpin agak lantang membahaskan soal ASTRO yang menaikkan caj sesuka hati. Tetapi selepas ASTRO benar-benar melaksanakannya, isu itu jadi senyap sunyi. Apakah kerajaan sebegini hendak mendahulukan rakyat atau mendahulukan syarikat-syarikat gergasi yang mungkin mereka ada syer di dalamnya? Lupakah kita Pengerusi Maxis Communications Berhad merupakan orang ke 64 terkaya dunia dengan aset harta bernilai 9.6 billion USD. Dengan kekayaan sebegini, apakah lagi yang kita canangkan sebagai 'tidak kompetetif' untuk sebuah syarikat telekomunikasi sehebat ini? Cukuplah. Rakyat tidak boleh lagi diperbodohkan semudah itu...


Hakikatnya, kenaikan cukai sebanyak 6% untuk caj perkhidmatan prabayar hanyalah semata-mata bersifat skeptikal dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Malah sikap kerajaan yang semakin selesa dengan cara "buat dulu, penjelasan kemudian" sudah menjadi kudis yang penuh nanah dan busuk berulat. Ini kerana orang-orang di sekeliling kerajaan sekarang ini semuanya mata duitan.Sayang sekali, DS Najib masih lagi mampu tersenyum. Mungkinkah beliau tidak sedar bahaya beliau sedang dibogelkan dari 'rumahnya' sendiri?


Zaman sekarang bukan lagi zaman untuk mengajar rakyat bagaimana untuk berfikir. Malah pemikiran rakyat kebanyakannya mendahului kebanyakan pemimpin. Mungkin rakyat biasa dan marhaen tidak ambil kisah soal Altantuya, Scorpene,Sodomi atau pun Mat Sabu. Namun begitu, soal-soal sebegini yang dianggap remeh oleh ahli politik mata duitan yang sudah lama kaya-raya, tidak dinafikan juga mempunyai saham-saham dan 'persen' tertentu dalam syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan prabayar ini, pastinya mengundang seribu satu kesalan dan kebencian serius kepada kerajaan.


Jika kerajaan pimpinan DS Najib atau DS Najib sendiri tidak memahami dan buat-buat tidak peduli soal-soal sebegini, hanya satu soalan saya : Kerajaan UMNO-BN sudah bosankah berada di Putrajaya? Buanglah segera 'penasihat-penasihat' yang menambah nanah dalam kudis dalam kerajaan sekarang ini. Sesuatu perlu dilakukan. Jika tindakan tidak dilakukan secara menyeluruh, jangan kecewa jika rakyat yang bakal bertindak pada PRU13 akan datang.


Ini baru cerita soal cukai caj perkhidmatan prabayar. Cukai lain belum cerita lagi... Sedarlah wahai kerajaan... Bagi kami rakyat biasa, SMS tu naik 0.01 sen pun sudah cukup membebankan...Kami tidak minta emas sekati cukuplah sehati emas untuk mendengar rintihan kami.

Tuesday, 6 September 2011

Noramfaizul Mohd Nor : Mati Yang Kekal Hidup

Kematian Noramfaizul Mohd Nor yang diberitakan di media perdana sebagai akibat terkena peluru sesat sangat menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia. Walaupun beberapa penulis blog seperti Papagomo yang sempat bersama-sama dalam Misi Kemanusiaan Somalian anjuran Kelab Putera 1Malaysia tersebut mengatakan sebaliknya, iaitu kematian beliau disebabkan oleh angkara jahat African Union yang bertugas di bawah panji UN.

Jika benar kematian ini disebabkan oleh angkara AU, maka kerajaan harus melakukan tindakan sewajarnya. Pihak yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan. Mengapakah laluan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab di bawah jagaan keselamatan oleh AU, boleh menjadi laluan berdarah bagi rombongan Misi Kemanusiaan dari Malaysia? Apakah ada cerita di sebalik cerita? 

Atau benarkah kerana nama Malaysia yang terkenal dengan keamanan dan dasar berkecuali soal-soal peperangan, malah lantang pula menolak sebarang bentuk keganasan merupakan tarikan bagi negara atau organisasi tertentu menjadikan peristiwa yang berkaitan dengan Malaysia sebagai satu cerita berimpak tinggi untuk memenuhi tujuan-tujuan tersembunyi? Malaysia menjadi kambing hitam? Dan korbannya adalah Noramfaizul? UN dan Kerajaan Somalia harus mengambilkira semua faktor ini.

Jangan juga nafikan sama sekali faktor agama. Jangan kita lupa, rombongan kita yang majoritinya beragama Islam datang ke Somalia juga membantu mereka yang majoritinya Islam. Bukankah peristiwa ini boleh dikatakan sebagai satu usaha menakut-nakutkan dunia Islam agar tidak saling bantu-membantu? Mungkinkah tangan halus di belakangnya adalah Israel laknatullah...?

 Atau sebagai satu usaha balas dendam ekoran kecekapan tentera laut Malaysia dalam isu lanun di Teluk Eden tidak lama dahulu? Persoalan utama sekali lagi ialah, jika semua pertanyaan di atas merujuk kepada satu kesimpulan yang sama, maka siapakah dalangnya dan apakah tujuannya???

Apa pun persoalan di sebalik kematian Noramfaizul Mohd Nor, harus kita akui bahawa semangat,dedikasi dan keberaniannya bukan sesuatu yang ada pada semua manusia biasa. Sangat sedih dan malang sekali ada juga segelintir manusia di bumi bertuah Malaysia ini yang memperlekehkan niat murni dan perjuangan arwah ini yang semata-mata ingin membantu sesama insan atas nama kemanusiaan. Adakah mereka yang cuba menafikan niat suci murni dan ikhlas seorang manusia yang jelas terkorban kerana kesanggupannya meninggalkan keluarga dan sanak saudara hanya demi manusia lain yang tiada kaitan darah langsung dengannya ini patut kita anggap sebagai manusia lagi? Mereka ini adalah binatang sebenar yang menyalak cuma demi nafsu politik yang menggila.

Percayalah bahawa setiap yang berlaku itu adalah ketentuan-Nya dan pasti ada hikmahnya. Janganlah hanya kerana ketaksuban berpolitik hingga hilang nilai-nilai kemanusiaan dan keinsanan. Arwah telah selesai tugasnya sebagai khalifah di bumi Allah ini. Hari-hari terakhirnya juga adalah sesuatu yang belum tentu kita juga sanggup melakukan dan melaluinya. Kita bagaimana? 

Hari ini seorang Noramfaizul mati, tetapi esok pasti akan hidup seribu Noramfaizul lagi kerana kematiannya menghidupkan banyak jiwa, banyak hati dan yang paling utama, menghidupkan erti kemanusiaan....
 Al-fatihah...Doaku semoga kau termasuk para mujahidin...Syahid di jalan yang diredhai Allah...