Pages

Friday, 29 April 2011

Sumpah Itu Penantian Laknat atau Kebenaran?

 
Hari ini heboh satu Malaysia. Kumpulan yang menjadi dalang pendedahan Video Seks yang melibatkan Ketua Pembangkang Malaysia berada di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul untuk melakukan sumpah laknat. Namun hanya Datuk Eskay Abdullah yang melafazkan sumpah tersebut dan diapit Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim.
Beberapa perkara bermain di fikiran saya :-
1. Ramai penyokong puak pakatan kata ini sumpah UMNO. Ini bukan sumpah Islam.Habis tu sumpah Islam macam mana? Sebut perkataan apa, sebut kalimah apa? Mari kita renungkan, semasa saya kecil-kecil dulu,kalau bercerita dengan rakan-rakan, apabila ada sesuatu yang mencurigakan, mudah saja antara kami berkata,"Sumpah Demi Allah..." Jika terbukti antara kami bercakap bohong pasti tidak berani sumpah,tetapi jika betul, maka mudahnya sumpah itu dilafazkan. Itu cerita zaman kanak-kanak yang pada pandangan kebanyakan orang bahawa kanak-kanak selalunya jujur.
Tetapi sekarang ini, jika melihat senario semasa, ada orang nak bersumpah pun takut tetapi berani kata orang lain jahat,kejam malah pembunuh.Walhal sumpah itu mudah sahaja. Lebih menyedihkan,ada pula yang kata sumpah mesti depan Hakim Mahkamah Syariah dan macam-macam syarat lagi supaya sumpah itu sah.Persoalannya, sumpah itu untuk apa dan atas niat apa? Pada saya sumpah itu kerana Allah dan dengan niat agar Allah menghindarkan daripada fitnah atas kebenaran yang cuba disampaikan.Sumpah itu bukan kerana manusia ingin mendengar sumpah itu tetapi kerana menjadikan Allah sebagai saksi terakhir sekiranya tiada manuisa yang ingin mempercayai.Jadi wajarlah ia dilakukan di mana-mana asalkan tempat itu suci dan masjid adalah sebaik-baik tempat.
Soal syarat-syarat itu, ia hanya sekadar formaliti. Jika perlu dilakukan sekali lagi di mahkamah Syariah,lakukanlah. Jika diminta lagi di mana-mana lafazkanlah. Sumpah ini kerana Allah bukan kerana manusia.Jadi mengapa hanya tunggu atau perlu bersumpah di mahkamah sahaja? Setiap orang Islam berhak melafazkan sumpah di mana-mana kerana kalimah itu milik semua hambanya...

2.Kebenaran selepas bersumpah. Apakah indikator kebenaran bagi kita ialah laknat yang akan diterima oleh pihak yang bersumpah atau apakah jenis kebenaran yang kita inginkan di sebalik sumpah tersebut?Jika kita melihat senario lalu, sumpah yang pernah dilafazkan oleh seseorang individu, sebenarnya kebenaran semakin terserlah. Buktinya, satu persatu norma nilai individu yang dikaitkan dengan mesej dalam sumpah tersebut terbongkar dan menjadi bahan bualan. Namun bagi puak pembangkang ini juga bukan kebenaran. Namun sebagai umat Islam, percayalah,kebenaran sebenar hanya pada kuasa Allah semata-mata.Lagipun selalunya kebenaran itu pahit dan jarang menyebelahi kita. Tetapi bagi orang beriman, kebenaran itu ada di mana-mana bukan hanya kerana adanya sumpah.Allah lebih mengetahuinya.

3. Sumpah itu bukan cara terakhir untuk menyatakan kebenaran. Sumpah itu juga bukan bermaksud, apa yang disumpahkan itu benar. Manusia itu walau bagaimanapun sentiasa bersifat tidak sempurna. Manusia itu tidak akan pernah sunyi dari melakukan khilaf. Jika sumpah itu adalah bukti kepada kebenaran maka hari ini kita tidak perlukan mahkamah yang begitu canggih disertakan dengan macam-macam perundangan yang rumit dan kompleks. Namun demikian, sumpah ini juga punya nilai dan martabat tersendiri apatah lagi kepada umat Islam. Seseorang yang bersumpah,sebenarnya hanya ingin menekankan bahawa dia tidak berbohong. Ketika seseorang tertekan untuk menyatakan sesuatu yang tidak dipercayai sebahagian manusia, maka kita bersumpah untuk menyatakan kepada manusia bahawa sesungguhnya Tuhan mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Jadi jelas Datuk Trio hanya sekadar cuba untuk menyatakan bahawa mereka tidak berbohong. Jadi tidak perlu marahkan atau cemuhkan mereka. Sumpah mereka tidak membuktikan apa-apa. Biarkan pihak berwajib yang membuktikan apa sahaja dakwaan mereka. Tidak perlu kita gaduh dan bertelagah...

Wednesday, 27 April 2011

Pemikiran Komunis Masih Wujud Dalam Kalangan Kaum Cina?

Semalam saya berbual sambil pekena Air Tiga Rasa di sebuah restoran bersama beberapa orang teman yang berlainan latar belakang kecenderungan politik mereka. Salah satunya adalah seorang lelaki Cina yang baru saya kenali berasal dari Perak dan sedang menuntut di salah satu IPT di Sabah. 

