Pages

Monday, 25 July 2016

Formula Kemenangan Tumbang UMNO Sabah.

25 Julai 2016, Kota Kinabalu.
Dalam konteks politik Sabah, kita perlu objektif yang jelas :
1. Mendapat kuasa dan kemampuan melaksana HAK SABAH dan bukan sekadar bising-bising mahu menuntut tanpa strategi yang jelas. Sekejap lawan sekejap runding ini hanya gambaran pemimpin cari makan. Perjuangan hebat di suratkhabar tapi akhirnya orang buang di tong sampah selepas dibaca.
2. Untuk kita dapat melaksana hak Sabah kita perlu kuasai DUN SABAH. Untuk menguasai DUN SABAH kita perlu tumbangkan UMNO bukannya "berkawan" dengan mereka. Kalau pun UMNO juga bercakap HAK SABAH, kita mesti ingat, UMNO itu parti MALAYA. Sistem tidak akan berubah selagi parti Malaya berkuasa di DUN SABAH.
Persoalannya, bagaimana TUMBANG UMNO di Sabah?
Strategi :-
A. PCS/USA fokus kawasan pedalaman dan majoriti KDM.
B. DSSA+DSP Lajim (harap2 dia join parti tempatan DSSA nanti) fokus kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur termasuk kawasan Utara di mana UMNO MAJORITI.
Dengan formula ini barulah cerah jalan yang kita nampak untuk kita menubuhkan kerajaan baru Sabah berasaskan parti tempatan. Siapa pun jadi Ketua Menteri, hal kedua yang penting kita berada dalam sistem yang betul dulu iaitu Sabah diperintah parti tempatan Sabah...
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS.

Sunday, 24 July 2016

PCS Tawarkan Lambang Untuk Digunakan Oleh Gabungan Sabah (USA).
24 Julai 2016, Kota Belud.
1. Sebagai tanda menghormati persepakatan dalam USA, Parti Cinta Sabah (PCS) telah membuat cadangan dan tawaran rasmi kepada Gabungan Sabah (USA) pada awal tahun ini ketika mesyuarat rasmi USA agar gabungan ini boleh menggunakan satu lambang dalam pilihanraya akan datang.
Kita harap STAR jangan lagi tawar lambang di suratkhabar. Gunakan saluran mesyuarat Gabungan Sabah.
2. PCS memilih untuk tidak menghebohkan tawaran itu demi menghormati urusan dalaman USA sehingga ia dipersetujui kelak. Kita tidak menawarkan "lambang di suratkhabar" demi publisiti murahan. Inilah cara dan gaya 'gentleman' dalam usaha penyatuan. Sayangnya ada pihak yang tidak memahami makna "kerjasama" dan memilih untuk popular di akhbar semata-mata.
3. Kita mengharapkan USA akan tetap kekal dalam usaha penyatuan dan semua pemimpin memahami makna urusan dalaman dalam proses memantapkan kekuatan gabungan.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS.

Gelombang dan Aura Sokong DSSA.

