Pages

Friday, 22 July 2011

Saya tidak mahu Tenom digelar ‘The Lost World’ : YB Datuk Raimie Unggi, Ahli Parlimen P.181, Tenom.

Saya merupakan seorang manusia yang agak rimas dan hilang punca jika tidak mempunyai akses internet atau isyarat telefon. Rasanya seperti dunia ini telah mati. Begitulah rasanya apabila menjejakkan kaki ke kampung halaman di sebuah daerah tenang dan nyaman bernama Tenom.

Namun agaknya keluhan hati ini kedengaran pada telinga hati seorang insan yang menjadi wakil rakyat Tenom bernama Datuk Raimie Unggi.  Selepas Perasmian Seminar ICT Penjawat Awam Pedalaman Atas di Taman Pertanian Sabah, Lagud Seberang, Tenom, baru-baru ini beliau ada menyentuh tentang isu capaian internet yang sangat menyedihkan di seluruh kawasan Tenom. Kelajuan internet hanya 180 kilobait per saat ternyata bakal menjadikan Tenom sebagai satu lagi destinasi Lost World seperti kata beliau “Saya tidak mahu Tenom digelar ‘The Lost World’ dalam zaman Multimedia setelah memiliki keretapi Indiana Jones ketika Malaysia berada di era ERL atau Keretapi laju,”.

Kata-kata ini sangat biasa tetapi bagi yang merasa, kata-kata ini sangat berbisa daripada segala bisa. Manakan tidak, ketika kita melaungkan MERDEKA saban tahun yang kini melebihi setengah abad tetapi di Sabah umumnya dan di Tenom ini khususnya masih jauh kebelakang. Sewajarnya kata-kata ini menjadi petanda keramat untuk warga Malaysia di Tanah Melayu bahawa Sabah seakan tertinggal dan terpinggir di negara sendiri. Inikah harga yang harus kami terima selepas seluruh rakyat Sabah bersetuju untuk menjadikan MALAYSIA sebagai sebuah negara menjadi realiti pada 16 September 1963???

Sebenarnya, kata-kata ini juga memberikan kita peluang untuk berpijak di bumi yang nyata. Tidak lama sebelum ini seluruh negara kedengaran dendangan bahawa semua rakyat Malaysia harus menantangi dunia komunikasi tanpa sempadan ini untuk menjadi lebih maju dalam arus globalisasi. Oleh kerana itu juga banyak kampung diredah oleh DSU Dr.Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bersama timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum di seluruh negara termasuklah Tenom ini. Pemberian Notebook 1Malaysia merupakan satu inisiatif kerajaan yang sangat murni.

Namun begitu, realitinya, dengan capaian internet yang sebegitu rendah, agaknya notebook ini hanya bakal menjadi platform terkini kepada murid yang menerimanya untuk sekadar bermain computer games. Alangkah baiknya jika notebook ini dapat digunakan untuk melayari internet yang sudah pasti menyajikan pelbagai bidang ilmu yang seharusnya diteroka oleh para murid pedalaman yang serba serbi kekurangan pengetahuan terkini. Mungkin melalui internet ini juga mereka berupaya mengenali apakah itu PUTRAJAYA atau paling tidak pun, dapat membaca pelbagai sejarah Malaysia dari pelbagai perspektif agar jiwa patriotisme semakin berkembang. Hanya inilah harapan yang mereka ada kerana hendak mengharapkan mereka ke Putrajaya untuk menyaksikan sendiri Pusat Pentadbiran Malaysia yang gah itu, rasanya, mimpi sebegitu pun tidak akan singgah di dalam tidur mereka.

Justeru, wajarlah teguran wakil rakyat kami ini didengar dengan teliti dan disusuli dengan tindakan pantas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM). Rakyat di daerah Tenom tidak seharusnya membayar caj yang sangat tidak berpatutan dengan perkhidmatan jalur lebar yang diberikan. Kelak, kerajaan yang ada hari ini yang bakal menerima kesannya akibat ketidakefisienan kerja yang ditunjukkan oleh TM.