Awal pembicaraan kami hanyalah isu-isu politik yang ringan dan yang telah pun hampir basi walau pun ia sentiasa disegarkan semula. Kadang-kadang bosan juga cerita seks saja. Saya banyak bercerita tentang perjuangan rakyat Sabah seperti isu PATI, isu Royalti Minyak dan pembikinan Saluran Paip dan Gas oleh Petronas.Malah sempat juga memberikan persoalan, kenapa Sabah yang merupakan antara pengeluar terbesar Minyak di Malaysia tetapi ekonominya langsung tidak ada yang berkaitan dengan minyak seperti petroleum refinery, LNG plants dan sebagainya. Malah lebih menyedihkan tiada seorang pun Pegawai Petronas adalah orang Sabah.Begitu juga isu yang tekal dan selalu saya bangkitkan di mana-mana iaitu isu Memorandum 20 Perkara.

Akhirnya saya katakan bahawa, kami di Sabah ini memperjuangkan perkara asas dan hak sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang diiktiraf melalui IGC. Perjuangan kami bukan soal isu tetapi soal fakta. Tetapi kami berjuang mengikut landasan yang betul dan secara evolusinya. Kami bukan membenci Tanah Melayu malah berterima kasih juga kerana bersama-sama berinisiatif membentuk Malaysia. Kami menghormati kedaulatan, persefahaman dan kemerdekaan Malaysia. Kami tidak seperti DAP yang suka bermain isu perkauman, sehingga melabelkan kerajaan yang majoritinya Melayu Islam sebagai berfahaman Hitler. Malah kami juga tidak memainkan isu, Malaysia ini siapa punya. Malah kami yakin bahawa Tanah Melayu itu asalnya memang Melayu yang menjadi penguasanya walaupun penduduk asal adalah orang Asli.Hanya India dan Cina yang imigran melalui penjajahan British untuk memenuhi keperluan ladang dan perlombongan. Sedangkan Melayu datang sendiri ke Tanah Melayu tanpa dibawa oleh sesiapa dan seterusnya membentuk kerajaan awal. Ini juga fakta dan kami tidak pernah persoalkan ini seperti DAP yang sengaja menimbulkan provokasi songsang.

Tetapi itulah kata pepatah, cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Lelaki Cina tadi rupanya peyokong tegar pembangkang. Katanya, jika saya mengundi, jika ada calon MCA dan PAS maka saya akan undi PAS walaupun Calon MCA itu orang Cina. Tetapi sekarang ada DAP maka saya lebih selesa bersama DAP,katanya. Saya tersenyum pahit mengingatkan betapa bersemangatnya saya bercerita soal Sabah tadi.Saya buat begitu kerana inginkan keseimbangan supaya tempat saya lebih cepat membangun.  Kalau nanti kerajaan kalah pun,kita cuba pembangkang.Kalau tidak bagus juga, kita tukar lagi katanya.Saya terus mendengar tanpa memberikan komen.

Apabila berkesempatan, saya katakan padanya bahawa negara ini bukan tempat untuk kita memperjudikan masa depan generasi kita dengan cara 'TRY and ERROR'. Itu bukan cara yang betul. Kalau pun perlu kita tukarkan kepimpinan bukan dengan cara merosakkan apa yang sudah sedia ada dan baik dalam negara kita. Saya berikan contoh, pembangkang pada ketika ini cuba merosakkan imej kepolisian, SPRM, SPR malah mahkamah untuk menjustifikasikan ideologi politik mereka.Suatu hari nanti jika mereka berjaya menjadi pemerintah, ini bukan satu perkara mudah untuk membetulkan semula kepercayaan masyarakat.Maka jika ingin berpolitik, maka tonjolkanlah kebaikan sebenar bukan denga isu-isu yang hanya akan merugikan perpaduan dan kelangsungan Malaysia pada masa depan. Lihat contoh Iraq, katanya Saddam Hussien diktator dan mereka mahukan demokrasi. Namun hari ini seluruh dunia tahu bahawa Iraq semakin hancur bahkan idea demokrasi yang dicanangkan juga berantakan.Apakah sebabnya? Kerana pembangkang di sana meracuni pemikiran rakyat dengan merosakkan semua sistem pemerintahan yang ada sehingga sukar pula untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat. Dan yang paling untung ialah penjajah asing dan kafir di bumi Iraq.

Kemuncak perbualan kami apabila lelaki Cina ini mempersoalkan kepada saya tentang Komunis. Katanya adakah Chin Peng benar-benar jahat. Sedangkan Parti Komunis Malaya (PKM) ialah faktor utama yang mendorong orang Melayu bangkit untuk menuntut kemerdekaan. Kalau ikut hati, panas membara. Saya tahu benar tentang kebanggaan seorang askar. Patriotisme saya sangat tercabar. Namun saya biarkan dia meneruskan bicara. Katanya Komunis satu ideologi yang baik hasil cetusan Karl Marx. Malah bukan Cina sahaja yang menyetujuinya. Buktinya Rashid Maidin, Abdullah CD juga bersama dalam kepimpinan PKM.Malah katanya, Komunis tidak pernah mengatakan bahawa mereka anti agama. Ini hanya tohmahan dan tuduhan kerajaan pada ketika itu sebab itu Rashid Maidin dan rakan Melayu yang lain masih tetap dengan PKM.