24 Julai 2016, Kota Belud.
1. Saya menghadiri ribuan penyokong Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) dalam satu majlis KELUAR UMNO beramai-ramai di Kota Belud sambil berhari raya. Tujuan saya bukan mahu sokong membuta tuli. Saya mahu dengar dari mulut DSSA sendiri tentang beberapa perkara.
2. Pertama, pandangan beliau soal parti. Apakah beliau berpemikiran federalis atau sebaliknya. Ternyata beliau memberi jawapan yang sangat mengujakan saya. Beliau beri jaminan akan menerajui parti lokal dan menolak tawaran bersama parti Malaya/Tun Mahathir. Katanya kita mampu urus Sabah sendiri dengan lebih cemerlang untuk kebaikan Persekutuan Malaysia juga. Maknanya, ada SABAH FIRST MENTALITY iaitu mendahulukan Sabah daripada persekutuan.
3. Kedua, apakah pandangan beliau terhadap Parti Cinta Sabah (PCS). Ini juga satu berita baik bagi saya apabila beliau mengiktiraf kewujudan PCS dan menyebut secara jelas, kita cinta Sabah. Sering juga disebutkan hubungan baik beliau dengan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing, Presiden PCS. Ini satu gambaran bahawa beliau rasional dalam memilih rakan perjuangan yang benar-benar jujur dan serius membela Sabah.
Rombongan Parti Cinta Sabah berhari raya bersama DSSA
4. Ketiga, saya cuba membaca keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam menumbangkan rejim UMNO/BN. Rentetan cerita ini saya perhatikan :
A. Beliau adalah antara pengasas UMNO di Sabah dan bekerja keras mengembangkan UMNO sehingga menjadi orang No. 3 dalam UMNO, berpengalaman dalam 7 kementerian, dan ini satu pencapaian paling tinggi oleh seorang anak nelayan Sabah dalam konteks persekutuan. Sayang sekali semua ini tidak dipandang hanya kerana beliau menegur soal 1MDB.
B. Ketika beliau dipecat dari kabinet, beliau tidak kecil hati kerana itu adalah prerogatif Perdana Menteri untuk melantik sesiapa saja menjadi menteri kabinet. Jadi beliau tetap dengan prinsip dan integriti sebagai ahli UMNO iaitu tidak akan duduk sepentas dengan pembangkang walaupun Tun Mahathir yang jemput. Ini bukti kekuatan integriti kepimpinan.
C. Walaupun begitu, beliau akhirnya telah digantung keahlian dalam UMNO ketika masih menunaikan UMRAH di Mekah tanpa diberi peluang membela diri. Ini hasil cadangan dan sokongan Musa Aman dan Rahman Dahlan. Ini adalah kerja musuh politik beliau di Sabah.
5. Hasil pemerhatian ringkas ini, saya boleh simpulkan bahawa beliau serius dan jujur. Tiada wayang kulit. Beliau benar-benar ingin menumbangkan parti yang beliau sertai lebih 30 tahun lalu kerana pucuk pimpinan parti yang jelas korupsi dan tidak boleh ditegur. Begitu juga dalam konteks Sabah, beliau benar-benar ada kesungguhan menumbangkan Musa Aman kerana bersekongkol dengan pucuk pimpinan yang rasuah dan tidak boleh ditegur lagi. Maka sebagai salah seorang pemimpin pembangkang Sabah, saya ingin mengucapkan SELAMAT DATANG DSSA. Mari kita sama-sama menumbangkan Rejim UMNO/BN!
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional PCS.

Saturday, 23 July 2016

I Am Not Racist, Just Being Practical.