P/S : Tenom amat dahagakan kata-kata sebegini daripada para pemimpin yang ada. Inilah yang mencerminkan pemimpin yang mewakili kami. Kami tidak perlukan pemimpin yang hanya tahu 'mengipas' pemimpin tertinggi mereka demi 'survival' politik mereka.Jika kami perlukan tangki, jangan beri kami tandas. Anda mewakili kami maka jadilah sebahagian daripada suara hati kami. Syabas Datuk! Teruskan perjuangan.

Sunday, 17 July 2011

PAS Tidak Relevan Lagi Untuk Umat Islam di Malaysia

Bulan yang penuh dengan keberkatan bagi umat Islam seluruh dunia iaitu Bulan Ramadhan atau istilah biasanya Bulan Puasa akan disambut lebih kurang dua minggu lagi.Pada kebiasaannya, bulan ini akan disambut dengan penuh gembira kerana di bulan ini segala ibadat akan berlipat kali ganda.Umat Islam yang 'samar-samar' akan kelihatan jelas keIslamannya di Bulan Puasa.Mereka yang 'kutu embun' akan belajar duduk di rumah walaupun hanya untuk menanti waktu sahur dan waktu sungkai.Alangkah indahnya nikmat menjadi seorang Muslim.

Namun, kegembiraan menyambut bulan mulia ini tiba-tiba tercemar oleh kebiadapan segelintir rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam. Apa tidaknya, baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan keputusannya menguatkuasakan larangan terhadap 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Namun beberapa hari selepas itu sebuah parti Non Islamik iaitu DAP berjaya mematahkan larangan ini kerana beranggapan bahawa larangan ini menidakkan hak rakyat yang bukan Islam. Walaupun begitu, yang lebih menyedihkan ialah Menteri Besar Kedah daripada PAS yang sejak dulu kononnya mengagungkan parti mereka sebagai sebuah organisasi yang bercorak ISLAM tunduk kepada desakan ini tanpa ada alasan kukuh.Maka ketawalah para syaitan dan iblis kerana bisikan mereka berjaya mencantas keimanan seorang ISLAM sebelum mereka diikat sepanjang Bulan Ramadhan ini.

Persoalan yang ingin saya tanyakan secara ikhlas kepada rakyat Malaysia bukan Islam, apakah dengan menutup sebentar pusat hiburan itu maka hak anda sebagai seorang rakyat Malaysia hilang? Adakah sepanjang hayat anda, anda hanya ingin berhibur? Adakah anda lupa, sekalipun negara kita ini tidaklah dirasmikan sebagai sebuah negara ISLAM tetapi jelas di perlembagaan, agama rasmi negara tercinta kita ini adalah ISLAM? 

Saya tidak ingin mengajar anda tentang Perlembagaan Malaysia. Apatah lagi manusia yang membantah penutupan sementara pusat hiburan ini seorang peguam hebat yang pastinya lebih mengtahui undang-undang. Wahai Karpal Singh, Presiden DAP, anda sentiasa memperjuangkan kesamarataan hak yang tidak sekadar kata-kata tetapi disusuli dengan sekian banyak penjelasan perundangan untuk menjustifikasikan kenyataan perjuangan anda itu. Jika saya dan anda berdebat soal ini, pastinya saya bukan lawan bagi anda.

Di sebalik semua ini, saya yakin dan percaya, ramai lagi rakyat Malaysia bukan Islam yang tidak bersetuju dengan anda wahai Karpal Singh. Alangkah baiknya jika sebulan ini kita semua rakyat Malaysia tidak kira agama bercuti sebentar untuk berhibur. Tidak ada cacat celanya 'penutupan sementara' pusat hiburan tersebut. Malah rasanya, tokey-tokey pusat hiburan itu pun akan lebih dihormati oleh umat Islam yang ternyata populasinya paling ramai di Kedah malahan di Malaysia amnya. Apakah jika menutup pusat hiburan itu lebih menyakitkan hati bagi bukan Islam berbanding menutupnya sementara demi menghormati bulan penuh keberkatan bagi umat Islam??? Apakah dalam soal ini, umat Islam tiada hak langsung???