Saya teruskan hujah saya dengan mengatakan bahawa ideologi Komunis yang dicetuskan oleh Karl Marx adalah ideologi ekonomi semata-mata untuk mengekang pengaruh kapitalisme. Karl Marx seorang Yahudi malah beliau tidak berperanan menyebarkan ideologinya ke merata dunia. Tetapi sejak Russia menerima ideologi ini maka tersebarlah ideologi ini. Apabila Perang Russia Afghanistan, dalam Komunis sudah ada percampuran agama Yahudi dan Kristian. Begitu juga di Komunis di China. Sejak itulah ideologi ini berubah kepada : jika terdapat pilihan antara agama dan ideologi komunis, maka agama harus diketepikan demi mencapai matlamat, Karl Marx sendiri bersetuju dengan pandangan ateisme.

Saya katakan lagi, dengan ini jelas bahawa PKM di Tanah Melayu ketika itu adalah  Komunis selepas Karl Marx iaitu melalui Russia dan China. Apa yang pasti ideologi ini bukan lagi ideologi ekonomi tetapi lebih kepada ideologi politik semata-mata.Apatah lagi komunis di Tanah Melayu mendapat pengaruh langsung dari negara komunis China. PKM berjuang untuk menubuhkan republik Komunis. Mereka tidak berjuang untuk negara malah di sebalik perjuangan mereka itu, ramai rakyat tidak berdosa menjadi korban hanya kerana tidak mempercayai ideologi komunis.Ketika era peralihan penjajahan Jepun British, Komunis atau Bintang Tiga menggunakan kekerasan dan kekejaman untuk memaksa rakyat menerima perjuangan mereka. Maka kesimpulannya saya kata Chin Peng atau Ong Boon Hwa adalah jahat dan kejam.Selepas itu kami bersurai.

Memang benar, British pernah merestui PKM melalui MPAJA dengan melatih gerila Komunis tetapi tindakan MPAJA bukan sahaja ganas terhadap pihak Jepun malah telah menimbulkan kebencian dalam kalangan Melayu kerana kekejaman mereka di kampung-kampung. Selepas British kembali dengan pemerintahan tentera (BMA) maka komunis meneruskan agenda mereka untuk berkuasa dan menentang British sedangkan pada masa itu, pemimpin Melayu sudah mula menggerakkan usaha kemerdekaan.

Jadi orang Melayu dalam PKM bukan semata-mata menyokong ideologi komunis tetapi mereka percaya bahawa jika PKM memerintah maka mereka akan jadi pemimpin. Oleh itu mereka teruskan perjuangan bukan kerana percaya bahawa ideologi komunis ini benar.Malah Rashid Maidin dan Abdullah CD pernah berusaha 'lari' dari PKM dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945) yang lebih pro kemerdekaan Indonesia. Namun parti ini juga tidak mendapat sokongan Melayu.

Tidak ada asas yang mengatakan bahawa PKM adalah pendorong kemerdekaan. Alasannya :
1. Pada tahun 1955 iaitu 2 tahun sebelum Tanah Melayu merdeka (Parti Perikatan telah menang Pilihanraya) PKM telah pun lemah dan tidak mendapat sokongan rakyat kerana rakyat memilih untuk merdeka melalui perundingan dan bukannya kekerasan. Bukti kelemahan PKM ialah melalui Rundingan Baling yang diminta oleh PKM. Rundingan ini gagal kerana permintaan melampau PKM dan mereka kembali ke hutan menjadi gerila dan membunuh rakyat dengan kejam.
2.Rundingan Baling diminta oleh PKM kerana menyedari bahawa pengaruh Komunis telah melemah di seluruh dunia. Russia dan China mula membuka ruang kepada ekonomi terbuka. Tembok Berlin juga diruntuhkan dan Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu semula.
3. Pemimpin Melayu PKM juga mula berasakan bahawa perjuangan bersenjata tidak lagi relevan kerana rakyat telah memilih untuk merdeka melalui cara yang betul.Namun kerana tidak mendapat tempat dalam arus perdana kepimpinan maka mereka memilih untuk terus bersama PKM sehinggalah diharamkan.

Kesimpulannya PKM wujud hanyalah untuk menangguk di air keruh. Ketika negara berada dalam keadaan genting maka PKM menyusup untuk memaksa rakyat menerima mereka menjadi pemimpin. Sekalipun dengan cara kekejaman dan kekerasan.Seharusnya Chin Peng tidak sekali-kali dibenarkan kembali ke Malaysia.Peristiwa Bukit Kepong adalah kemuncak kekejaman Komunis yang tidak mungkin dapat dipadamkan dalam lupatan sejarah tanah air.Jangan orang Cina lupa, mendiang Koh Ah Cheng juga mati di tangan Komunis semasa peristiwa ini selaku Polis Bantuan.

Maka situasi Malaysia hari ini juga seoalah-olah sama. Ketika kepimpinan Melayu berpecah maka, anasir lain yang menaja politik perkauman sempit hadir menangguk di air keruh. Adakah kita bersedia untuk menerima ideologi Komunis kembali menguasai tanah air kita? Jangan kita jadi bodoh untuk jatuh di lubang yang sama dua kali.Mereka ini berjuang hanya untuk berkuasa, bukan kerana rakyat. Merekalah yang selalu menimbulkan isu untuk membibitkan keraguan rakyat. Mereka cuma mahukan rakyat memberontak agar mereka dapat apa yang mereka mahukan.