23 Julai 2016, Kota Kinabalu.
1. Sebagai salah seorang rakyat Persekutuan Malaysia yang membayar cukai, apatah lagi melalui 'paksaan GST', kita amat berasa diperbodohkan oleh pemerintah. Pemerintah memaksa kita membantu membangunkan persekutuan ini dengan membayar cukai tetapi pada masa yang sama pemerintah mampu pula mencari sumbangan dana untuk membantu rakyat luar negara.
2. Jika pemerintah sayangkan rakyat, sepatutnya mereka mencari sumbangan untuk membantu rakyat sendiri dahulu jika wang kerajaan tidak mencukupi. Di Sabah ini kadar kemiskinan tegar masih tinggi. Banyak sekolah yang usang, jalanraya yang rosak dan kemudahan awam yang amat daif.
3. Tetapi pemerintah mencari sumbangan untuk sekadar mengajar rakyat negara luar berbahasa Melayu. Apa yang pemerintah mahu buktikan? Mahu tunjukkan kepada pengundi bahawa 'kerajaan jaga Islam dan Melayu' di seluruh dunia? Ini adalah indoktrinasi songsang yang memperbodoh pemikiran rakyat.
3. Rakyat negara luar akan belajar bahasa kita jika kita menunjukkan cara tadbir urus negara dengan hebat, kita mampu mengeluarkan teknologi bertaraf antarabangsa, dan ekonomi kita berkembang pesat. Tidak perlu kita yang terhegeh-hegeh mahu beri mereka wang untuk belajar bahasa kita.
4. Namun kita tahu hakikatnya, imej persekutuan Malaysia kini rosak akibat pendedahan dunia berkaitan skandal kewangan mega melibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dinasihati oleh Perdana Menteri. Ekonomi merundum dengan penurunan ketara nilai matawang, pengurangan kadar faedah/OPR serta syarikat penerbangan dan automotif negara, dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Melihat senario ini, mana ada orang luar mahu belajar Bahasa Melayu kerana tiada nilai komersil akibat kebebalan pemerintah mentadbirurus persekutuan ini.
5. Jadi kita bantu warganegara Sri Lanka agar mampu berbahasa Melayu untuk apa? Supaya mereka boleh dibawa masuk bekerja di persekutuan ini dan seterusnya bakal jadi pengundi? Saya tidak bermaksud kita tidak boleh bantu orang lain yang susah di luar negara. Tetapi biarlah praktikal. Rakyat sendiri tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi pemerintah masih berbangga dengan cerita 'membantu rakyat luar negara'. Anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan.
6. Kita memilih pemerintah untuk menjaga kita sebagai keutamaan. Fikirkan cara bagaimana membantu menyenangkan rakyat sendiri. Rakyat sudah berkorban walaupun terpaksa. Rakyat Sabah sendiri telah lebih 30 tahun "membenarkan" Persekutuan Malaysia melalui Petronas menghisap hasil minyak dan gas atas nama SEBUAH NEGARA. Bahkan lebih 30 tahun juga Kerajaan Sabah "surrender" hak cukai yang dikutip oleh agensi persekutuan sebanyak 40% yang sepatutnya diberikan kepada Sabah secara jelas dalam perlembagaan persekutuan. Ironinya, kerajaan cari derma untuk bantu rakyat negara asing ketika anak Sabah masih jalan kaki melalui jalan denai meredah hutan dan lumpur untuk ke sekolah.
7. Selagi kita diperintah oleh kumpulan serigala jalanan ini, persekutuan Malaysia akan muflis dan rosak. Lebih-lebih lagi kepada Sabah yang bakal terheret sama. Hancur sebuah harapan menggunung untuk maju bersama seperti aspirasi kepimpinan terdahulu. Apalah makna persetujuan Sabah menandatangani Perjanjian Malaysia 1963?
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah.

Friday, 22 July 2016

Peguam Negara Hidup Dalam Penafian.

22 Julai 2016, Kota Kinabalu.
1. Beliau mengulas kenyataan DOJ US yang telah membekukan aset-aset milik individu-individu yang ada kaitan dengan 'Malaysia Official 1' sebagai satu sindirian sahaja dan tidak menyebutkan nama Perdana Menteri.
2. Kata Peguam Negara lagi tiada bukti bahawa wang 1MDB diselewengkan. Apakah beliau fikir rakyat terlalu bodoh? Beliau sebenarnya menghina kebijakan pemikiran rakyat.
3. Bagaimana mahu dibuktikan apabila semua agensi berkaitan tidak lagi berfungsi untuk membuat siasatan dan pembuktian. Peguam Negara terdahulu dipecat. Bahkan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri dipecat semata-mata kerana bercakap soal ini. Jika mereka ini salah, samanlah mereka.
4. Ini belum lagi kita sebut soal pegawai SPRM yang dipecat dan dipindahkan tugas. Juga misteri pembunuhan Timbalan Pendakwaraya, Pengerusi Ambank dan banyak lagi kematian mengejut yang membawa banyak persoalan yang pelik. Rakyat terpaksa terima sahaja sebab kematian mereka ini kerana yang memberi maklumat adalah "agensi berwajib".
5. Mereka yang cuba membuat laporan ditahan dalam lokap. Pemberi maklumat dicari habis-habisan tetapi maklumat yang dibocorkan tidak pula disiasat. Laporan audit berkaitan 1MDB diklasifikasikan sebagai RAHSIA. Jadi siapa yang boleh dituduh dan siapa yang boleh disiasat? Akhirnya apa yang mampu dibuktikan?
6. Seorang artis mengatakan US tidak perlu campurtangan soal dalaman Persekutuan Malaysia. Apakah artis ini masih waras? Wang telah 'dibawa masuk dan diurusniagakan' di dalam negara dia. Individu yang dibekukan aset itu juga tinggal dalam negara dia. Buat filem dan membeli aset mewah ratusan juta dollar Amerika. Sudah tentu kerajaan negara itu akan bercakap dan mempertikaikan, apatah lagi jika ada laporan. Ia bukan soal masuk campur tetapi mereka bercakap hal yang berlaku dalam negara mereka hasil siasatan. Lagipun tiada Peguam Negara Amerika atau menteri-menterinya dipecat kerana menyiasat soal ini. Mereka bebas dan telus dalam siasatan.
7. Jadi Peguam Negara tidak perlu berlagak bodoh sombong. Rakyat menilai dan berfikir dengan waras. Sehingga hari ini, wang yang dikatakan masuk ke akaun Najib yang kemudian dinafikan pula dengan mainan ayat "masuk ke akaun Najib tidak bermakna masuk dalam akaun peribadi Najib", tidak pernah dibuktikan secara konkrit dari mana sumbernya. Berulang kali "diperbetulkan" dari mana sumber wang itu didapati tetapi ternyata tidak pernah betul kerana sentiasa ada penafian dan percanggahan maklumat.
8. Apa yang pasti salah seorang yang dibekukan aset itu adalah ANAK TIRI NAJIB bernama Riza Aziz. Beliau wajar 'membantu' anak beliau agar tidak teraniaya jika beliau yakin Riza tidak bersalah. Persoalannya, apakah beliau akan mengaku Riza anak tirinya hanya kerana tidak disebutkan namanya secara jelas dalam laporan DOJ tersebut, atau akan lepas tangan demi menjaga jawatannya?
Kini kita faham, sesiapa pun orang yang pernah berbuat jahat, ketika terdesak dan takut dihadapkan ke muka pengadilan, mereka akan melakukan apa saja sekalipun ia adalah perbuatan yang disifatkan tidak berhati perut dan amat kejam...
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah.