Justeru itu, bantahan terhadap penutupan pusat hiburan di Kedah ini bukan mewakili suara rakyat Malaysia bukan Islam. Bahkan ia sekadar isu politik DAP terutama Presidennya yang ingin mendabik dada di seantero Malaysia dan dunia bahawa dia berjaya perlekehkan agama rasmi negara ini. Dia hanya ingin memberikan petanda bahawa Islam di Malaysia semakin lemah kerana kehebatannya. Slogannya, LANGKAH MAYAT SAYA DAHULU JIKA INGIN MENUBUHKAN NEGARA ISLAM adalah bukti nyata disebalik bantahan beliau itu. Kesannya parti yang kononya memperjuangkan Islam pun turut berada dalam genggamannya. Tahniah Karpal Singh...

Oleh itu, saya terpaksa merayu kepada orang paling hebat di Malaysia dalam menentukan apa yang boleh dan tidak boleh bagi orang Islam iaitu Karpal Singh. Saya mewakili rakyat Malaysia Islam yang agak 'buta' undang-undang Hak Asasi Manusia meminta dengan hati, kali ini hormatilah Bulan Suci kami. Berilah peluang kepada kami untuk beribadat dengan aman dan selesa. Bantulah anak muda kami yang malamnya dipenuhi hiburan agar sebulan Ramadhan kali ini mereka 'terdakwah' atau pun terpaksa untuk diam di rumah kerana pusat hiburan 'cuti'. Hanya ini yang kami minta. Kami tidak minta anda memeluk Islam. Kami tidak minta anda mempercayai anutan kami tetapi sebagai rakyat Malaysia hormatilah kepercayaan kami. RAYUAN ini saya lafazkan kerana PAS yang kononnya arif tentang Islam juga tidak mampu walau sekadar mengangkat muka di hadapan anda. PAS bukan lagi pejuang agama kami. PAS hanyalah pengikut setia anda atas nama politik.

P/S : Saya juga menyeru agar seluruh negeri di Malaysia menguatkuasakan larangan operasi pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan. Kita memang bukan negara Islam tetapi agama rasmi negara tercinta ini adalah ISLAM.


Monday, 4 July 2011

Airmata di Kerusi Roda

Sekadar Gambar Hiasan
 
Airmata di Kerusi Roda

Jika aku Kutub Utara
Yang kubekukan hanya airmatamu
Jika aku gersang padang pasir
Yang kuhangatkan hanya tubuhmu

Tapi Kutub Utara itu bukan aku
Aku jua bukan gersang padang pasir
Yang kupunya hanya simpati
Jadi sapulah airmatamu itu
Jangan biar ia tumpah dan mengalir
Hanya kerana kepayahan hidup
Selimutkanlah tubuhmu itu
Jangan biar ia sejuk dan lemah
Hanya kerana keterbatasan diri

Meski di atas kerusi roda dan pondok usang
Kau harus tabah dan bertahan
Ia hanya ujian kasih Ilahi
Maka bekukan airmatamu dengan tekad perjuangan
Biar nanti hanya aku yang menangis gembira
Hangatkan lagi tubuhmu dengan semangat kehidupan
Biar nanti aku yang sejuk memandang

Walau aku tidak punya apa
Namun ku pasti menghampirimu dengan hati
Aku tetap membantumu dengan doa
Kerana aku adalah pewaris semangatmu
Menjadikan aku lebih menghargai
Erti sebuah kehidupan

Nim Yorza
29 04 2011
Taman Lingkudau

Sunday, 3 July 2011

Kenali Pengerusi Perhimpunan Bersih 2

Ambiga Sreenevasan :
1. Beragama Hindu.
2. Anti Islam.
3.Penyokong Murtad (Peguambela kes Lina Joy ; Seorang wanita Islam yang murtad)
4.Menganjurkan forum pertikaian kuasa Mahkamah Syariah melibatkan kemasukan bukan Islam menjadi saudara baru.
5. Pendokong dan Penggerak Inter Faith Comission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama. Pernah mengatakan bahawa perceraian dalam Islam adalah ZALIM.