Saya pulang ke rumah dengan satu pandangan baru terhadap pemikiran Cina kini yang masih memikirkan bahawa Chin Peng sebenarnya baik. Harapnya ini bukan suara hati kebanyakan kaum Cina apatah lagi saya juga masih ramai rakan berbangsa Cina. Sayangilah Malaysia. Jangan menimbulkan isu yang bukan-bukan. Jangan cuba ubah sejarah. Marilah kita melihat masa depan. Malaysia ini bukan untuk kita sahaja tetapi untuk anak cucu kita.

Sunday, 24 April 2011

Interlok (India Cetus Polemik Lagi)

Selepas berjaya mendesak Putrajaya 'menyusun semula' Novel Interlok yang dijadikan bahan Sastera di sekolah menengah, kini kaum India mendesak pula Kamus Dewan dikaji semula untuk diubah. Ini semua hanya kerana ada perkataan pariah iaitu salah satu jenis kasta dalam masyarakat India. Inilah yang dikatakan sudah diberi betis hendakkan paha.

Novel Interlok telah ditulis oleh SN Abdullah Husain sejak 40 tahun lalu. Jika ada manusia lahir pada ketika beliau menulis novel itu pastinya kini telah berusia lebih 40 tahun. Dan selama 40 tahun itu juga ada perkataan-perkataan itu di sana. Jadi selama itu, apakah keburukan yang telah berlaku kepada masyarakat India? Jawapannya TIADA kesan buruk pun.Apabila novel ini diangkat untuk dijadikan naskah sastera di sekolah menengah maka ramai aktivis dan ahli politik India timbul untuk menjadi hero. Persoalannya,apakah yang mereka perjuangkan itu adalah dari hati yang ikhlas atau sekadar ingin menonjolkan diri?Atau hanya bermotifkan politik murahan?Atau sekadar provokasi menentang Melayu kerana yang menulisnya adalah Melayu?

Apakah dengan menghilangkan pariah di Novel Interlok dan di Kamus Dewan maka seluruh Malaysia dan seluruh dunia akan lupa tentang perkataan ini? Saya tidak tahu di mana rasionalnya mereka mempertikaikan perkara ini. Sedangkan fakta sejarah di India dan Burma, kasta pariah ini sememangnya wujud. Sejarah tidak mungkin dapat kita ubah.Sepatutnya masyarakat India di Malaysia berusaha menjadi bangsa yang maju dan hebat, apatah lagi hanya di negara ini mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya.Gunakanlah keterbukaan Malaysia ini untuk maju ke hadapan bukan dengan mereka-reka kontroversi yang pada hakikatnya sekadar menampakkan wajah penentangan dan suara sumbang yang tidak relevan. Malah perkataan ini bukan pun soal-soal agama dalam Hindu. Jika ia soal agama, mungkin ada rasionalnya.Tetapi ini sekadar sejarah hidup dan kehidupan.

Saya anak seorang penoreh getah yang sangat miskin. Saya ada beberapa kawan yang ayahnya hanya seorang pencari makanan untuk babi peliharaan majikannya. Saya ada kawan yang bapanya menyapu seluruh pekan dan mencuci tandas awam.Saya juga ada kawan yang ibunya bekas pelacur. Saya juga ada kawan yang ayahnya bekas banduan (pembunuh).Tetapi saya tetap bangga menjadi saya dan bersama kawan-kawan ini. Bukan kerana sejarah lampau yang perit dan hitam tetapi kerana semangat juang untuk hidup dengan bermaruah. Kami tidak pernah menyesal menjadi anak termiskin, kuli babi, pencuci tandas awam,anak pelacur atau anak pembunuh kerana kami memahami itulah takdir kelahiran kami yang tidak mungkin dapat dipadamkan selamanya. Jika ada yang bercerita tentang ini, kami tetap tersenyum dan mengakuinya, YA itu memang ibu bapa kami.Itu memang sejarah keturunan kami.

Tapi kawan, kini kami lebih memahami bahawa untuk memadamkan sejarah hitam itu bukan dengan memarahi orang yang memperkatakannya tetapi lebih baik membuktikannya dengan usaha dan kekentalan cita-cita.Berjuang untk menjadi insan yang lebih bermaruah.Inilah perjuangan sebenar.Apa yang pasti sejarah hitam telah mengajar kami untuk tidak mengulanginya semula.Inilah pengajaran tulin dari pengalaman.

Wahai sahabat-sahabat warga India, bangunlah dari mimpi yang dihasilkan oleh golongan tertentu dalam masyarakat kalian. Apa yang mereka perjuangkan itu bukan satu perjuangan tulin. Ia hanya untuk kepentingan peribadi mereka.Sekadar untuk menjadikan diri mereka sebagai hero segera.Sedarlah bahawa masyarakat lain di Malaysia tidak pernah ambil tahu tentang kasta. Kasta hanya ada di negara India dan Burma. Kami melihat India sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat. Kaum India tetap sama di mata kami. Kami tetap menghormati doktor-doktor keturunan India, cikgu-cikgu malah pensyarah-pensyarah keturunan India sekalipun dia daripada kasta pariah.Kami tidak ambil pusing pun hal pariah itu.Tetapi segelintir kaun India lah yang menjadikan seluruh Malaysia ambil tahu dan memandang semula soal pariah ini. Maka hentikanlah membuka pekung di dada.