Thursday, 21 July 2016

PENERANGAN : Tindakan Jabatan Keadilan US terhadap 1MDB
Oleh kerana Utusan, TV 3, NST dan TheSTAR tidak akan melaporkan apa-apa perkara ini dan lebih mementingkan cerita artis maka wajar kita ketahui apakah isi penting yang disebut dalam tindakan terkini oleh Department of Justice Amerika Syarikat terhadap skandal 1MDB.
1. DOJ (Dept of Justice) mengumumkan bahawa mereka akan membeku lebih dari 1 Billion USD (4 Billion ringgit) aset di US seperti rumah-rumah mewah dan hak cipta filem Wolf of Wall Street.
2. Perbelanjaan wang 1MDB ini juga termasuk pembayaran hutang judi di Las Vegas, pembelian kapal layar mewah dan pembelian jet peribadi jenama bombardier yang berharga lebih dari USD 35 juta (RM 120 juta).
3. Diumumkan antara individu yang terlibat dalam tindakan ini (empunya aset) adalah Riza Aziz (anak tiri Perdana Menteri) dan Taek Jho Low.
4. DOJ menyatakan bahawa aset 1 Billion USD (RM 4 Billion) ini merupakan sebahagian dari 3.5 Billion USD (RM 14 Billion) nilai jumlah wang yang dipercayai dicuri dari 1MDB.
5. 'Malaysian Official 1' merupakan antara penjawat awam yang juga dikatakan terlibat dalam skandal ini, walaupun namanya tidak disebut akan tetapi diterangkan bahawa Riza Aziz merupakan anak tiri kepada 'Malaysian Official 1'.
6. Lebih dari 100 Juta USD (RM 400 juta) wang 1MDB digunakan untuk membiayai filem 'Wolf Of Wall Street' sebuah filem yang mengisahkan cerita beberapa individu yang menipu dan mencuri duit orang ramai.
7. Filem 'Wolf of Wall Street' terbitan syarikat Red Granite Films yang dipunyai Riza Aziz.
8. DOJ menyatakan tidak satu sen pun dari sebarang keuntungan filem berkenaan ataupun dalam mana-mana aset dapat dirasai oleh rakyat Malaysia dan mereka becadang untuk memulangkan kembali semua kekayaan ini kepada Malaysia setelah selesai penyiasatan.

Thursday, 23 June 2016

Keningau dan ESSZONE.