6. Menyokong pluralisme agama yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama.
7. Menawarkan khidmat guaman percuma kepada umat Islam yang ingin murtad sekiranya dibawa ke mahkamah persekutuan.
8. penyokong kuat kepada seorang wanita India yang memohon untuk menjadi Peguam Syarie.

Inilah kiblat baru pembangkang yang bergabung atas nama BERSIH... Marilah sama-sama menolak politik jalanan... Sayangilah negara kita...

Thursday, 16 June 2011

Selebriti Sertai Wataniah

Saya agak terkesan dengan berita ini. Sejuk sebentar hati ini melihat wajah-wajah selebriti kesayangan Malaysia menyertai pasukan beruniform khususnya sebagai askar wataniah. Hebat sekali. Tahniah!

Mereka ini sebenarnya telah melakukan satu langkah yang sangat bijak sekaligus menjadi satu bentuk ajakan dan motivasi halus khususnya kepada golongan belia di agar menjadi seorang rakyat yang bukan sahaja berdisiplin tetapi berjiwa patriotik.

Datuk Siti Nurhaliza,shaheizy Sam, Intan Ladyana dan Kapten (B) Mohd Nor Bon, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan Aizat Amdan serta Nurul Hidayah, anak sulung Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Nurul Hidayah 34, adalah pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM.

Selebriti yang lain bila lagi? Saya teringin melihat Lisa Surihani jadi hitam ikut latihan askar. Jangan marah ya...

Wednesday, 15 June 2011

Utusan Malaysia Harus Minta Maaf

Kali ini saya sangat tidak bersetuju dengan paparan sebuah kartun yang tersiar di Utusan Malaysia(UM). Seharusnya sebuah akhbar nasional yang mempunyai ramai pembaca Islam, UM harus tahu menilai karya yang tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

Saya tidak faham mengapa perkara ini terjadi seoalah-olah ia satu perkara biasa. Semua tahu bahawa UM adalah akhbar milik UMNO. Jika hendak berpolitik pun berpada-pada. Jangan sampai mempersendakan hukum Islam.


Saya yakin, kartun ini adalah untuk memperli Anwar Ibrahim. Jika ya pun, pastikan yang kena adalah orangnya. Ini tidak, yang lebih terasa adalah orang Islam. Aduhai... Ini tidak kenalah. Baca lagi di sini.

Mesej yang cuba disampaikan melalui kartun ini ada kebenarannya. Namun begitu, cara ia disampaikan ini melampau dan tidak berhemah.Saya harap ada pakar perundangan Islam dalam kalangan UMNO tampil untuk memperbetulkan kekeliruan yang terbit daripada pemahaman terhadap kartun ini.Sudahlah di sana sini kita hanya mampu melihat Islam diperlekeh dan dihina tanpa mampu berbuat apa-apa...

Saya menyeru, UTUSAN MALAYSIA agar meminta MAAF secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja yang memahami bahasa Melayu.

ISLAM itu adalah AD-DIN, iaitu satu cara hidup dan ia relevan pada setiap saat malah sepanjang zaman.

Tuesday, 14 June 2011

Perhimpunan BERSIH Berniat Kotor

Pada bulan Julai ini, Kuala Lumpur bakal menjadi huru-hara ekoran keengganan kumpulan yang menggelarkan diri mereka BERSIH untuk berkumpul secara aman di tempat tertentu seperti yang dicadangkan oleh pihak polis iaitu di stadium-stadium.Padahal cadangan ini sangat baik,malah mereka boleh berhimpun dalam keadaan selesa tanpa gangguan trafik. Selain itu, perhimpunan mereka juga boleh dibuat sehari suntuk kerana ia tidak mengganggu ketenteraman awam. Stadium yang dicadangkan juga besar dan mampu memuatkan ribuan orang.Oleh yang demikian, objektif mereka untuk menyuarakan rasa tidak puas hati tentang perjalanan pilihanraya juga lebih terancang dan rakyat dapat menerima mesej mereka dengan tenang. Lagipun, orang awam tidak marah kerana tidak mengganggu kehidupan mereka.
 