Marilah kita sama-sama renungkan kata-kata ini :
"Sekalipun nyawa di hujung pedang, sejarah kelahiran tidak mungkin dapat ditulis semula namun kendatipun, hidup selamanya, masa depan juga tidak dapat diubah jika kita hanya meratapi sejarah dan menyalahkan takdir"

Saya ingin bertanya kepada Uthaya Sankar SB,Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, jika kalian berjaya memadamkan perkataan pariah yang tertulis di mana-mana buku di seluruh dunia ini, apakah masyarakat India di dunia ini akan tiba-tiba menjadi agung dan terhormat???

Makna PARIAH

Saturday, 23 April 2011

Ong Kim Koon ( Warga Malaysia Terhormat )

Membaca berita tentang kematian seorang lelaki Cina bernama Ong Kim Koon,52 tahun, telah menyentuh jiwa saya yang terdalam sebagai warga Malaysia berdaulat. Matinya adalah mati seorang wira. Hatinya suci seputih awan terindah.Jika saya mati sepertinya juga saya redha dan bangga.

Ketika mendiang pulang dari kerja 14 April lalu, beliau melihat sebuah kereta Perodua Viva terbabit dalam kemalangan. Beliau mendapati terdapat sepasang suami isteri sedang tersepit dan meminta pertolongan. Beliau dengan rela membantu mengeluarkan mangsa pertama seorang wanita dan meletakkannya di tempat yang selamat. Ketika hendak mengeluarkan mangsa kedua, malang menimpa apabila sebuah kereta Toyota Estima merempuh beliau dari arah belakang menyebabkan beliau parah sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong. 

Menyedihkan sekali,hari ini, beliau disahkan meninggal setelah mengalami pendarahan teruk dan beberapa organ dalamannya tidak berfungsi.Tambah menyayat hati, mangsa yang diselamatkannya pun tidak sempat lagi bertemu untuk menjalin silaturrahim dengan mendiang. Namun, satu perkara yang sangat menyakitkan hati apabila kereta yang melanggar beliau telah menghilangkan diri. Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

 Kawan, apa yang tambah membanggakan saya, mangsa yang dibantu oleh mendiang itu adalah pasangan Melayu dan Islam.Inilah nikmat terhebat menjadi warganegara Malaysia. Inilah yang wajar kita contohi. Ceritakan kepada semua generasi tidak kira bangsa dan agama.Jika Pengasas Malaysia dahulu masih ada, pasti inilah titisan airmata kegembiraan mereka. Ong mewakili masyarakat Cina yang rendah hati dengan nilai semangat Malaysia yang luhur.

Sayangnya apa terjadi dengan kebanyakan Cina hari ini di luar sana. Ketika statistik menunjukkan Melayu tertinggal dalam banyak bidang, mereka dengan mendabik dada mengatakan bahawa itu kerana Melayu /Bumiputra malas dan kami bekerja keras.Ketika kerajaan yang didominasi oleh Melayu Islam ini memberikan kebebasan dengan membuka sekolah SJK(C), mereka bayar dengan berbahasa Melayu yang cacamarba. Malah ada bangsa Cina yang mempersendakan Lagu Negaraku.

Setelah kesudian Raja-raja Melayu dan Pemimpin Melayu menerima Cina melalui prinsip JUS SOLI, inikah balasan yang harus diterima oleh Melayu. Jika kalian ingin terus menjadi warga Malaysia yang tidak dipandang serong, hayatilah pengorbanan Ong. Paling tidak pun jadilah seperti Tan Sri Lee Lam Thye, jadilah seperti Prof Madya Dr. Lim Swee Tin, yang bahasa Melayunya jauh lebih baik daripada kebanyakan bangsa Melayu sendiri.

Sekalung TAKZIAH buat seluruh keluarga Ong. Tabahlah...Tuhan lebih menyayanginya. Dan dia warganegara Malaysia yang Terhormat....

Friday, 22 April 2011

Masa Yang Tepat Untuk Hapuskan SJK

Ketika ini Parlimen Malaysia di bawah Kerajaan BN hanya ada 15 wakil Cina. Malah yang terbaru di Sarawak, Kerajaan Negeri hanya ada 2 wakil Cina. Jadi kita melihat bahawa kaum Cina tidak lagi memerlukan suara dalam kerajaan. Pada ketika ini mereka sudah cukup selesa dengan pegangan kek ekonomi yang besar. Kaum Cina tidak lagi hairan atau ambil pusing dengan sokongan terhadap kerajaan sekarang kerana menganggap tiada apa lag yang mereka perlukan kerana mereka telah berjaya menguasai segalanya sejak dahulu. Perlahan tetapi pasti. Kini mereka memerlukan 'perhatian' baru iaitu Undi Untuk Ubah. Maknanya mereka kini mula dahagakan kuasa kerana mereka lihat, dengan hanya menguasai ekonomi, mereka tidak dapat menguasai Malaysia. Tetapi dengan menguasai tampuk kuasa Malaysia, bukan sahaja ekonomi malah agama dan budaya juga dapat mereka kuasai. Dan melalui kerajaan sekarang, mereka melihat bahawa kuasa tidak dapat diperkukuhkan lalu beralih kepada platform yang lebih bernada Cina.