(Kota Kinabalu, 23.06.2016).
1. Tersebar satu surat yang dipercayai dari Pejabat Daerah Keningau yang menjelaskan maksud cadangan memasukkan Daerah Keningau sebagai salah satu kawasan ESSZONE.
2. Mari kita baca definisi ESSZONE :
(ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah adalah sebuah zon yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 25 Mac 2013 berikutan dengan krisis pencerobohan yang berlaku di bahagian timur Sabah sebagai tambahan kepada ESSCOM. Ianya merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Tujuh balai polis akan dibangunkan di zon berkenaan dan lima batalion pasukan keselamatan berserta satu briged PGA akan turut ditempatkan).

3. Daripada definisi ini, kita tidak faham kriteria mana yang digunakan oleh pihak Pejabat Daerah Keningau mencadangkan Keningau sebagai kawasan ESSZONE. Apakah ada arahan tangan ghaib dengan niat politik yang tersembunyi?
4. Kita melihat jika cadangan ini dipersetujui, maka 'population transfer' besar-besaran pasti berlaku secara legal. Balai polis ditambah dan berbatalion PGA akan ditempatkan. Ini sudah pasti menambah jumlah undi di kawasan ini yang secara tradisinya memihak kepada pemerintah.
5. Cadangan ini wajar dibuka kepada umum dan saya yakin Anak Keningau tidak akan membenarkan ini terjadi. Tidak ada justifikasi untuk membenarkan ia diluluskan. Ini hanyalah wayang politik susulan "kisah menakut-nakutkan orang Sabah yang secara konsisten dilakukan oleh pemerintah persekutuan" sejak beberapa lama dulu. 'Ending' daripada kisah ini ialah justifikasi keselamatan untuk tujuan mencengkam kuasa politik agar ia nanti dipergunakan secara legal dan kelihatan berasas di mata umum.
6. Huguon Siou selaku pemimpin utama di kawasan ini, wajar memberikan penjelasan rasmi berhubung perkara ini. Apakah kita sudah sampai kepada tahap 'menjual daerah dan anak bangsa kita' demi kepentingan kuasa politik? Sampai bila Anak Sabah terus dihantui oleh sistem yang secara perlahan-lahan menghancurkan masa depan Anak Sabah melalui penguasaan demokrasi politik yang curang dan sumbang.
7. Saya mengundi untuk tidak bersetuju dengan cadangan ini. Sila sebarkan sebelum ia diluluskan tanpa pengetahuan umum.
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Nasional Parti Cinta Sabah (PCS).

Monday, 25 April 2016

Sebuah Puisi Perjuangan

Asusungkor

Sewaktu embun berangkat di Puncak Kimanis
Aku sedang menuruni lembah menuju Nabawan
Aku melihat kibaran cinta di kiri dan kanan
Aku bahagia dalam senyuman perjuangan

Ketika gema ‘asusungkor’ menjulang semangat
Aku merentap tali sedar yang membungkam warga
Melaungkan segala janji yang tidak pernah dipatuhi
Dan persetujuan nenek moyang yang dikhianati
Bahawa tanah ini harus sentiasa bangga dan berdaulat

Aku bukanlah malaikat yang meniupkan roh kebenaran
Aku juga bukanlah manusia yang punya segalanya
Aku hanya ingin berbangga saat anak bangsaku menjadi tuan
Bukan hanya sekadar menjadi hamba merempat di tanah sendiri
Aku hanya ingin melihat anak bangsaku menjadi terhormat
Sambil menyanyikan lagu kemerdekaan sepanjang masa

Kerana itulah aku rela tidur berselimutkan derita
Meninggalkan sofa empuk beralaskan emas permata
Semoga nanti wargaku akan bangkit dan bersatu lagi
Demi memaknakan semula harga diri dan kebebasan

Aku menanti sengsara ini berganti senyuman berairmata
Sekalipun ketika itu aku sudah menutup mata

Nim Yorza,
Kg Sarikan, Nabawan.
25.04.2016.

(Nota : Asusungkor dalam Bahasa Murut Tahol bermakna saling sokong-menyokong)

Sunday, 13 March 2016

Memahami Proses Pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan (Negeri) Sabah Demi Menumbang Kerajaan Zalim BN.