Sayang sekali, mereka tetap memilih untuk berhimpun di jalanan malah disasarkan di tengah bandaraya Kuala Lumpur.Walhal, ini sudah pasti menimbulkan masalah trafik, mengganggu kententeraman awam dan yang lebih menyedihkan,orang ramai yang tidak mahu terlibat juga mendapat impak buruk akibat perhimpunan ini. Objektif mereka juga tidak dapat disampaikan dengan baik kerana keadaan yang tidak selesa malah orang ramai juga tidak dapat menerima mesej mereka dengan jelas kerana keadaan tempat yang tidak sesuai.Kita pasti, mereka juga tahu masalah ini akan berlaku. Persoalannya, mengapa mereka masih memilih jalan susah yang pastinya tidak memungkinkan suara mereka didengar dengan jelas???

Jawapannya hanya satu. MEREKA BERHIMPUN BUKAN UNTUK MENYATAKAN KETIDAKPUASHATIAN TERHADAP SISTEM PILIHANRAYA DI NEGARA INI. Mereka berhimpun sekadar untuk memberitahu dunia bahawa mereka boleh mengucar kacirkan negara ini kerana mereka ada sokongan yang mereka cipta atas nama pembohongan dan fitnah. Alasan bahawa pilihanraya negara ini tidak telus hanyalah mainan kata-kata untuk menjustifikasikan niat jahat mereka. Mereka tahu bahawa di ceruk mana dunia ini pun,tidak ada sistem yang sempurna,apatah lagi pilihanraya. Mereka cuma berniat untuk menumbangkan kerajaan melalui cara orang Timur Tengah. Mereka cuba memprovokasi KERAJAAN untuk menggunakan kekerasan tentera dan unit keselamatan yang lain. Mereka ingin rakyat jelata bermandi darah dan airmata.Jika ini berlaku, mereka akan melaungkan pada dunia bahawa kerajaan Malaysia sekarang ini zalim. Selepas itu, mereka akan bangga menapak di atas rintihan rakyat yang tidak berdosa, di lorong yang kiri dan kanannya runtuhan bangunan dan pecahan kaca sambil mereka menyanyikan lagu sumbang kerana mabuk oleh kuasa.

Alahai, jika berniat baik, banyak cara boleh digunakan untuk menyampaikan hajat. Jika benar pilihanraya sangat teruk, mengapa mereka merampas 5 buah negeri dan buat pertama kalinya menyebabkan 2/3 majoriti kerajaan tidak tercapai? Dan terbukti, mereka mengiktiraf kemenangan itu dengan memerintah negeri-negeri berkenaan. Malah mereka cipta hingar bingar yang tidak mencerminkan nilai ketimuran di Parlimen dengan suara keras dan kata-kata kesat. Bukankah keberhasilan mereka memerintah beberapa buah negeri dan kewujudan mereka di parlimen sebagai bukti yang jelas dan nyata bahawa proses pilihanraya di negara ini agak telus walaupun tidak sempurna???

Kesimpulannya BERSIH ini bukannya NGO tulin tetapi pertubuhan boNGOk yang berpaksikan kepada keuntungan politik pihak tertentu dan sudah pasti mereka ini akan mendapat habuannya. Apa yang jelas, agama rasmi negara ini pasti lebih tercemar dan institusi Diraja pasti akan gegar hanya kerana segelintir pengkhianat bangsa dan agama yang sanggup dipergunakan demi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa. Malaysia ada lebih kurang 27 juta penduduk. Jika anda berjaya kumpulkan sejuta orang di jalanan untuk sekadar memekik dan memukul gendang, jangan fikir bahawa 26 juta penduduk yang lain bersetuju dengan anda. Ingat! kita merdeka di meja rundingan,bukan di mata pedang. Jangan cabar rakyat biasa ini untuk menghunus keris dan berpencak di gelanggang yang anda sendiri bentangkan. Kelak nanti yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Anak cucu kita yang akan merana.Lantai yang kotor tidak akan BERSIH jika kita menyapunya dengan penyapu yang berlumpur...