Oleh itu, kata-kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr.Chua Soi Lek yang akan mengkaji kedudukan mereka dalam kabinet jika PRU akan datang tidak memberangsangkan adalah sesuatu yang wajar. Kedudukan wakil Cina dalam kerajaan sekarang tidak lagi menggambarkan suara sebenar kaum Cina. Jadi kita biarkan kaum Cina menentang arus dan kita lihat sejauh mana politik berasaskan satu kaum yang diperjuangkan mereka berjaya. Tetapi Melayu juga harus mengatur gerak dan langkah yang sama.

Penjajah British dan Jepun dahulu berdepan dengan Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh, Antanom, Rentap dan ramai lagi pejuang tulin Melayu dan Bumiputra. Tidak ada satu nama Cina pun dalam sejarah mepertahankan tanah air. Nama Cina yang Malaysia ingat ialah Chin Peng. Pejuang fahaman komunis yang paling kejam. Jadi kenyataan bahawa Melayu,Cina dan India sama-sama pendatang atau imigran adalah fahaman yang sangat dangkal. Tanah ini milik Melayu dan Bumiputra.Ini fakta yang tidak boleh disangkal...

Oleh itu, hari ini kita melihat kebangkitan Cina melalui DAP dengan slogan Malaysian Malaysia, yang maknanya mahukan taraf yang sama dengan Melayu dan Bumiputra terutamanya dalam soal kuasa adalah amat berbahaya. Perkongsian kuasa yang diberikan secara percuma malah atas dasar budaya Melayu yang sangat bertoleransi suatu waktu dahulu ketika membentuk Malaysia kini akhirnya makan tuan.

Hari ini di Malaysia, Cina masih dengan budayanya. Cina masih dalam pergaulan sesama mereka. Mereka tetap membaca akhbar Cina. Malah terus menghantar anak mereka di SJK(C). Malah sehingga kini, Bahasa Melayu mereka masih lagi cacamarba seoalah-olah mereka ini bukan warga Malaysia. Bahkan seolah-olah mereka baru sahaja sampai dari negara China. Inilah harga yang telah mereka bayar atas kesudian  Raja-raja dan pemimpin Melayu suatu ketika dahulu untuk memberikan kewarganegaraan mudah melalui prinsip JUS SOLI dan dengan ini mereka layak berkongsi kuasa.Sedangkan di negara lain, misalnya di Indonesia, kaum Cina bahkan ingin menamakan keturunan mereka dalam karakter Cina juga tidak dibenarkan. Di Malaysia mereka bebas sebebas-bebasnya melakukan apa sahaja.

Atas dasar ini, seharusnya kita melihat bahawa sistem persekolahan SJK(C) adalah penyebab utama penyatuan kaum Cina yang kini lebih menentang arus. Melalui SJK(C) inilah mereka terus bersatu tanpa dapat dibendung sehinggakan perasaan Malaysia mereka tidak berpaksikan kepada landasan yang tepat. Di SJK(C) inilah mereka belajar untuk tidak menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Di SJK(C) inilah mereka belajar untuk tidak bergaul dengan kaum lain.Di SJK(C) inilah mereka terus belajar untuk hanya menjadikan akhbar tulisan Cina sebagai wadah komunikasi dunia mereka.... Ingin saya bertanya di mana letaknya Malaysia mereka ini?

Maka berdasarkan pandangan di atas, sistem SJK telah melahirkan warganegara Malaysia dari kaum lain yang semakin tidak Malaysia. Maknanya sistem ini GAGAL membentuk acuan Malaysia yang sepatutnya.Justeru, pada ketika ini sokongan Cina khususnya dalam kerajaan yang semakin terhakis, maka inilah masa yang tepat untuk menghapuskan sistem SJK ini. Sampai bila kita harus mendukung biawak hidup? Tiada gunanya mendengar apa mahu mereka sedangkan mereka tidak bersama kita dalam arus sebenar citra Malaysia.Kita harus bertegas jika tidak ingin Malaysia ini tinggal hanya sebuah negara yang ada  perkataan "MALAY" tetapi tidak ada Melayunya.

Kesimpulannya, kita harus mengikut jalan yang telah dilalui oleh kaum Cina dalam membentuk kekuatan mereka. Kita harus sedar dan bangkit sekarang. Perjuangan sebenarnya belum selesai.Jika mereka kata "Selamatkan Malaysia" maka kita harus kata "Selamatkan Tanah Tumpah Darahku".Aku hidup dan mati tanah ini. Aku tidak ada keturunan nenek moyang di mana-mana selain tanah ini. Aku hanya ada tanah ini. Hanya di tanah ini ada orang yang memahami bahasaku dan tidak di tempat lain. Malah tidak ada satu negara lain pun di dunia ini yang menggambarkan bangsaku. Jadi "Selamatkan Tanah Airku"...

Thursday, 21 April 2011

Perbualan Hati

Malam ini saya bertemu dengan beberapa rakan khusus untuk membincangkan sebuah program yang berkaitan dengan Bulan Sabit Merah Malaysia. Selepas sesi perbincangan formal, kami teruskan sesi sembang kosong. Antara banyak-banyak cerita itu,satu perkara menarik perhatian saya dan saya ingin kongsikan bersama sebagai renungan.