(13.03.2016 - Tuaran Sabah)
1. Persekutuan Malaysia mempunyai dua sistem kerajaan yang utama iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri (dibaca mengikut tafsiran semasa dan bukannya dalam konteks 'rakan kongsi setaraf' seperti aspirasi kepimpinan Sabah terdahulu).
2. Untuk membentuk kerajaan persekutuan, kita perlu melalui pilihanraya umum (PRU) dan sesebuah parti atau gabungan wajar memenangi KERUSI PARLIMEN dengan majoriti mudah atau majoriti 2/3 (kerajaan yang lebih stabil dan mendapat mandat penuh).
3. Kerusi parlimen sekarang berjumlah 222. Di Malaya terdapat 165, Sabah 25, Sarawak 31 dan Labuan 1. Bagi membentuk kerajaan persekutuan sesebuah parti atau gabungan perlu menang majoriti mudah 112 kerusi sahaja. Jika dilihat menerusi perkiraan matematik mudah, sesebuah parti atau gabungan hanya perlu bertanding di Malaya yang mempunyai 155 kerusi untuk memenangi 112 majoriti mudah bahkan juga untuk mendapat majoriti 2/3 iaitu 148 kerusi tanpa perlu bertanding di Sabah, Labuan dan Sarawak yang hanya mempunyai 57 kerusi parlimen.
4. Dalam konteks Pakatan Harapan (PH) mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, jika mereka fokus kepada 155 kerusi di Malaya juga mampu menumbangkan BN sama ada majoriti mudah atau majoriti 2/3. Kini PH mempunyai 89 kerusi dan BN 133 kerusi. BN membentuk kerajaan tanpa majoriti 2/3.
5. Manakala untuk membentuk kerajaan negeri (Sabah), sesebuah parti atau gabungan perlu melalui Pilihanraya Negeri (PRN) dan bertanding merebut 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika menang 31, maka boleh membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah atau 40 kerusi untuk membentuk majoriti 2/3. Sekarang ini BN membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti lebih 2/3. Kerusi DUN pembangkang hanya 12 daripada 60. (Maklumat tambahan : PRU dan PRN dijalankan serentak di seluruh persekutuan kecuali Sarawak).