Sunday, 22 May 2011

Kolej KDM Akan Dibina di Tambunan

Hari ini dalam akhbar Harian Ekspress, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengumumkan bahawa satu kolej Kadazan Dusun Murut akan dibina di Kaingaran Tambunan. Malah Pegawai Daerah Tambunan telah pun diarah utnuk mengenal pasti lokasi sebenar pembinaan kolej tersebut.Cadangan penubuhan kolej ini sebelumnya disuarakan oleh Persatuan Kebajikan Kadazan Dusun Murut (Pekadin).

Berita ini merupakan satu lagi kejayaan terbesar warga KDM. Semoga ia akan menjadi realiti. Sudah sampai masanya pribumi yang paling berjasa dalam proses penubuhan negara Malaysia ini mendapat satu pengiktirafan khas daripada pihak kerajaan.Secara kasarnya, dalam bidang-bidang profesional, kita masih melihat betapa kurangnya kelibat KDM ini. Maka sudah seharusnya KDM diberikan satu ruang dan peluang yang cukup untuk memajukan KDM dari semua segi.

KDM merupakan majoriti rakyat Sabah,maka seharusnya pembinaan kolej ini terlihat wajar dan diterima sebagai satu kewajipan kerajaan untuk membela rakyat. Maka diharap agar inisiatif ini dipandang dari sudut yang positif dan bukan kerana kewajaran politik semata-mata.Semoga KDM dapat memanfaatkan kewujudan kolej ini nanti demi kelangsungan hidup KDM pada masa hadapan. Ini kerana masa hadapan menuntut kemampuan dalam pelbagai bidang kemahiran pada aras yang sangat tinggi dan mapan.Jika tidak,maka KDM pasti akan jauh ketinggalan.Sayang bagi pemimpin KDM terdahulu yang ingin melihat KDM terbela dengan menjadikan Sabah sebagai gabungan Malaysia,jika pada akhirnya KDM semakin tersepit dan tidak dipandang.

Inilah masanya KDM perlu bersatu hati untuk manjadikan rancangan ini satu realiti dengan mengenepikan sebentar kiblat politik masing-masing. Janganlah kita gadaikan bangsa kita hanya untuk kuasa politik. Marilah bersatu demi anak bangsa kita.

Wednesday, 18 May 2011

MV Finch : Bukti Kebiadapan Israel Lantaran Sokongan Barat

Kapal MV Finch yang dikemudi rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor dengan dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd. Jaffery Ariffin dari Malaysia serta dua warga India iaitu Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.

Selain wartawan Bernama, turut berada di atas kapal itu ialah wartawan akhbar New Straits Times, Iskandar Alang Bendahara, petugas sukarela Felda, Mohd. Radzillah Abdullah dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland serta Julie Levesque dari Kanada.

Kapal ini membawa misi kemanusiaan untuk warga Palestin. Tanpa senjata, hanya batang-batang paip untuk memperbaiki sistem pembentungan. Namun, biadapnya Israel, menembak kapal ini. Walaupun tiada kecederaan berlaku namun tindakan Israel ini membuktikan betapa angkuhnya mereka. Kafir Harbi ini seharusnya dihukum. Tapi persoalannya siapa yang akan menghukum syaitan bernama Israel ini?

Jika kita telusuri sejarah rejim Zionis di Israel, wajarlah mereka angkuh. Apa tidaknya, kuasa-kuasa besar dunia sentiasa memihak mereka. Kuasa-kuasa besar dunia yang katanya demokratik tetapi dalam isu Israel-Palestin mereka diam seribu bahasa.Malah Perdana Menteri sendiri ketika mengulas pendirian PBB berhubung isu ini juga seakan putus asa. Kata beliau,Malaysia konsisten terhadap isu Palestin namun segala suara yang dilaungkan ke PBB akhirnya sekadar pantulan suara dalam gua. Hilang dan berlalu begitu sahaja. Inilah PBB. Senjata utama Israel.