A : Sekarang ni, kamu perasan atau tidak, kebanyakan gadis suku kaum Dusun,Murut atau Lundayeh di tempat kita ni kahwin dengan orang Cina. Bikin sakit hati lagi, yang cantik-cantik pula tu...

B : Ala, itukan jodoh. Hak Tuhan.

C : Diorang pilih Lelaki Cina sebab kaya. Diorang tidak susah-susah lagi kerja. Yang penting pandai melawa dan bergaya. 

A : Yalah.  Apa yang diorang penting sebenarnya ialah, dengan dapat bini bumiputra maka diorang akan dapat beli tanah sebab non-bumi kan susah beli tanah,apa lagi yang NT ( Native Title, kalau tidak silap sayalah).

C : Lagi pun pilih lelaki bumiputra macam kita ni, gadis-gadis tu rasa tidak selamat pun. Bila-bila masa kena cerai atau mungkin sekadar habis madu sepah dibuang. Masing-masing tiada kepentingan. Kalau dengan lelaki Cina, diorang selamat sebab diorang ada 'kegunaan'. Yang lelaki Cina tu bukan peduli sama ada gadis yang diorang kawin tu lulus SPM  ka, atau biarlah 'buduh' pun. Yang penting cantik. Jadi daripada sia-sia di tangan lelaki bumiputra, lebih baik kahwin dengan lelaki Cina. Hidup senang dan kena 'jaga' sebab tanah atas nama diorang.Nanti tanah tu akan ditukar jadi CL ( Comersial Land barangkali) oleh lakinya.

Perbualan itu berlarutan panjang lagi tetapi terdetik di hati kecil ini... Apakah mungkin senario ini ada juga kebenarannya...? Jikalau benarlah, wahai ibu-ibu bapa-bapa...anak-anak gadis kalian sedang dengan tanpa sedar memperdagangkan tanah-tanah kita. Sedangkan ada pejuang-pejuang kepimpinan bertegang urat menyelesaikan Tanah Adat (NCR)... Namun apabila sudah dapat... bersediakah anda untuk membiarkan anak gadis anda 'menjualnya untuk ditukar dengan kemewahan'...?

Akhirnya saya menjawab begini :
"Apa pun, semua ini jodoh dan ketentuan Tuhan. Apa yang penting ialah, kita tambahkan kekuatan orang kita. Rajin belajar. Kerja dengan penuh dedikasi. Ini tidak, asyik-asyik aramai tii. Mabuk, lepas tu kerja tertinggal sampai dua tiga hari. Jadi mulailah kita sedarkan orang-orang kita bahawa dalam dunia moden dan semakin mencabar ini, kita akan tertinggal dari semua segi jika kita lambat bertindak. Maka sekarang ini bukan lagi masa untuk kita banggakan tentang status bumiputra.Bumiputra sekarang hanya tinggal status yang tidak memberikan makna apa-apa jika kita hanya diam berpeluk tubuh..."

Kebanyakannya akur dan kami sambung cerita video seks. (Hehe)... Begitulah cerita sembang kosong kebanyakan daripada kita tetapi dalam tidak sedar, sebenarnya itulah perbualan hati kita yang paling ikhlas dan jujur...

(Tulisan ini bukan bermaksud tuduhan malah tiada bukti dan kajian ilmiah pun. Anggaplah ia sekadar sembang kosong...)

Monday, 18 April 2011

Cik Syidah Dari Parit (C.S.D.P)

 
Selepas terbaca di Harian Metro, saya pun mencari klip video miming  Cik Syidah ni di laman Youtube. Memang gempak la. Saya bukan saja rasa nak terhadas kecil tetapi terus nak terhadas besar. Kelakar tetapi sangat berbakat. Tahniah kepada Cik Syidah.

Cik Syidah ni sebenarnya seorang cikgu dan berasal dari Parit Perak. Sehingga kini, video klip miming hasil kreativiti Cik Syidah ni telah mencecah jutaan penonton di seluruh dunia.Walaupun telah begitu terkenal namun Cik Syidah tetap berbangga sebagai pendidik dan akan terus menabur bakti pada anak bangsa. Tahniah Cik Syidah...

Cik Syidah telah beberapa kali dijemput dalam Talk Show TV. Malah Dato Siti Nurhaliza pun pernah menjemput beliau. Kalau mahu cerita lanjut, carilah CIK SYIDAH ini di Youtube...Pasti tidak kering gusi.Walaupun ada juga yang memberi komen negatif tetapi itukan lumrah. Bagi saya ini hasil seni yang harus dibanggakan. Soal dia tu cikgu bukan isu besar. Dia juga manusia biasa dan apa yang dia lakukan jauh lebih baik berbanding guru-guru statik lain yang hanya menggunakan medium klasik untuk memberikan tunjuk ajar positif.

Teruskan berkarya wahai cikgu Syidah...


FUN FAIR Vs Taman Tema

Menyebut soal hiburan, pelbagai cara dan kerenah manusia untuk berhibur. Fun Fair antaranya. Apa yang menarik perhatian saya ialah di Keningau Sabah, hampir setiap tahun ada Fun Fair. Apabila ada saja Fun Fair, maka berduyun-duyunlah rakyat di pedalaman termasuk Tenom, Nabawan, Tambunan datang menghiasi malam-malam Fun Fair di sini.