6. Oleh itu, Anak Sabah wajar memahami proses pembentukan dua sistem kerajaan ini demi memastikan HAK SABAH tidak tergugat bahkan mampu diperkuatkan lagi. HAK Sabah yang paling berautoriti dan berautonomi ialah Kerajaan Sabah melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika kita memahami kuasa DUN dan Kerajaan Sabah khususnya Senarai II dalam Perlembagaan Malaysia, maka kerajaan Sabah tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan bahkan mampu memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan agar HAK Sabah dan Anak Sabah tidak diganggugugat. Misalnya untuk mengembalikan status Tuan Yang Dipertua Negara Sabah, ia hanya perlu diluluskan oleh DUN Sabah dan kembalikan semula status tersebut dalam perlembagaan Sabah. Justeru itu, wajarlah parti tempatan Sabah yang bertanding di kerusi DUN dan membentuk kerajaan Sabah agar Ketua Menteri Sabah kelak tidak dipengaruhi oleh polisi dan kepimimpinan parti dari luar Sabah.
7. Hak Sabah seterusnya mampu dikuatkan lagi jika 25 kerusi parlimen di Sabah ini turut dimenangi oleh parti tempatan Sabah. Semua keputusan yang dibuat di DUN Sabah pasti akan dapat dibawa dengan lebih kuat di Dewan Rakyat kerana Ahli Parlimen Sabah tersebut tidak perlu bimbang tentang jawatannya di peringkat persekutuan kerana BOS dia dari Sabah dan dia hanya akan ikut polisi parti dan pemimpin di Sabah. Tidak seperti hari ini, ahli parlimen Sabah dari BN mahu pun PR sangat bergantung kepada polisi dan keputusan pimpinan parti yang bukan berpusat di Sabah dan akhirnya suara mereka hanyalah umpama angin bertiup sepoi-sepoi bahasa tanpa ada kekuatan.
8. Namun begitu, saya setuju bahawa untuk menumbangkan BN di Putrajaya parti pembangkang Malaya mahu pun Sabah dan Sarawak wajar berkerjasama. PH perlu terlebih dahulu memahami ASPIRASI rakyat Sabah khususnya dengan mengambilkira HAK SABAH KETIKA MEMBENTUK PERSEKUTUAN MALAYSIA seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, 20 Perkara, Batu Sumpah, kenyataan-kenyataan kepimpinan terdahulu dan memahami manipulasi politik Malaya sehingga UMNO berjaya 'menjajah' Sabah. Semua aspirasi ini akan lebih kukuh jika yang mengangkatnya ialah parti Sabah oleh Anak Sabah yang mana semua polisi dan dasar parti dibuat di Sabah demi cinta kepada Sabah.
9. Setelah aspirasi ini difahami maka ia perlu diterjemahkan melalui tindakan seperti permuafakatan rasmi bahawa PH memberikan ruang sepenuhnya kepada parti dan gabungan pembangkang Sabah untuk bertanding di 60 kerusi DUN kerana kerusi DUN tidak ada kena mengena langsung untuk menumbangkan BN di Putrajaya. Manakala kerjasama mengikut formula Sabah perlu dipatuhi oleh PH bagi 25 kerusi parlimen di Sabah. Jika ini berjaya dicapai, maka formula untuk 1 lawan 1 menentang BN bakal tercapai dengan mudah. Ada juga yang kata, jika begitu, mudah saja formulanya, kerusi DUN Sabah sokong dan menangkan parti dan gabungan Sabah manakala kerusi parlimen, sokong dan menangkan PH. Ini satu pandangan mudah dan saya tidak terus mengiyakan atau menafikan langsung namun masih perlu diperhalusi dengan cermat agar HAK Sabah tidak tergugat lagi.
10. Perkiraan ini lebih mudah jika di Malaya, pembangkang mereka juga berterusan 1 lawan 1 dengan BN. Sayangnya akhir-akhir ini kelihatan bahawa pertembungan 3 penjuru bakal berlaku iaitu BN, PH dan PAS+Gabungan. Ini sudah tentu merosakkan lagi formula menumbangkan BN dan ini juga satu perkara yang jelas kepada Anak Sabah agar kembali memperhatikan KEPENTINGAN PARTI TEMPATAN SABAH demi menguatkan kembali KUASA AUTONOMI SABAH seperti ketika mula-mula membentuk Persekutuan Malaysia dahulu. Jika KUASA AUTONOMI SABAH SUKAR DIPERJUANGKAN MELALUI KERUSI PARLIMEN, MAKA TIADA JALAN LAIN SELAIN MENGUASAI DUN DAN KERAJAAN SABAH!
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda Parti Cinta Sabah Nasional.
Nota : Rujuk PM63 Jadual Keempat dan Perlembagaan Malaysia Jadual Sembilan.

Friday, 11 March 2016

Pencari atau Pencuri Minyak Sabah.

1. Baru-baru ini ketika berada di sekitar Matunggong Kudat, saya perasan begitu banyak pekerja-pekerja Petronas berlegar-legar di jalanraya utama. Ada juga yang masuk kampung dan sepertinya membuat tanda-tanda di sepanjang jalan yang dilalui.
2. Saya ada bertanya kepada pekerja-pekerja berbaju merah. Kata mereka ini adalah proses untuk 'explore' minyak 'onshore'.
3. Persoalan saya ialah mengapa kerja-kerja sebegini sehingga masuk ke pelusuk kampung-kampung terpencil bahkan menghantar jentera pelik-pelik yang tidak biasa dilihat, tidak ada apa-apa pemberitahuan kepada masyarakat setempat. Semua penduduk yang ditanya juga tidak dapat menjawabnya dan kelihatan keliru apatah lagi sesekali kenderaan polis turut masuk bersama kenderaan bercop Petronas.
4. Jika kenderaan-kenderaan ini adalah kenderaan pengganas yang menggunakan cop Petronas, maka keselamatan penduduk di kawasan tersebut pasti sedang terancam. Bahkan kenderaan ini sesuka hati berhenti di mana-mana tempat dan adakalanya menghalang laluan penduduk.
5. Kerajaan Sabah pimpinan DS Musa Aman wajar memberikan jawapan bagaimana SOP untuk syarikat carigali menjalankan operasi explorasi minyak agar tidak mengganggu ketenteraman penduduk awam dan juga tidak menimbulkan tanda tanya.
6. Minyak Sabah sedang diperah sedangkan orang Sabah di persekitaran pun tidak tahu apa-apa. Kesian orang Sabah! Terus-terusan diperbodohkan!