Kalau negara kecil seperti Malaysia, habis mereka godam dengan kenyataan yang menanam senjata demokrasi. Isu Ketua Pembangkang, Isu Agama, ISA dan sebagainya, lantang kedengaran melalui suara mereka yang dijadikan kiblat. Tetapi pada tempat yang sepatutnya iaitu di Palestin mereka buat-buat buta. Di negara kita ini pun lantang benar suara demokrasi ala barat. Bahkan sampai kepada isu agama juga mahu didemokrasikan atas fahaman pluralisme.Belum lagi niat untuk menjadikan agama Islam sebagai bukan agama rasmi lagi. Lebih teruk dari itu,ada manusia di bumi Malaysia ini yang menyatakan dengan jelas bahawa dia sanggup mati jika negara Islam ditubuhkan. Ini semua mainan kafir harbi yang di belakangnya adalah orang Melayu sendiri yang mengaku Islam tetapi tidak menyedari bahawa mereka menjadi punca kekuatan segelintir kafir harbi laknatullah ini.Keadaan mereka ini sama seperti Israel yang sentiasa mendapat perlindungan dan imuniti daripada kuasa-kuasa besar dunia.Itulah yang menjadikan mereka semakin angkuh...

Sedarlah kita bahawa, ini petanda akhir zaman. Umat Islam berbilion ramainya tetapi hanya sekadar seperti buih dilautan yang tiada kekuatan. Islam di Malaysia pun hancur berpecah hanya kerana kuasa politik yang penuh dendam dan kerakusan. Sedangkan kafir harbi sedang menanti untuk meletupkan bunga api dan berpesta ria atas kehancuran kita...

Semoga Allah merahmati kita, kerana itu masih ramai warga Malaysia dari agama lain tidak terpengaruh dengan kenyataan segelintir mereka yang tidak memahami asas perbezaan agama. Islam sebagai agama rasmi di Malaysia tidak ada salahnya. Malah setiap agama di Malaysia ini kita hormati. Bandingkan dengan banyak negara lain di dunia. Di Malaysia kita cukup toleransi dalam agama bahkan ada diberikan peruntukan tertentu untuk membina rumah-rumah ibadat bagi agama lain selain Islam.Jadi jangan cemarkan apa yang telah kita lalui ini dengan segala macam permintaan yang aneh-aneh.Kelak, kita akan binasa.

ISLAM : Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku... Biar kita berbeza kepercayaan tapi kita bersatu demi negara...Sayangilah Malaysia...

Tuesday, 17 May 2011

Sebuah Sajak Untuk Kekasih...

Setelah lama menyepi...tiba-tiba terasa ingin berkongsi sebuah sajak yang kuciptakan khusus untuk seorang wanita...

Balqis, Seindah Nama

Dulu kita bertemu, dunia gelap dan bingit
Asap mengepul di udara menebar hangit
Ada kegilaan merasuk minda sedar
Keghairahan merajai kerusi sandar
Di atas meja hanya air hitam dan kuning

Bersama seorang teman, kau kukenali
Kau tersenyum dan aku membisu
Lantas aku tahu kau tidak berada di sini
Kau gelisah, sunyi dalam keriuhan ini
Persis ini bukan duniamu
Lalu kau kubawa pergi

Kini purnama saling berganti
Dunia ciptaan kita menjadi realiti
Bersama mengenal erti kedewasaan
Seiring mencari makna kehidupan
Bahagia dan derita di rimba percintaan

Wahai,mari kita bina kental kekuatan
Untuk kita padam kejam masa silam
Yang penuh onar dan onak berduri
Kerana masa hadapan masih mengasihi
Menanti kita di puncak keredaan Ilahi

Buktikanlah, yang berganti tidak hanya nama
Tetapi hatimu kembang berbunga rindu
Yang kelopaknya penuh manis keimanan
Untuk seorang lelaki yang memetiknya
Kerana taqwa dan keinsafan

Nim Yorza,
Taman Lingkudau
30 April 2011.