Sebentar tadi sempat saya melewati tempat Fun Fair ini diadakan. Kereta diletakkan di tepi jalan dan kesesakan hampir 1 kilometer. Tidak sampai 200 meter tempat Fun Fair ini diadakan, adalah Masjid Taqwa, Keningau. Tidak dapat dinafikan ramai sekali umat Muhammad berada di Fun Fair tersebut sehingga lupa bahawa sebelahnya adalah rumah Allah. 

Namun, satu perkara lain yang saya fikirkan ialah, kesiannya rakyat Malaysia di Sabah ini. Kalau di Tanah Melayu (bermakna semua negeri yang ada di Tanah Semenanjung), percutian keluarga boleh saja ke Taman Tema Genting atau ke Berjaya Times Square. Selain daripada tempat permainannya lebih selesa, yang lebih penting ialah tahap keselamatnnya tinggi. Tapi di Fun Fair ini, walaupun tidak dilaporkan lagi apa-apa kejadian yang tidak diingini, namun bayangkanlah, taman permainan yang dibina sementara tetapi hampir menyamai 'keganasan' permainan yang ada di taman tema yang saya sebutkan tadi. Melayang-layang di udara di atas besi yang hanya disambung-sambungkan sementara. Aduhai...

Apa boleh buat. Itu sahajalah yang rakyat Sabah ada sebagai sumber hiburan dan rekreasi keluarga. Apa lagi yang kita ada, sampaikan hiburan sebegini pun sukar sekali sampai ke Sabah. Sudah hampir 50 tahun kita mengabdi bersama Malaysia. Walaupun ini bukanlah penting sangat tetapi bayangkanlah,jika taman tema sebegini pun tidak sampai ke Sabah, berapa tahun lagi untuk rakyat Sabah mendapat kemudahan LRT, Komuter dan sebagainya. Di Kuala Lumpur, perhentian bas pun sudah macam lapangan terbang. Perhentian bas kita di sini hanyalah tempat PATI berlonggok menjual rokok, dompet, tali pinggang dan kacamata.

Saya menulis begini bukan bermakna saya meminta taman tema di Sabah. Ini terpulang kepada peniaga untuk membuka peluang pelaburan di Sabah atas nama taman tema tersebut, tetapi apa yang menjadi kebimbangan saya ialah, Fun Fair ini tetap menjadi tumpuan setiap kali ia diadakan. Maka setiap kali itu juga kita terdedah kepada ancaman keselamatan Fun Fair yang hanya dibina sementara itu. Sampai bilakah tahap Sabah ini sekadar berbangga dengan Fun Fair? Sedangkan rakyat lain di Malaysia sudah pun merasai Roller Coaster, Monster Train dan sebagainya di taman tema yang jauh lebih selamat... Berjuanglah... Kami juga rakyat Malaysia... Kesetiaan kami usah diragui... Orang putih kata "Do Give Us a Favour"...

Saturday, 16 April 2011

Keputusan PRN Sarawak : BN Menang Majoriti 2/3

Keputusan rasmi Pilihanraya Negeri Sarawak yang Ke-10 akhirnya berpihak kepada Barisan Nasional dengan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan negeri yang baru. Keputusan penuh.

Barisan Basional Menang 55 Kerusi
DAP Menang 12 Kerusi
PKR Menang 3 Kerusi
BEBAS Menang 1 Kerusi

Pas, PCM dan SNAP tidak berjaya memenangi walau satu kerusi pun. Tahniah BN.

Keputusan PRN Sarawak : BN Menang Majoriti Mudah

 
Keputusan PRN ke-10 Sarawak kali ini menyaksikan sekali lagi BN berjaya membentuk kerajaan. Setakat jam 2100 tadi BN menang 36 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan manakala DAP (5), PKR (3) dan Bebas (1).



Tahniah buat seluruh warga Sarawak kerana angin perubahan sebenar hanya dapat dibawa oleh kerajaan yang berwibawa dan pemimpin yang berkredibiliti.PR sekadar melaungkan janji yang tidak mungkin dapat ditunaikan sama seperti janji-janji yang ditaburkan di Selangor dulu.

Namun sudah dijangka bahawa DAP berjaya mendapat majoriti besar dalam kalangan kaum Cina. Petanda kaum Cina benar-benar inginkan perubahan. Tapi perubahan seperti apakah yang diinginkan oleh kaum ini? Pemimpin DAP sebenarnya berjaya mempengaruhi kaum Cina untuk berdiri sebagai satu bangsa yang kuat agar segala permintaan mereka terpenuhi. Apatah lagi, ini adalah masa terbaik untuk bertindak setelah lama penantian mereka. Masa yang amat tepat ketika Melayu mula berpecah. Mudahnya, kemenangan DAP bukanlah kemenangan rakyat tetapi kemenangan kaum Cina semata-mata.

Kepada Pehin Sri Taib Mahmud serta seluruh warga BN Sarawak, syabas dan tahniah! Namun janji tetap janji. Pehin Sri harus mula menghitung detik bilakah untuk membuat peralihan kepimpinan agar BN terus relevan dengan arus pemikiran baru dalam kalangan pemimpin baru. Jasamu akan tetap dikenang...

Wahai rakyat Borneo di Sarawak, anda membuat pilihan yang betul tetapi mulai saat ini,berjuanglah untuk mendapatkan apa yang hak setelah anda berikan kesetiaan. Berjuang pada landasan yang betul. Tariklah rambut dalam tepung dan pastikan rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan...